RSS

6 Teknologi Yang Seusia Dengan Malaysia

23 Nov

Selamat Hari Malaysia kami ucapkan kepada kesemua pembaca kami. Pada hari ini genaplah 51 tahun gagasan Malaysia disambut dengan prinsip kesama rataan, hormat menghormati dan cinta mencintai sesama penduduk Tanah Melayu, Sabah, Sarawak dan dahulunya Singapura. Singapura tidak lagi bersama kita untuk menyambut hari yang sangat bersejarah ini. Sempena Hari Malaysia kami rasakan adalah bagus sekiranya kami menulis artikel yang bertemakan hari Malaysia. Mari lihat jenama teknologi dan tarikh penting dunia teknologi yang berlaku pada tahun yang sama Malaysia ditubuhkan. Tetikus ialah peranti kawalan komputer yang prototaipnya dihasilkan pada tahun 1963. Ianya dicipta oleh Douglas Carl Engelbart sebagai sebahagian dari kajian interaksi manusia dan komputer awal pada waktu itu. Ianya diperbuat daripada kayu dengan sebuah butang pada bahagian atas. Dua buah roda besi pada bahagian bawa merekod pergerakan paksi X dan Y yang kemudiannya menggerakkan anak panah pada paparan komputer. Tetikus mendapat namanya kerana pada prototaip asal kabel yang menyambungkannya kepada komputer terletak pada bahagian belakang. Paten kepada tetikus hanya difailkan pada tahun 1970 dan hak paten ini berakhir sebelum tetikus digunakan secara meluas oleh komputer peribadi. Douglas Engelbart meninggal dunia Julai tahun lalu pada usia 88 tahun akibat kegagalan buah pinggang. Engelbart bukan sahaja bapa tetikus tetapi dianggap sebagai bapa penggunaan antaramuka grafik (GUI) moden yang digunakan kesemua komputer dan peranti pintar yang digunakan sekarang. Lihat antaramuka aplikasi panggilan telefon peranti pintar anda sekarang. Barisan nombor 0 sehingga sembilan dan dua butang tambahan ini kita lihat setiap hari dan bagi mereka yang berusia bawah 30 tahun adalah antaramuka yang dikaitkan dengan telefon. Kepada pembaca yang lebih tua, telefon dengan sistem mendail ini pertama kali mereka lihat pada dekad 80an. Sebelum ini kesemua telefon awam dan yang dibekalkan Jabatan Telekom Malaysia menggunakan sistem pendail berputar. Adaptasi sistem pendail nombor yang ditekan mungkin agak lambat di Malaysia tetapi ianya diperkenalkan buat kali pertama di dunia pada tahun 1963.

AT&T memperkenalkan sistem Touch Tone yang menggantikan sistem Pulse Dialing. Model awal telefon butang tekan ini mempunyai 10 butang sahaja berbanding 12 yang biasa kita lihat sekarang. Sistem telefon dengan butang tekan pada awalnya digunakan di pejabat bagi mengurangkan masa yang diambil untuk mendail nombor pelanggan. Penggunaannya secara menyeluruh hanya berlaku pada dekad 80an selepas harga telefon butang tekan berjaya diturunkan. Kaset kompak ialah sumber muzik kami ketika masih di bangku sekolah. Puluhan kaset yang kami beli semasa muda remaja dahulu kini sudah rosak akibat tersangkut pada pemain kaset dan jangkitan fungus yang kronik. Kesemua koleksi muzik kami kini hanya tinggal kenangan dan dengan adanya perkhidmatan muzik seperti Spotify kami tidak berniat untuk menggantikan koleksi muzik fizikal kami dalam masa terdekat. Kaset kompak diperkenalkan oleh Philips pada 13 September 1963. Ianya dicipta khas untuk menggantikan sistem pita terbuka yang digunakan pada waktu itu. Kaset kompak bukan sahaja lebih kecil dan mudah di bawah, tetapi cangkerang keras kaset kompak memastikan pita magnetiknya tidak mudah rosak. Pada awalnya kaset kompak boleh merakan 60 minit audio dan hanya digunakan untuk merakan audio percakapan. Hanya pada tahun 1966, syarikat rakaman Mercury Amerika Syarikat mula menjual kaset berisi lagu. Versi awal kaset berisi lagu tidak mendapat sambutan kerana kualiti audio yang tidak sebaik piring hitam. Menjelang 80an dengan terciptanya pita magnetik HiFi dan Sony Walkman, kaset kompak mula terjual lebih banyak dari piring hitam. Sungguhpun pemain muzik digital sekarang memberikan kualiti audio yang lebih baik dan lebih mudah dibawa kemana-mana, kami merindui zaman memutar kaset di hujung penutup pen. Menikmati muzik di zaman kaset memerlukan anda “bekerja”. Kini ianya sebuah kegiatan yang pasif. Apa yang anda lakukan di pagi Hari Malaysia? Sebelum melakukan suntingan terhadap artikel ini kami menonton berita di saluran Astro Awani bagi memenuhi ilmu duniawi di dada. Sejak diperkenalkan pada tahun 1996, Astro kini menjadi pembekal siaran televisyen satelit utama Malaysia.

