RSS

HTC Desire 610

23 Nov

Peranti berspesifikasi pertengahan kini didominasi oleh Motorola Moto G. Spesifikasi yang ditawarkan seperti cip pemprosesan Snapdragon 400 dan Android 4.4 KitKat memberikan prestasi harian yang cukup pantas disamping kini hadir dengan fungsi LTE, menerusi Motorola Moto G LTE. Keupayaan baterinya yang mampu bertahan selama sehari menjadikan peranti ini antara pilihan ramai pengguna sekaligus mengangkat Moto G antara peranti dengan jualan tertinggi daripada Motorola. Namun terdapat beberapa kelemahan Moto G LTE terutama dari segi kameranya yang hanya hadir dengan sensor 5-megapiksel. Dari segi rakaman videonya pula hanya ditawarkan dengan rakaman 720p walaupun kita sedar kemampuan pemprosesan Snapdragon 400 sebenarnya boleh mengendalikan fungsi rakaman video setinggi Full HD 1080p. Kekurangan lain antaranya pembesar suara yang didatangkan pada Moto G adalah hanya sekadar mono dan bukan stereo. HTC Desire 610 adalah peranti yang boleh dikatakan setanding dengan Moto G LTE yang mana ia menawarkan beberapa nilai tambahan padanya. Ia hadir dengan kamera 8-megapiksel dan kualiti audio yang lebih baik, menjadikan peranti ini antara tawaran yang perlu dilihat selain peranti daripada Motorola tersebut. Persoalannya, mampukah Desire 610 memberikan nilai yang lebih baik berbanding Moto G LTE? Ikuti ulasan kami di bawah. HTC sering bereksperimen dengan rekabentuk peranti mereka. Tahun demi tahun, mereka mengetengahkan rekabentuk peranti yang lain daripada yang lain berbanding peranti yang berada di pasaran masa kini. HTC One adalah contoh bagaimana HTC mampu hadir dengan rekabentuk peranti menarik dan kelihatan premium apabila memegangnya. Kombinasi binaan logam sebagai teras utama HTC One sememangnya mampu menarik perhatian ramai dan secara tidak langsung ia mengangkat martabat flagship HTC ini sebagai telefon pintar terbaik di dunia. Namun, HTC Desire 610 antara eksperimen yang sedikit mengecewakan yang mana ia hanya hadir dengan binaan yang berteraskan plastik. Ketika melihat peranti ini buat kali pertama, saya agak kecewa kerana HTC sebenarnya mampu hadir dengan rekaan yang lebih menarik dan bukannya seperti rekabentuk Desire 610 ini.

Kehadiran bezel paparan yang agak tebal dan rekaan lubang speaker yang agak besar pada bahagian hadapan ternyata memberikan impresi buruk apatah lagi rekaan yang sepenuhnya diperbuat daripada plastik. Ia tidak seperti rekaan speaker yang terdapat pada One (M7 dan M8) yang saya kira lebih kecil dan lebih menarik dilihat berbanding speaker pada Desire 610. Bercakap mengenai port sambungan, Desire 610 menampilkan port sambungan standard seperti kebiasaan peranti lain. Pada bahagian atas peranti, ia menampilkan lubang earphone 3.5 mm dan bagi saya ini adalah salah satu lokasi paling praktikal untuk kedudukan lubang ini. Pada bahagian bawah peranti, ia menempatkan sambungan microUSB 2.0 untuk pengecasan dan juga berfungsi sebagai sambungan USB On-the-Go untuk pemindahan data daripada pemacu USB. Pada bahagian sisi kanan telefon ia menempatkan butang pelarasan suara manakala di bahagian belakang peranti pula hadir dengan kamera 8-megapiksel serta sokongan LED flash. Disebabkan bahagian belakang yang tidak boleh dibuka, terdapat slot nano-SIM dan microSD yang berpenutup pada bahagian sisi kiri telefon. Dari sudut keupayaan paparan, HTC Desire 610 hadir dengan skrin 4.7-inci yang bagi saya agak selesa dan kelihatan besar dari penglihatan saya. Namun paparan yang dipersembahkan agak kurang kerana ia hanya hadir dengan resolusi 540×960 piksel dan bukannya paparan HD 720p seperti yang hadir pada Moto G LTE. Selain kelemahan dari segi kekurangan piksel, penggunaan skrin TFT yang terdapat pada Desire 610 sedikit sebanyak menyumbang kepada masalah darjah pandangan yang agak teruk sekaligus menyukarkan kandungan di dalam skrin dilihat dari sudut berbeza. Bercakap mengenai perisian dalaman, HTC Desire 610 hadir dengan framework Sense 6.0 di atas sistem operasi Android 4.4 KitKat. Secara kasar, ia menyerupai Sense 6.0 yang terdapat pada HTC One (M8) seperti kehadiran fungsi BlinkFeed selain membawakan antaramuka mendatar (flat UI) padanya. Namun beberapa fungsi seperti App Drawer masih kekal dengan latar belakang hitam yang saya kira agak kurang menarik jika dibandingkan dengan stock launcher yang terdapat pada Android 4.4 KitKat.

