RSS

Oppo Find 7

20 Nov

Oppo Find 7 ialah peranti utama yang dibawa masuk oleh Oppo ke pasaran tempatan. Seperti yang kami katakan pada pandang pertama Xiaomi Redmi Note, ketiga-tiga pengeluar peranti dari China ini sedang agresif memasarkan peranti mereka di Malaysia. Seagresif Tentera Kebebasan Rakyat PRC menakluk pulau-pulau berhampiran Spratly. Oppo pada hemat kami mendahului pesaing mereka kerana membawa masuk antara peranti paling berkuasa di pasaran sekarang iaitu Oppo Find 7. Find 7 diperkasakan pemposes 2.5 GHZ empat teras dari keluarga Snapdragon 801. Ia dilengkapi RAM sebesar 3 Gigabyte dengan muatan dalaman 32 Gigabyte. Tidak seperti Oppo N1, Find 7 menyokong penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD sehingga 128 Gigabyte. Penambahan memori dalaman ini adalah sangat penting kerana Find 7 mampu mengambil video pada resolusi UHD 4K. Umum diketahui siaz fail video yang diambil pada resolusi ini adalah amat besar. Kamera 13 Megapixel dengan sensor Exmor buatan Sony digunakan sekali lagi dengan dwi flash. Ini adalah sensor yang sama yang ditemui pada N1. Tiada mekanisma kamera berputar pada Find 7 dan kamera hadapan sebesar 5 Megapixel digunakan. Skrin peranti ini ialah 5.5″ dengan resolusi QHD1440 x 2560 pixels dengan kepadatan pixel 534 ppi. Ini bermakna ketajaman skrin Find 7 adalah jauh lebih tinggi dari iPhone 5S, Macbook Air dan Huawei Ascend P7 yang lansung tidak mencecah 450 ppi.  Satu-satunya peranti di pasaran dengan skrin setajam dan secantik Find 7 sekarang ialah LG G3. Skrin Find 7 mempunyai warna yang menyerlah dan apabila teks dibaca pada pembesaran maksimum di Chrome ianya masih kekal  tajam tanpa kelihatan bergerigi (jaggy). Dari segi rekaan Find 7 agak konservatif. Panel belakang diperbuat daripada plastik dan ianya boleh dibuka bagi mengakses bateri, slot kad SIM dan MikroSD. Panel ini sangat nipis dan tercantum dengan rapat pada tubuh peranti. Ianya sangat sukar untuk ditanggalkan. Ia mempunyai tekstur kasar yang kami gemari kerana memudahkan genggaman. Kemasan tepi mempunyai sentuhan besi manakala panel depan kaca sepenuhnya tanpa sebarang butang fizikal. Sebaliknya Find 7 menggunakan butang kapasitif sepenuhnya. Butang home dihimpit butang back pada bahagian kanan dan butang menu pada bahagian kiri. Untuk melancarkan skrin multi tasking anda perlu menekan butang menu selama beberapa saat.  Google Now pula dilancarkan dengan menekan butang home selama beberapa saat juga.