Tetapi tanpa Syncom 2 yang dilancarkan oleh NASA pada Julai 1963, siaran TV satelit dan komunikasi antara benua tidak akan menjadi realiti. Syncom 2 ialah satelit geoserentak (geosynchronous) pertama di dunia. Satelit geoserentak menjadikan komunikasi antara benua semakin mudah. Parabola Astro anda tidak perlu diselarikan mengikut kedudukan satelit yang bergerak setiap kali ianya ingin menangkap siaran TV. Pada tahun yang sama, panggilan telefon menggunakan satelit berlaku di antara Presiden John F Kennedy dengan Presiden Abubakar Balewa dari Nigeria. Ujian siaran televisyen dan audio melalui Syncom 2 juga dilakukan yang menjadi pelopor kepada siarang HD yang kini nikmati sekarang. Emoticon yang paling kerap kami gunakan di laman media sosial ialah Smiley. Wajah senyuman lebar dengan latar belakang bulatan berwarna kuning ini dihasilkan oleh Harvey Ball. Rekaan smiley yang ikonik ini dihasilkan oleh beliau untuk kegunaan pekerja State Mutual Life Assurance Company . Syarikat insuran ini mahukan rekaan cerita bagi menaikkan moral pekerja mereka. Ribuan butang dengan lukisan Harvey Ball ini diedarkan di kalangan pekerja dan juga pelanggan State Mutual Life Assurance Company. Rekaan ini kemudian dicetak pada baju, topi dan kad di seluruh dunia. Emoticon smiley yang wujud sekarang dicipta pada 19 September 1982 oleh Scott Falman, seorang pelajar di Universiti Carnegie Mellon. Penggunaan simbol  :)  bermula bagi menunjukkan apa yang anda tulis adalah jenaka dan bukannya sesuatu yang serius di forum pelajar. Teleskop Radio Arecibo yang terletak di Puerto Rico ialah teleskop radio terbesar di dunia. Teleskop ini mempunyai diameter 305 meter. Sekilas pandang ia kelihatan seperti sebuah parabola legap yang diperbuat daripada simen. Sebenarnya ia terdiri daripada 38777 panel aluminium berlubang yang digantung menggunakan kabel. Seperkara lagi teleskop radio ini tidak dibina di dalam bekas kawah gunung berapi ataupun bekas hentaman meterit (ini adalah leganda urban yang kami dengar semasa di bangku sekolah). Ia sebenarnya dibina di dalam kawah semula jadi yang berlaku akibat runtuhan gua batu kapur bawah tanah.

Teleskop Arecibo menjadi terkenal di dunia pada tahun 1974 kerana penglibatannya dengan projek SETI (Search for Extra Terrestrial Intelligence). Kod radio yang diberi nama Arecibo Message dipancarkan ke kluster globular M13 yang terletak 25 000 tahun cahaya dari bumi.  Maklumat yang dipancarkan hanya sebesar 210 byte tetapi mempunyai maklumat kedudukan bumi, rupabentuk manusia, maklumat DNA dan rupa teleskop Arercibo. Adalah diharap sekiranya pancaran Arecibo Message ini didengari oleh makhluk asing, mereka dapat mentafsir mesej yang disampaikan menggunakan formula matematik. Teleskop Arecibo sekali lagi mendapat perhatian dunia setelah dipaparkan di dalam filem Contact lakonan Jodi Foster yang merupakan adaptasi novel saintis terkenal Carl Sagan. Di dalam filem Contact Jodi Foster yang bekerja di Arecibo menerima mesej dari makhluk asing yang kemudian berinteraksi dengan manusia buat pertama kali. Itulah enam terknologi dan binaan yang dilahirkan pada tahun yang sama Malaysia ditubuhkan. Setiap teknologi yang kami paparkan di dalam artikel ini kemudiannya berkembang menjadi teknologi yang lebih baik dan berguna untuk manusia sejagat. Kami juga berharap seperti teknologi yang dipaparkan, negara kita yang hebat ini akan mampu membawa kebaikan kepada manusia sejagat. Kita mempunyai rakyat yang berbakat, pintar, kreatif dan berdaya saing seperti negara-negara maju yang lain. Tiada sebab rakyat Malaysia tidak boleh meninggalkan legasi ataupun menghasilkan penemuan yang menggegarkan dunia. Selamat Hari Malaysia yang ke 51 kami ucapkan kepada pembaca semua.

 
Leave a comment

Posted by on November 23, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s