RSS

Android Wear Pada Samsung Gear Live

20 Nov

Android Wear telah diumumkan oleh Google beberapa bulan yang lepas, dan telah dipertontonkan sekali lagi secara rasmi oleh gergasi internet berkenaan pada Google I/O yang lepas. Bersama-sama pengenalan Android Wear, pihak Google turut telah melancarkan beberapa peranti baru menggunakannya, termasuk salah satunya adalah Samsung Gear Live. Samsung sedia menawarkan beberapa jam tangan pintar mereka, dan pengenalan Gear Live ini merupakan peranti pertama mereka yang menggunakan platform Android Wear. Untuk makluman, pihak Samsung pernah hadir dengan jam tangan Android sepenuhnya, iaitu Galaxy Gear. Tetapi peranti berkenaan menjalankan platform Android yang diubah-suai oleh Samsung, dan bukannya yang ditawarkan oleh Google. Dari segi rekabentuk, Gear Live mengekalkan elemen rekabentuk yang hadir pada Samsung Gear 2. Apa pun, pada Gear Live ia tidak menyertakan sokongan kamera, selain butang kuasa yang diletakkan pada bahagian tepi. Panel pengecasan masih kekal seperti pada Gear 2, yang mana boleh dikatakan agak menyukarkan pengguna ketika proses pengecasan, disamping perlu menjaga dock tersebut supaya tidak hilang. Samsung Gear Live turut membawakan tali yang boleh ditanggalkan, dan diubah mengikut citarasa dan juga gaya pengguna. Untuk platform operasi, Google dilihat mengawal Android Wear, maka tiada antaramuka “TouchWiz” seperti pada peranti mudah-alih mereka pada peranti berkenaan – yang mana mungkin disukai ramai. Samsung Gear Live menggunakan Android Wear sebagai sistem operasinya. Bagi yang tidak mengenali akan Android Wear, ia merupakan platform berasaskan Android yang dibangunkan oleh Google, dan dioptimasikan khusus untuk peranti boleh-pakai. Android Wear beroperasi sepenuhnya dengan pengguna perlu menghubungkan ia terlebih dahulu kepada telefon pintar Android mereka, dan melaluinya beberapa kawalan pengurusan boleh dilakukan. Pada Android Wear, pihak Google membawakan rekaan antaramuka yang ringkas – berasaskan Cards.

Secara kasarnya, ia boleh dikatakan sebagai Google Now pada pergelangan tangan anda. Untuk berinteraksi, Google menyediakan dua sokongan, iaitu melalui kawalan skrin sentuh, dan juga melalui kawalan suara. Untuk kawalan menggunakan skrin sentuh, pengguna hanya perlu menatal ke kiri dan ke kanan, untuk melakukan beberapa perkara. Untuk mengakses kepada menu kawalan, pengguna hanya perlu swipe ke kanan, dan melihat beberapa pilihan yang disediakan. Sebagai contoh, untuk GMail, ia menawarkan sokongan untuk mengarkib emel, membalas emel dan sebagainya. Sementara untuk memadamkan sesuatu notifikasi yang diperlihatkan pada Android Wear, pengguna hanya perlu swipe ke kiri. Dan pada skrin utama, pengguna turut boleh meleretkan jari dari atas ke bawah untuk mute notifikasi ataupun untuk melihat kapasiti bateri pada jam tangan pintar pengguna. Memandangkan skrin pada jam tangan pintar adalah kecil, pihak Google menggantikan papan kekunci atas-skrin dengan sokongan kawalan suara. Umum mungkin sedia maklum yang mana input berasaskan suara daripada Google adalah antara yang terbaik di pasaran hari ini, dan perkara tersebut diimplementasikan pada Android Wear ini. Seperti pada Google Now, pengguna boleh membuat beberapa arahan dan mengawal peranti menggunakannya. Disamping itu, pengguna juga turut boleh membuat perkara seperti membalas mesej atau emel terus menggunakan input suara pada jam tangan pintar mereka. Apa pun, ia mungkin agak janggal apabila digunakan di tempat umum, dimana pengguna mungkin perlu bercakap sedikit kuat untuk memastikan input mereka berjaya dikesan oleh Android Wear. Disamping itu, talian internet juga turut perlu disambungkan – melalui telefon pintar yang dihubungkan ke Android Wear dalam memastikan ia dapat mengesan input dengan baik dan tanpa sebarang kesalahan. Google sedia menyokong input suara dalam bahasa Malaysia, namun untuk Android Wear ia hanya menyokong bahasa Inggeris sahaja buat masa ini.  Untuk mengawal dan membuat beberapa tetapan, pengguna perlu menghubungkan ia ke telefon pintar Android mereka. Pemasangan aplikasi juga turut dilakukan dengan menghubungkan ke telefon pintar pengguna, dan ia dilakukan melalui Google Play Store.

Bagi pembangun, pihak Google memudahkan proses pembangunan dan penawaran, dimana setiap aplikasi boleh menambah sokongan penawaran ke Android Wear tanpa perlu membuat penerbitan aplikasi khusus berasingan. Sekiranya sesuatu aplikasi menyokongnya, dan peranti mendapati anda mempunyai Android Wear, maka ia akan memuat-turun kandungan tambahan dan memasangnya pada Android Wear. Melaluinya, pengguna boleh membuat beberapa kawalan terus pada jam tangan pintar, disamping membukanya melalui telefon pintar. Buat masa ini, beberapa aplikasi yang telah diterbitkan dengan sokongan Android Wear adalah termasuk Duolingo, Evernote, Google Keep, InstaB, dan beberapa yang lain. Angka aplikasi yang ditawarkan dijangka akan meningkat dari hari ke hari, sekaligus memainkan salah satu peranan penting dalam perkembangan platform Android Wear ini. Bagi kami, platform Android Wear ini boleh dikatakan masih awal lagi dan mempunyai peluang yang cerah dalam arena peranti boleh-pakai, apatah lagi dengan sokongan daripada pelbagai pengeluar. Apa pun, memandangkan ia beroperasi sebagai peranti pelengkap kepada jam tangan pintar, maka mungkin harga penawaran peranti berkenaan di pasaran akan memainkan salah satu peranan penting dalam ia terus berkembang. Disamping itu, satu lagi perkara yang mungkin perlu diberi perhatian pada arena peranti boleh-pakai adalah jangka masa bertahan baterinya. Ia boleh dikatakan jangka masa bertahan bateri pada hari ini secara purata adalah sekitar tiga ke empat hari, dan mungkin agak tidak selesa untuk digunakan untuk kegunaan harian memandangkan perlu dicas sentiasa. Apa pun, ini hanya sekadar pandangan ringkas kami untuk pandang pertama Android Wear ini. Mungkin dengan pihak Samsung menawarkan Gear Live ini, kita akan dapat melihat ia dipasarkan di Malaysia lebih pantas berbanding beberapa jenama lain, sekaligus membolehkan kita menguji dan melihat secara menyeluruh kegunaan dan prestasi platform Android Wear daripada Google ini kelak.

 
Leave a comment

Posted by on November 20, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s