RSS

Samsung Galaxy Gear

07 Jan

Teknologi yang boleh dipakai ataupun Wearable Tech bukanlah idea baru. Idea jam pintar yang boleh digunakan sebagai alat komunikasi sudah wujud selama puluhan tahun tetapi dipopularkan oleh watak komik Dick Tracy pada tahun 1931. Jam tangan sebagai alat komunikasi juga menjadi peranti klise setiap filem fiksyen sains dan perisikan ketika perang dingin. Sejak dua tahun kebelakangan ini kegilaan menghasilkan jam pintar hangat semula selepas kejayaan Pebble dan kit jam tangan untuk iPod Nano. Samsung Galaxy Gear ialah percubaan keempat Samsung untuk menghasilkan jam pintar. Mereka sudah menghasilkan jam tangan dengan kemampuan telefoni sejak 1999. Gear diperkasakan pemproses 800hz, 512 Mb RAM, kamera utama 1.9 Megapixel, muatan dalam 4 Gigabyte dan skrin sebesar 1.63 inci. Dari segi fizikal, bahagian luaran Gear diperbuat dari plastik dan besi. Pada bahagian tepi sebelah kanan terdapat butang kuasa. Ini adalah satu-satunya butang fizikal pada Gear. Muka hadapan jam diperbuat daripada sebongkah aluminium manakala tali jam diperbuat daripada bahan plastik yang agak keras. Kamera 1.9 Megapixel terbina diletakkan pada tali jam ini. Mekanisma menutup tali juga diperbuat daripada aluminium dan ianya juga dilengkapi mikrofon terbin.a Tidak seperti Sony Smartwatch 2 rekaan Gear kelihatan dan terasa lebih premium.

Menggunakan Gear adalah sama seperti menggunakan peranti sesentuh yang anda miliki sekarang. Tatalan kekiri atau kekanan membolehkan anda mengakses pintasan untuk aplikasi kegemaran ini. Sebanyak 10 pintasan pantas boleh diletakkan mengikut kehendak pengguna pada satu-satu masa. Penyusunan urutan aplikasi dan jumlah pintasan yang ingin diletakkan pada Gear dilakukan sepenuhnya pada telefon pintar anda dan bukan pada jam pintar ini. Dari skrin utama tatalan dari bawah keatas skrin akan membuka aplikasi kamera. Gambar diambil dengan menyentuh skrin jam. Setiap kali gambar diambil bunyi akan dihasilkan oleh Gear. Bunyi picu kamera ini agak kuat dan tidak boleh dinyahaktifkan. Ini mungkin dilakukan dengan sengaja oleh Samsung bagi mengelakkan Gear dijadikan peranti kegemaran manusia gatal yang gemar menangkap gambar secara curi-curi. Tatalan dari bawah keatas pada skrin utama pula membuka aplikasi mendail nombor telefon. Ya, Galaxy Gear boleh melakukan panggilan telefon secara terus. Terdapat sebuah mikrofon pada kancing tali jam. Apabila telefon anda berdering, Gear juga akan turut berdering dan anda boleh menjawab panggila dengan bercakap terus pada bahagian kancing Gear. Ini mengingatkan kami kepada cara watak komik Dick Tracy menjawab panggilan telefon dari jam tangan beliau.

Hidupan sebenar akhirnya mencerminkan seni. Sungguhpun begitu kami rasakan agak canggung untuk menjawab panggilan telefon dengan menggunakan gear. Orang ramai boleh mendengar dengan jelas apa yang dibualkan oleh pemanggil anda. Ketiadaan privasi ini membuatkan fungsi telefoni Gear kurang praktikal di dunia sebenar. Tatalan dari atas dan kebawah juga digunakan bagi membawa anda balik semula ke skrin utama dari mana-mana skrin ataupun aplikasi yang sedang digunakan. Jika skrin ditekan sebanyak dua kali dengan menggunakan dua jari pula, anda akan dibawa ke skrin status bateri, tetapan kelantangan bunyi dan keterangan skrin. Jika anda menekan skrin dengan dua jari dan membiarkan ia selama beberapa ketika pula skrin multitasking pula akan muncul pada skrin Gear. Aplikasi Gear Manager ialah aplikasi yang dimuat turun pada telefon pintar anda. Aplikasi ini digunakan untuk mengurus aplikasi yang boleh digunakan pada Gear. Aplikasi ini juga berfungsi sebagai manual selok belok penggunaan Gear kepada anda. Tetapan notifikasi dari aplikasi tertentu yang mahu dipaparkan juga dilakuan menerusi aplikasi ini. Aplikasi mudah digunakan dan mesra pengguna. Masalah yang kami hadapi hanyalah kekurangan aplikasi yang boleh kami gunakan. Sepanjang tempoh 6 minggu penggunaan kami hanya menemui empat aplikasi baru untuk gear.

Majoriti aplikasi yang boleh digunakan adalah aplikasi merubah gaya muka jam yang tidak berapa menarik. Adalah sukar untuk menghalalkan pembelian jam pintar berharga hampir RM 1000 ini sekiranya ia mempunyai fungsi yang masih terlalu terhad. Kekurangan aplikasi yang benar-benar berguna inilah yang membuatkan kami berasa Gear masih belum berbaloi dimiliki. Nota buat Samsung, perbanyakkanlah aplikasi yang boleh digunakan pada Gear sebelum ianya menjadi gajah putih pada pergelangan pemiliknya. Kami ada beberapa idea seperti fungsi Google Now , Google Maps ataupun Waze pada Gear. Melihat arah perjalanan pada Gear kami rasakan lebih mudah dilakukan dari melihat skrin telefon pintar semasa sedang memandu. Kami membandingkan kualiti gambar yang diambil Galaxy Gear dengan Note 3. Kamera Gear hanya sebesar 1.9 Megapixel dan kualiti gambar yang diambil seperti yang dijangkakan tidak berapa cantik. Gambar agak kusam dan tidak cukup tajam. Ia mengingatkan kami kepada kualiti gambar yang diambil menggunakan GalaxyTab 1 yang pernah kami miliki tiga tahun dahulu. Gambar pula hanya boleh diambil pada nisbah 4:3 ataupun 4:4. Gambar yang diambil boleh dihantar terus kepada telefon pintar anda sejurus selepas diambil. Ini adalah fungsi yang cukup baik. Kamera Gear juga menyokong fungsi Sound and Shot Samsung. Bagi yang kurang arif Sound and Shot merakam gambar beserta audio sepanjang 9 saat pada waktu yang sama.

 
Leave a comment

Posted by on January 7, 2014 in Gadjet

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s