Saya sendiri pun tidak pasti mengapa pihak HTC masih mengekalkan latar belakang hitam pada ruangan app drawer sedangkan stock Android launcher (dan 3rd party launcher) kini majoriti menggunakan latar belakang transparent. Beberapa perkara asas Android 4.4 seperti dropdown power widget dilihat hadir dengan beberapa penambahbaikan seperti kehadiran butang 3 titik yang boleh membawa pengguna ke menu tetapan widget tersebut secara terus. Ia tidak seperti dropdown yang terdapat pada stock Android 4.4 yang hanya boleh membuat turn on/turn off widget tersebut (contohnya Bluetooth). Sekiranya pengguna ingin membuat tetapan lain, pengguna perlu ke halaman Settings terlebih dahulu dan barulah masuk ke halaman tetapan Bluetooth. Perkara ini saya kira hanyalah sekadar fungsi kecil namun sedikit sebanyak ia membuatkan saya lebih berminat dengan Sense 6.0 berbanding stock Android. Aplikasi-aplikasi utama turut dilihat hadir dengan antaramuka Sense seperti Calendar yang saya lihat lebih kemas berbanding stock Calendar pada Android 4.4. Dari segi penggunaan icon, antaramuka mendatar Sense 6.0 kelihatan sanagat ringkas dan moden, justeru ia tidak menimbulkan sebarang isu yang berkaitan dengan rekabentuk padanya. Penggunaan elemen transparent pada navigation bar juga kelihatan elegan, menjadikan telefon ini kelihatan sedikit menarik walaupun ia hadir dengan rekabentuk yang kurang menyerlah. Saya boleh katakan Sense 6.0 telah melakukan tugasan yang sangat baik melalui rekabentuk antaramuka yang kemas dan ringkas tanpa membebankan kepada masalah prestasi. Selain bercakap mengenai Sense 6.0, beberapa perkara lain yang turut dibekalkan HTC adalah fungsi Kids Mode yang membolehkan pengguna menggunakan launcher yang dikhaskan untuk kanak-kanak. Melaluinya, pengguna boleh membuat kata laluan disamping boleh menetapkan apakah aplikasi yang boleh diakses oleh anak-anak anda. Selain itu, aplikasi HTC Zoe (Beta) turut didatangkan bersama bagi membolehkan pengguna menggabungkan video dan gambar yang dirakam kepada sebuah video yang lebih kelihatan professional.

