RSS

Ulasan : Sony Xperia T2 Ultra

20 Nov

Tahun lalu Xperia Z Ultra diperkenalkan dan ianya merupakan phablet terbesar yang pernah kami ulas di makmal peranti Amanz. Peranti dengan skrin 6.4″ itu dilengkapi dengan pemproses setanding dengan Xperia Z1 tetapi ianya dicacatkan dengan kemampuan optik yang sangat mengecewakan. Kamera utama 8 Megapixel tanpa sokongan flash Z Ultra dan harga yang terlalu mahal membuatkan ianya bukan peranti pilihan kebanyakan pengguna yang mahukan phablet dengan saiz skrin melangkaui 6 inci. Xperia T2 Ultra ialah usaha Sony bagi memperbaiki kesilapan strategi mereka ketika menghasilkan Z Ultra. Mereka akhirnya menyedari kemampuan kamera dan flash masih penting bagi penggemar phablet. Penghasilan Z Ultra sebagai “peranti menonton media” semata-mata jelas tidak memenuhi kehendak majoriti pengguna. Jadi apakah yang membezakan T2 Ultra dengan Z Ultra. Pertama sekali pemproses kelas sederhana digabungkan dengan skrin 6″ Triluminos dengan resolusi 720P. Nyata sekali T2 Ultra bagi Sony adalah seperti Galaxy Mega untuk Samsung. Sebuah peranti gergasi dengan spesifikasi sederhana. Jika Ultra diperkasakan dengan pemproses 2.2 GHz empat teras Snapdragon 800. T2 Ultra hanya diperkasakan pemproses 1.4 GHz empat teras Snapdragon 400. Sekilas pandang ianya kelihatan seperti sebuah Z Ultra yang dikecilkan. Tetapi sebenarnya perubahan pada T2 Ultra adalah lebih drastik. Tidak seperti kesemua keluarga Xperia yang dikeluarkan sejak 2 tahun yang lalu, T2 Ultra tida kalis air ataupun debu. Panel kad SIM dan slot kad Mikro SD tidak tertutup kedap. Paling ketara slot pengecas Mikro USB peranti ini juga terbuka. Ini adalah sedikit mengecewakan pada pendapat kami kerana Sony kini mendahului pasaran peranti pintar yang kilas air dan debu. Oleh sebab itu juga port pengecas menggunakan docking station yang ada pada Z, Z1, Z2 dan Z Ultra tidak ada pada bahagian tepi peranti ini.  Apa yang dikekalkan ialah rekaan butang Omni-balance dan butang khas untuk kamera pada sisi kanan peranti. Seperkara lagi yang membezakan T2 Ultra dengan keluarga Xperia sebelum ini ialah pembesar suara yang kini terletak pada bahagian belakang dan bukannya pada sisi sebelah kanan. Pembesar suara yang lebih besar ini juga memberikan lontaran bunyi yang lebuh kuat dan lantang. Walau bagaimanapun ianya masih pembesar suara mono dan bukannya stereo. Panel belakang T2 Ultra diperbuat daripada plastik dan bukannya kaca tertempa yang sinonim dengan siri Xperia sejak kebelakangan ini. Penggunaan bahan plastik ini membuatkan T2 Ultra terasa amat ringan. Biasanya kami akan memberikan markah negatif kepada peranti dengan panel belakang plastik. Tetapi di dalam kes T2 Ultra panel belakang plastik ini lebih selesa dipegang berbanding panel kaca tertempa. Pada panel belakang ini juga ditempatkan kamera sebesar 13 Megapixel dengan flash. Kamera ini mampu mengambil video pada resolusi 1080P. Tiada sokongan merakam video 4K ataupun pergerakan perlahan kerana kekurangan kuasa memproses Snapdragon 400. Akhir sekali sensor NFC juga terletak pada panel belakang ini. Xperia T2 Ultra masih menggunakan binaan Android 4.3 Jelly Bean. Tiada perbezaan estetik pada rekaan antaramuka peranti ini berbanding Xperia Z1. Navigasi dilakukan dengan menggunakan 2 butang pada skrin. Butang home diapit butang back pada bahagian kiri dan butang multi tasking pada bahagian kanan. Menu Google Now diaktifkan dengan menekan butang home untuk beberapa saat. Kerana ianya masih binaan Jelly