Pada bahagian bawah butang kapasitif terdapat lampu notifikasi bewarna biru yang menyala ketika peranti di cas dan anda menerima mesej. Butang kuasa terletak pada bahagian kiri manakala butang suara pada bahagian kanan. Fon jack kepala diletakkan pada bahagian atas dan port pengecas USB pada bahagian bawah. Bercakap tentang mengecas, sebuah alat pengecas khas dibekalkan Oppo bagi membolehkan anda mengecas dengan kepantasan melampau. Pengecas khas ini mampu mengecas bateri Find 7 dari 0 ke 70% dalam masa setengah jam. Kelajuan mengecas ini penting kerana bateri FInd 7 adalah kecil dengan kapasiti hanya 3000 mAh. Kombinasi skrin QHD dan pemproses berkuasa tinggi pastinya dapat menghabiskan bateri dengan amat pantas. Secara keseluruhan kualiti binaan dan kemasan adalah baik. Terasa peranti ini dibina dengan kukuh dan ianya juga agak berat dipegang. Kami penggemar peranti berat kerana lebih sedap dipegang pada tangan tetapi sekiranya anda lebih gemarkan peranti ringan, Find 7 mungkin bukan untuk anda. Sistem operasi masih lagi Android Jelly Bean dengan antaramuka Color OS versi 1.2 . Ini sedikit mengecewakan kerana kami berharap peranti utama sesebuah syarikat seharusnya menggunakan binaan Android terkini.  Hanya binaan Color OS sahaja diberikan penaiktarafan berbanding yang digunakan pada Oppo N1. Apakah fungsi – fungsi baru yang diperkenalkan? Anda kini boleh melancarkan Google Now secara terus dengan kawalan suara walaupun ketika skrin terpadam. Hanya perlu menuturkan “hello Snapdragon” dan aplikasi Google Now akan dilancarkan secara automatik. Peranti juga boleh dikunci secara dengan menekan butang home sebanyak dua kali. Kami juga menyedari pada Color OS 1.2 anda boleh menyahaktifkan fungsi exclusive space. Exclusive space menetapkan 2 skrin kepada fungsi pemain muzik dan Photo Space (yang membolehkan anda mengambil gambar seperti Polaroid). Skrin ini diakses dengan mentatal ke bahagian kanan skrin dari skrin utama. Kami tidak memerlukan fungsi ini dalam kegunaan harian dan sangat mengalu-alukan kemampuan menyahaktifkannya di dalam Color OS 1.2. Color OS seperti Emotion UI dan MIUI juga mempunyai pelbagai tema yang boleh dimuat turun sekiranya tema yang diberikan tidak memenuhi citarasa anda. Kami kurang menggemari antaramuka asal Color OS dan menerusi fungsi tema yang sedia ada kami boleh mengubah kepada rupa seakan Android asal.

Tema khas untuk skrin kekunci juga boleh dimuat turun dari aplikasi kustomasi Color OS yang disediakan. Terdapat puluhan tema yang boleh dipilih pengguna dan ianya mudah digunakan. Fungsi gerakan jari (gesture) masih dikekalkan dengan penambahan beberapa lagi gerakan yang boleh diprogramkan mengikut kehendak pengguna. Seperti di Oppo N1, anda boleh juga mencipta pergerakan jari anda sendiri mengikut keperluan peribadi anda. Sebuah lagi fungsi baru  yang hadir kali ini ialah kemampuan mengunci peranti tanpa perlu menekan butang kuasa. Kini ia dapat dilakukan dengan menekan butang home sebanyak dua kali.  Jika butang home ditekan sebanyak dua kali dalam keadaan skrin dikunci, skrin akan diaktifkan dengan segera. Dalam tempoh 24 jam penggunaan kami tidak menghadapi sebarang masalah dengan Find 7. Ianya sangat lancar dan pantas. Ini paling kami sedari ketika menggunakan aplikasi kamera. Gambar diambil sepantas anda menekan butang pengatup. Pada penggunaan biasa tiada masalah kepanasan juga pada belakang peranti sungguhpun Find 7 mempunyai pemproses kelas tinggi. Peranti hanya menjadi sedikit panas apabila aplikasi GPS digunakan. Sensor Exmor Sony bersaiz 13 Megapixel digunakan pada Find 7. Pada FInd 7 ia mampu mengambil video pada resolusi 4K dan gambar pada resolusi 50 Megapixel di dalam mod yang diberi nama HD Picture. Sensor yang digunakan ini ialah sensor yang sama yang digunakan pada Oppo N1. Kami kurang berpuas hati dengan kualiti gambar yang diambil menggunakan N1. Nampaknya Oppo melakukan beberapa penambahbaikan pada perisian kamera dan kali ini masalah dedahan berlebihan N1 tidak berlaku pada Find 7. Kami melakukan perbandingan gambar yang diambil menggunakan Find 7 dengan yang diambil menggunakan Huawei Ascend P7 dan Xiaomi Redmi Note. Ketiga-tiga peranti ini mempunyai kamera dengan saiz 13 Megapixel. Jadi ianya sebuah perbandingan yang kami rasakan adil. Ujian pertama ialah di dalam kawasan tertutup. Kami merasakan gambar yang diambil menggunakan Huawei Ascend P7 adalah terbaik di sini. Tidak terlalu gelap dan penghasilan warna yang baik. Pada FInd 7 gambar lebih gelap berbanding yang diambil dua peranti yang lain. Gambar yang diambil menggunakan Xiaomi Redmi Note nampak sedikit kebiruan. Ini pula ujian mengambil gambar di waktu pagi ketika matahari masih belum terbit seterusnya. Sekali lagi kami merasakan gambar yang diambil Ascend P7 adalah paling seimbang. Tetapi kami merasakan penghasilan semula warna pada Redmi Note adalah yang paling tepat. Gambar yang diambil menggunakan Find 7 adalah baik tetapi sekali lagi sedikit gelap berbanding dua peranti lain.