Sekiranya peranti di dalam mod bateri lemah, fungsi Extreme Power Saving Mode dapat membantu pengguna memanjangkan jangka masa bateri dengan menampilkan sebuah antaramuka khas yang mempunyai pilihan aplikasi terhad. Salah satu aspek yang menjadi kelebihan berbanding Moto G LTE adalah keupayaan kamera 8-megapiksel pada HTC Desire 610 ini. Dari segi kualiti gambar, warna yang dihasilkan agak baik pada waktu siang namun terdapat sedikit masalah dari segi sharpness dan juga masalah overexpose apabila keadaaan sekitar terlalu terang. Dari segi rakaman video, ia turut menyokong rakaman 1080p Full HD sekaligus memberi kelebihan berbanding Moto G LTE yang hanya menyokong rakaman 720p. Secara keseluruhan, output yang dipaparkan sangat memuaskan dan boleh dikatakan lebih baik berbanding Moto G LTE, terutamanya dari segi kawalan warna. Dari segi kamera hadapan pula ia dibekalkan dengan kamera 1.3-megapiksel yang turut membolehkan rakaman video 720p dibuat daripadanya. Kualiti kamera hadapan saya boleh katakan agak baik untuk tujuan selfie dan memberikan hasil pencahayaan yang terang pada gambar yang diambil. Beberapa fungsi tambahan yang dibekalkan HTC adalah seperti fungsi HDR, Night Mode, dan juga fungsi Sweep Panorama yang membolehkan pengguna membuat gambar panorama dengan menggerakkan peranti dari kiri ke kanan. Pihak HTC turut membekalkan Live Filter seperti Distortion, Country, dan Vintage untuk membolehkan pengguna menghasilkan output seperti kesan khas gambar lama. Bagi pengguna yang ingin mendapatkan efek seperti DSLR, pengguna boleh menggunakan fungsi Depth of Field yang dibekalkan dalam menjadikan gambar sedikit blur di belakang objek. Sepanjang saya menggunakan Desire 610, saya boleh kata meneroka keseluruhan sistem operasi melalui peranti ini terasa sangat lancar. Ini kerana kehadiran pemprosesan empat-teras Qualcomm Snapdragon 400 1.2 GHz pada peranti ini membolehkan ia beroperasi dengan pantas dan kurang memberikan masalah lengah masa. Walaupun dibekalkan dengan memori sebanyak 1GB RAM, secara jujurnya saya jarang menerima sebarang masalah lengah masa ketika menggunakan peranti ini.

Mengguna dan menukar dari aplikasi ke aplikasi juga dilihat tidak menjadi masalah walaupun kebanyakan aplikasi dibiarkan berjalan tanpa ditutup terlebih dahulu. Perkara ini mungkin dibantu oleh Android 4.4 KitKat yang efisien dari segi penggunaan memori apatah lagi sokongan ART yang sememangnya melancarkan lagi tugasan pembukaan aplikasi. Sokongan GPU Adreno 305 yang didatangkan bersama Desire 610 juga dilihat membantu dalam menjalankan aplikasi dan permainan yang memerlukan grafik yang sederhana dalam peranti mudah-alih. Permainan bergrafik sederhana seperti Surgeon Simulator Touch dilihat sangat lancar selain turut mencatatkan frames per second yang agak tinggi pada peranti HTC ini. Sekiranya anda seorang gamer yang gemarkan permainan kasual dan bergrafik sederhana pada peranti mudah alih, Desire 610 adalah satu peranti yang mampu memuaskan nafsu gamer anda. Bercakap mengenai speaker, walaupun dari segi bentuknya agak kurang menarik, keupayaan speaker di hadapan peranti ini sememangnya lantang dan perkara inilah yang membuatkan perasaan cinta saya terharap produk HTC tidak pernah pudar. Teknologi BoomSound yang hadir bersama (menggantikan Beats Audio sebelum ini) dilihat memberikan pengalaman audio yang paling terbaik dalam apa jua peranti mudah-alih, lebih-lebih lagi ketika anda menyambungkan earphone pada peranti ini. Sekiranya anda gemar menggunakan telefon sebagai loud speaker dan anda adalah seorang audiophile, jangan katakan tidak pada produk HTC seperti Desire 610 ini. Satu perkara yang saya cukup memberi perhatian adalah dari segi ketahanan bateri pada peranti. Bagi saya, penggunaan bateri yang ideal adalah dapat bertahan sepanjang hari. Bermakna, jika saya keluar rumah pada waktu pagi, peranti masih lagi dapat bertahan sehingga ke waktu petang ataupun malam sebelum perlu disambungkan ke pengecasan semula. Ketahanan bateri 2040 mAh pada Desire 610 bagi saya mencatatkan hasil penggunaan yang sangat baik dan konsisten. Saya menggunakannya dengan membuat beberapa perkara tipikal pengguna seperti melihat kemaskini Twitter, Instagram, Whatsapp, dan melayari laman web dengan penggunaan mobile data LTE yang sentiasa terbuka. Hasilnya, Desire 610 yang dinyah-cas daripada pukul 7 pagi mampu bertahan sehingga 11 malam melalui penggunaan display yang digunakan selama 4 jam 20 minit.

 
Leave a comment

Posted by on November 23, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s