RSS

Dell Inspiron 11 3000 Series 2-Dalam-1

23 Nov

Tiga tahun dahulu Ultrabook diperkenalkan bagi menentang tablet yang mula memasuki pasaran. Jualan komputer riba yang semakin merudum sejak kebelakangan ini menunjukkan strategi Ultrabook mungkin tidak berjaya memcapai sasaran. Kemudian Microsoft menukar strategi dengan “mentabletkan” komputer riba. Dengan Windows 8 akhirnya sistem operasi Windows dibina khusus dengan sokongan skrin sesentuh. Hasilnya ialah Surface, komputer riba di dalam kerangka sebesar tablet tetapi dengan kemampuan penuh sebuah PC. Jualan Surface Pro adalah menggalakkan dengan Surface 3 mendapat banyak pujian dengan beberapa penambahbaikan dari model – model sebelumnya. Jadi masih adalah ruang di pasaran untuk komputer riba boleh ubah seperti Dell Inspiron 11 3000 Series 2-dalam-1 ? Sekali pandang Dell Inspiron 11 3000 Series 2-dalam-1 kelihatan seperti sebuah komputer riba biasa. Panel tubuh komputer ini diperbuat daripada plastik tetapi diberikan catan untuk kelihatan seperti saduran aluminium. Bingkai skrin dan kasis pula diperbuat daripada besi. Model yang kami ulas diperkasakan pemproses Intel Pentium empat teras N350, 4GB RAM dan muatan dalaman cakera keras sebesar 500 Gigabyte. Skrin adalah sebesar 11.6 ” beresolusi 1366x 768 pixel dengan sokongan skrin sesentuh.  Pada bahagian kiri terdapat 2 port USB 2.0. satu output HDMI, jack fon kepala dan slot pengecas. Pada sebelah kanan pula terdapat 1 port USB 3.0, pembaca kad SD, butang kuasa dan butang suara. Pembesar suara stereo diletakkan pada kedua – dua sisi ini. Pada bahagian bawah terdapat ruang edaran udara. Bateri 3 sel dengan 43Whr digunakan dan bateri ini tidak boleh ditanggalkan. Panel bawah juga diperbuat daripada bahan plastik yang disadur catan metalik. Secara keseluruhan Dell Inspiron 11 3000 Series 2-dalam-1  adalah sebuah komputer yang kelihatan kemas dan cantik. Binaannya juga teguh dan dilengkapi engsel skrin yang keras.

Kami pernah mengulas beberapa komputer riba sebelum ini dan ada beberapa model yang dilengkapi engsel lembut. Apabila anda menaip dengan laju skrin komputer riba akan mula bergegar dan kadang kala tiupan angin dari kipas juga akan membuatkan skrin bergoyang. Masalah ini tidak kami alami pada Dell Inspiron 11 3000 Series 2-dalam-1 . Perkara paling unik tentang komputer riba ini ialah ianya boleh digunakan di dalam empat konfigurasi berbeza. Empat konfigurasi tersebut ialah komputer riba, tablet, khemah dan penyampaian. Tedapat dua engsel yang menyambungkan skrin kepada tubuh utama komputer ini. Engsel ini membenarkan skrin Inspiron 11 diputar sehingga 360 darjah. Apabila diputarkan sepenuhnya ianya berubah menjadi sebuah tablet dan papan kekunci yang sedia ada dinyahaktifkan secara automatik. Di dalam mod khemah pula Inspiron berdiri seakan mengangkang. Mod penyampaian adalah hampir serupa dengan mod khemah cuma papan kekunci kini berfungsi seperti sebuah tetongkat. Secara peribadi kami rasakan majoriti pengguna hanya akan menggunakan mod komputer riba dan tablet. Dua lagi mod tambahan yang diberikan tidak begitu mesra pengguna dan canggung untuk digunakan. Bercakap tentang mod tablet, Inspiron 11 kurang selesa digunakan di dalam mod ini kerana ianya agak berat. Tangan anda pastinya penat sekiranya memegang komputer ini dengan sebelah tangan. Sungguhpun begitu kami sukakan butang Windows fizikal yang diletakkan pada permukaan hadapan skrin. Tidak seperti butang kapasitif pada Surface 2 yang kami ulas sebelum ini, butang fizikal ini menghindarkan masalah tertekan butang Windows secara tidak sengaja ketika mod tablet digunakan. Bahagian bezel skrin yang besar juga memudahkan anda menggenggam Inspiron 11 di dalam mod ini. Papan kekunci ialah dari jenic chicklet tanpa sokongan pencahayaan bawahan. Permukaan papan kekunci sedikit bergetah dan ini membuatkan proses menaip amat selesa.

Ruang antara kekunci juga cukup besar dan mengelakkan anda dari tertekan kekunci yang salah ketika melakukan kerja. Kami difahamkan papan kekunci ini juga kalis tumpahan air. Ini adalah penting kerana ketika di dalam mod tablet, papan kekunci ini akan menampung berat komputer. Jika tempat anda meletakkan Inspiron 11 agak basah, sekurang – kurangnya anda tidak perlu risau ia akan merosakkan papan kekunci. Dalam laman sesawang Dell mereka mendakwa kekunci sudah diuji sebanyak 10 juta taipan tanpa sebarang masalah. Trackpad Inspiron 11 adalah kurang memuaskan. Tatalan skrin untuk melayari laman sesawang menggunakan trackpad tidak berapa lancar. Nasib baik Inspiron 11 mempunyai skrin sesentuh dan melakukan tatalan dengan menyentuh skrin adalah lebih lancar, mudah dan tidak menyakitkan hati. Jika anda mahu memiliki komputer riba ini kami syorkan anda mendapatkan sebuah tetikus. Trackpad yang disertakan lebih baik jangan digunakan. Kerana ianya sebuah komputer riba kelas permulaan kami menyedari Inspiron 11 tidak sesuai digunakan untuk tugasan berat. Sebagai contoh terdapat sela masa apabila kami cuba menyunting fail PSD bersaiz besar menggunakan Adobe Photoshop. Kekurangan dari segi pemproses dari keluarga Pentium, RAM hanya 4GB dan ketiadaan kad grafik khas menyebabkan masalah ini berlaku. Memproses video HD penuh juga mengambil masa yang agak lama. Tetapi harus diingatkan Inspiron 11 memang tidak dihasilkan untuk kerja berat. Ia disasarkan untuk pelajar dan pekerja pejabat untuk menghasilkan tugas kerja. Jika keperluan dihadkan kepada tugasan sebegini komputer riba ini lebih dari memandai. Ulasan ini sendiri ditaip menggunakan komputer riba ini. Tiada masalah yang kami sedari selain dari bahagian bawah yang menjadi sedikit panas selepas digunakan untuk beberapa ketika. Pada penggunaan biasa kami berjaya menggunakan komputer riba ini selama 5-6 jam.

 
Leave a comment

Posted by on November 23, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s