Sekali lagi Ascend P7 mengambil gambar yang terbaik. Penghasilan warnanya juga tepat. Kekurangan pada Find 7 adalah ianya sekali lagi sedikit gelap tetapi waran hijau rimbunan buluh yang diambil nampak hidup. Gambar yang diambil Redmi Note sedikit kusam dari segi penghasilan warna. Berikut pula adalah dua ujian menggunakan fungsi HD Picture yang mengambil gambar pada resolusi 50 Megapixel. Pada pandangan kami kualiti gambar yang diambil pada 50 MP tidak akan disedari perbezaannya jika anda tidak melihatnya pada skrin besar. Sekilas pandang memang tidak nampak langsung perbezaan. Apabila gambar di zoom dengan lebih teliti kami hanya menyedari gambar yang diambil di dalam mode HD Picture mempunyai jumlah noise yang kurang. Perbezaannya tidaklah terlalu besar walaupun saiz gambar meningkat 3 kali ganda. Gambar yang diambil menggunakan Find 7 adalah baik dari segi penghasilan warna dan kualiti gambar. Tiada masalah noise walaupun pada keadaan cahaya yang kurang. Satu -satunya masalah yang ada adalah ianya gambar yang diambil adalah gelap berbanding dua pesaing Huawei Ascend P7 dan Xiaomi Redmi Note. Ianya masih memandai untuk perkongsian media sosial dan jauh lebih baik dari Oppo N1 yang mempunyai masalah dedahan berlebihan yang kronik. Video 4K yang diambil adalah baik dan tiada masalah rolling shutter. Masalah yang timbul ialah saiz video yang  besar. Video sepanjang 40 saat mengambil ruang lebih dari 200 Megabyte. Jelas kelihatan Find 7 mengungguli carta markah ujian di bawah. Sebelum ini peranti yang mencatat markah tertinggi di Amanz.My ialah Xperia Z Ultra diikuti pula oleh Galaxy Note 3. Satu-satunya ujian di mana Find 7 gagal mengalahkan markah yang dicatatkan dua peranti ini ialah dalam ujian Futuremark. Sepanjang tempoh ujian tiada masalah yang kami temui. Tiada masalah lengah masa dan aplikasi tertutup dengan sendiri.  Dari segi kemampuan tidak sah lagi Find 7 berprestasi tinggi. Kombinasi skrin Quad HD, pemproses 2.5 GHz serta bateri yang hanya sebesar 3000 mAh nyata menjadi tumit Achilles Oppo Find 7. Kelemahan paling utama telefon pintar ini ialah jangka hayat bateri yang terlalu pendek. Dari graf di bawah anda boleh lihat dengan penggunaan berat peranti ini hanya mampu bertahan selama 7 jam 15 minit. Pada penggunaan sederhana pula ia hanya mampu bertahan selama 10.5  jam. Ini adalah lebih rendah dari hayat bateri purata selama 9 jam pada penggunaan berat dan 26 jam pada penggunaan ringan pada peranti-peranti lain yang pernah kami ulas.  Pihak Oppo sepatutnya meletakkan bateri dengan kapasiti lebih pada Find 7. Kami yakin Oppo menyedari masalah hayat bateri yang pendek ini kerana mereka memberikan fungsi pengecasan pantas pada Find 7. Arus pengecas Oppo Find 7 adalah lebih tinggi dari pengecas biasa dan turut didatangi dengan kepala pengecas yang sedikit berbeza dari mini USB biasa. Ianya juga lebih panjang. Dalam ujian pengecasan, pengecas khas ini mampu mengecas sebanyak 1.8 % setiap minit. Ini bermakna Find 7 dapat dicas sehingga penuh dari 0% dalam masa kurang dari 56 minit. Ini adalah sangat pantas. Mod pengecasan kilat ini tidak boleh digunakan pada peranti lain dan pengecas biasa pula tidak mampu mengecas Find 7 pada kelajuan pantas.

 
Leave a comment

Posted by on November 20, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s