Bean, masih tiada butang menutup kesemua aplikasi sekaligus pada skrin multi tasking. Anda perlu menutup aplikasi secara satu persatu. Fungsi penutupan secara pukal ini hanya wujud selepas kemasan Kit Kat. Kami difahamkan T2 Ultra hanya akan menerima kemasan 4.4.2 pada pertengahan Julai ini. Kami merasakan penggunaan Jelly Bean pada sebuah peranti yang diumumkan pada bulan Januari 2014 adalah tidak masuk akal. Android versi Kit Kat diumumkan pada bulan Oktober 2013. Kenapa T2 Ultra tidak menggunakan sistem operasi yang terkini? Sebuah fungsi baharu yang kami sedari ada pada T2 Ultra ialah apabila butang home ditekan sebanyak dua kali dengan pantas. Talam notifikasi akan terbuka secara automatik dengan butang-butang pintasan pantas akan tersusun pada bahagian bawah skrin. Ini memudahkan jari anda menekan butang yang sebelum ini terletak pada bahagian atas skrin. Skrin T2 Ultra adalah besar dan kedudukan butang di bahagian atas ini adalah tidak mesra pengguna. Fungsi baharu ini sedikit sebanyak memudahkan anda untuk mengaktifkan WiFi HotSpot ataupun NFC dengan menggunakan sebelah tangan. Aneh sekali fungsi ini tidak pula disertakan pada Xperia Z Ultra selepas kemasan Kit Kat. Kami rasakan fungsi ini amat diperlukan pemilik Z Ultra kerana skrinnya yang jauh lebih besar dan oleh itu sukar untuk menggunakannya dengan hanya sebelah tangan. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah besar. Tiada masalah skrin enggan hidup semula sehingga memerlukan kami melakukan hard reset seperti yang kami alami ketika menggunakan Xperia Z1 dahulu. Aplikasi berjalan dengan baik dan cukup lancar. Apa yang sedari ialah kelajuan menukar aplikasi dan tatalan tidak teralalu lancar. Ini adalah sesuatu yang kami duga sejak awal lagi kerana peranti ini hanya dilengkapi RAM sebanyak 1 Gigabyte sahaja dan menggunakan pemproses kelas sederhana. Pada penggunaan yang lama kami tidak menghadapi masalah peranti menjadi panas. Kami menggunakan aplikasi Waze untuk memandu sekitar Kuala Lumpur dan peranti ini tidak mengalami masalah kepanasan  yang kami sedari muncul pada peranti Xperia lain yang pernah kami ulas. Kamera dengan sensor sebesar 13.1 Megapixel digunakan pada T2 Ultra. Gambar yang diambil adalah memuaskan terutamanya pada situasi gelap. Kesemua fungsi asas aplikasi kamera Xperia ada pada T2 Ultra kecuali fungsi rakaman 4K dan pergerakan perlahan yang diperlihatkan pada Xperia Z2.  T2 Ultra mempunyai butang kamera khas pada bahagian kiri peranti yang memudahkan proses melancarkan aplikasi kamera dan menangkap gambar. Sungguhpun begitu kami sedari tempoh masa yang diambil untuk mengambil gambar adalah sedikit perlahan pada phablet ini. Ianya tidak sepantas Z1, Z2 dan Z Ultra. Ini kami rasakan adalah had kuasa memproses Snapdragon 400 yang digunakan. Sekiranya anda ingin mengambil gambar objek yang sedang bergerak, gambar yang diambil kerap kali kabur dan terlepas apa yang ingin anda rakamkan. Kami membandingkan gambar yang diambil T2 Ultra dengan dengan gambar dari Oppo N1. Ini adalah kerana saiz sensor yang serupa dan Oppo N1 menggunakan sensor buatan Sony. Apa yang kami sedari sekilas pandang ialah penghasilan semula warna pada T2 Ultra adalah lebih semula jadi berbanding N1. Kesemua foto dari N1 mempunyai warna yang lebih panas dan kekuningan.  Ini dapat dilihat pada foto lobi hotel di bawah di mana dinding marmar berwarna putih kini berwarna kuning.

 
Leave a comment

Posted by on November 20, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s