RSS

Dunia Teknologi Sepanjang Tahun 2012

02 Jan

Sepanjang tahun 2012 yang lepas, pelbagai perkara baru yang telah diperkenalkan daripada pembangun peranti, sehinggalah kepada penyedia perkhidmatan berasaskan internet, menjadikan arena teknologi terus meriah dari hari ke hari. Pelbagai gergasi teknologi hadir dengan pelbagai perkara baru, terutamanya Google, Microsoft dan juga Apple, serta orang perseorangan yang hadir dengan pelbagai konsep yang akan merevolusikan dunia teknologi pada masa akan datang. Pada tahun ini, tindakan drastik diambil oleh pihak berkuasa di Amerika Syarikat, dengan menarik nama domain MegaUpload, sekaligus menamatkan perkhidmatan mereka sepenuhnya, menjadikan ramai pengguna yang menyimpan fail pada perkhidmatan tersebut kehilangan akses untuknya. Kesan daripada penutupan perkhidmatan ini, pengasas MegaUpload, mengumumkan perkhidmatan terbaru mereka, dinamakan sebagai Mega.co.nz. Selain daripada MegaUpload, beberapa syarikat lain turut menerima kesan daripada perkara ini, membuatkan beberapa perkhidmatan lain menamatkan sokongan perkongsian, dan hanya memfokuskan sebagai laman simpanan fail untuk kegunaan peribadi sahaja. Berbeza dengan laman seperti MegaUpload, perkhidmatan seumpama Dropbox yang memfokuskan kepada simpanan fail untuk urusan peribadi kelihatan terus popular dikalangan pengguna.

Dropbox, pada tahun ini sahaja telah mengambil-alih lebih dua syarikat pengkomputeran awan selain mengemaskini aplikasi mereka, dengan fokus baru, memudahkan pengguna mengakses gambar yang disimpan di Dropbox. Google, pada tahun ini turut memperkenalkan Google Drive, membolehkan pengguna menyimpan fail dan dokumen terus menggunakan akaun Google mereka, disamping membuat pengeditan dokumen melalui integrasi pada Google Docs. Apple bersama-sama perkhidmatan iCloud miliknya kelihatan turut mendapat fokus dengan iCloud yang diintegrasikan bersama-sama OS X dan juga iOS. Microsoft juga turut melakukan perkara sama pada perkhidmatan SkyDrive, dimana memperkenalkan beberapa klien desktop dan mudah-alih. Canonical turut sama menambah tawaran klien desktop untuk Ubuntu One. Tahun 2012 dimulakan dengan pengenalan Mac OS X 10.8 oleh Apple dimana menyertakan beberapa perkara baru termasuk integrasi iCloud yang lebih menyeluruh, selain pusat notifikasi dan juga beberapa sokongan seumpama yang terdapat pada iOS. Microsoft secara rasminya memperkenalkan sistem operasi baru iaitu Windows 8 yang ditawarkan pada harga promosi yang menarik. Turut dioptimasikan untuk tablet, selain dioptimasikan untuk skrin sentuh. Tidak ketinggalan juga adalah sistem operasi Ubuntu daripada Canonical, iaitu Ubuntu 12.10 dengan sokongan aplikasi web serta Unity yang ditambah baik.

Pihak Canonical turut mengumumkan perancangan untuk tahun 2013 memfokuskan Ubuntu pada tablet dan juga telefon pintar. Android pada tahun ini terus mengukuhkan kedudukannya, sekaligus melangkaui iOS sebagai platform mudah-alih yang popular didunia. Google pada tahun 2012 telah melancarkan Android Jelly Bean, dimana turut menyertakan sokongan Google Now yang membawakan pembantu maya peribadi. Bilangan aplikasi Android yang terdapat di Google Play Store kini dikatakan adalah sekitar 750,000 aplikasi. Apple juga tidak ketinggalan dalam mengemaskini sistem operasi iOS mereka kepada iOS 6, dimana menyertakan beberapa perkara baru, seperti Passbook, sokongan Do Not Disturb dan sebagainya. Windows Phone daripada Microsoft turut dikemaskini kepada Windows Phone 8, membawakan beberapa sokongan tambahan, seperti NFC, sokongan mikro-SD, dan sokongan mengubah saiz Tiles mengikut kehendak pengguna. RIM walaupun tidak hadir dengan peranti BlackBerry 10 pada tahun 2012, mereka terus mengekalkan minat pengguna dengan memperlihatkan satu demi satu fungsi baru untuk BlackBerry 10, menjadikan ramai ternanti-nanti untuknya. RIM dijangka akan melancarkan BlackBerry 10 pada penghujung bulan ini, dimana dua peranti baru dijangka akan diumumkan bersama-sama dengannya. Beberapa platform baru lain turut hadir dengan OS baru, termasuk Firefox OS daripada Mozilla dan Sailfish OS daripada Jolla.

Selain itu, Google bersama-sama beberapa rakan pengeluar mereka hadir dengan beberapa peranti Nexus, termasuk Nexus 4, Nexus 7 dan juga Nexus 10. Samsung pula seperti biasa mengeluarkan pelbagai variasi peranti Android pada tahun ini, antaranya adalah Galaxy Note 10.1, S3 dan juga Note 2 serta telefon pintar ATIV S yang dijana menggunakan Windows Phone 8. Apple seperti biasa, mengemaskini pelbagai pilihan komputer mereka dengan memperkenalkan tiga iPad baru termasuk iPad Mini yang bersaiz 7.9-inci. iPhone turut dikemaskini kepada iPhone 5 dengan sokongan Lightning dan saiz skrin yang lebih besar padanya. Nokia yang sememangnya terkenal dengan telefon mereka yang berkualiti tinggi, hadir dengan Nokia Lumia 920 yang membawakan sokongan PureView untuk rakaman gambar, PureMotion untuk kawalan skrin menggunakan sebarang perkara, dan juga sokongan pengecasan tanpa wayar. Untuk inovasi baru, Google memperkenalkan Project Glass iaitu kaca mata pintar yang membolehkan pengguna mengawal pelbagai perkara terus melaluinya. Google dijangka akan memperkenalkan peranti prototaip awal, seawal tahun 2014. Dunia laman sosial kelihatan berkembang pesat dari hari ke hari, dengan lebih ramai yang menyertainya. Facebook pada tahun ini mengatasi lebih 1 bilion angka pengguna, sekaligus mengukuhkan kedudukan mereka dalam arena sosial selain telah memfailkan syarikat untuk tawaran saham umum.

Facebook juga mengambil-alih beberapa syarikat sosial dan salah satunya adalah Instagram. Twitter pula mempunyai penyertaan yang lebih ramai daripada kalangan selebriti, ahli politik, pemimpin dan sebagainya, menjadikan angka pengguna aktif mereka lebih 200 juta sebulan. Twitter turut mengintegrasikan lebih banyak jenis media pada laman dan aplikasi mereka, disamping turut hadir dengan sokongan filter seumpama Instagram pada aplikasi Android dan iOS mereka. Google turut tidak ketinggalan dengan Google+ dengan lebih 500 juta pengguna, disamping memperkenalkan beberapa sokongan baru, termasuk Google+ Events, dan juga Google+ Communities. YouTube pada tahun 2012 terus membesar dengan lebih banyak kandungan yang dihasilkan pengguna, selain sokongan penjanaan wang melalui Partner Program. Pelbagai perkara lain yang telah berlaku dalam arena teknologi sepanjang 2012 ini, termasuk salah satunya adalah perbincangan pelbagai jenis akta untuk mengawal internet. Pengguna juga lebih berani mengeluarkan pendapat mereka, membuatkan beberapa perkhidmatan terpaksa mengubah kembali polisi perkhidmatan seperti sedia-kala. Kes pengodaman juga banyak berlaku pada tahun ini, membuatkan sekuriti dan data peribadi menjadi sasaran utama ramai pihak tidak bertanggungjawab. Sama-samalah kita nantikan perubahan teknologi 2013 semaada memberikan kesan positif mahupun sebaliknya.

 
Leave a comment

Posted by on January 2, 2013 in Info ICT

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s