RSS

Samsung Galaxy Alpha

23 Nov

Sejak Samsung Galaxy S memasuki pasaran pada tahun 2010, komen yang paling kerap kami dengar ialah peranti buatan Samsung terlalu plastik. Rekaan plastik ini menjadi bahan ketawa mereka yang membencikan produk Apple kerana pada hemat mereka telefon pintar yang dijual pada harga melebihi RM 2000 sepatutnya mempunyai kualiti binaan yang lebih baik dan bahan binaan yang lebih premium. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini kami melihat Samsung secara perlahan-lahan merubah rekaan peranti mereka untuk tidak kelihatan terlalu plastik. Pada Galaxy Note 3 bahan binaan seakan kulit diletakkan pada panel belakang. Kerangka peranti juga diletakkan kemasan logam bagi membuatkan ianya kelihatan lebih eksklusif. Tetapi dengan wujudnya peranti aluminium sepenuhnya seperti HTC One, penerimaan orang ramai terhadap peranti mahal tetapi diperbuat dengan bahan plastik kini sudah sampai ke penghujungnya. Samsung Galaxy Alpha ialah peranti pertama keluarga Galaxy yang diperbuat daripada logam. Perubahan bahan binaan ini sudah bertahun dinantikan penggemar peranti Samsung. Keseluruhan kerangka peranti ini diperbuat daripada aluminium dengan panel belakang diperbuat daripada plastik dengan salutan bahan bergetah. Kedua-dua butang kuasa dan suara juga kini diperbuat daripada logam sepenuhnya. Berbeza dengan peranti sebelum ini, kami sedari butang kuasa, suara dan menu memerlukan anda menekan lebih kuat sebelum boleh digunakan. Butang kuasa terletak pada bahagian kanan manakala pada bahagian kiri terdapat butang suara. Jack fon kepala terletak pada bahagian atas dan pada bahagian bawah pula terdapat port USB 2.0 dan pembesar suara mono. Pada panel belakang terdapat kamera 12 Megapixel dan pengesan nadi. Panel belakang boleh dibuka untuk mengakses slot kad SIM Nano dan juga bateri yang boleh ditanggalkan. Sekilas pandang Galaxy Alpha kelihatan seperti Galaxy S2. Secara peribadi kami sangat gemar dengan rekaan Galaxy S2 yang muncul pada tahun 2011. Tidak melampau jika kami katakan Galaxy S2 adalah peranti yang menyebabkan Samsung gah di persada pengeluar peranti pintar sekarang. Mungkin rekaan Alpha diambil terus dari S2 sebagai tanda homage kepada rekaan yang kini boleh dianggap klasik.

Bagi kami perubahan bentuk Alpha kepada lebih berkotak ini sesuatu yang bagus kerana ia membezakan Alpha dari peranti keluarga Mega, Ace, S dan Note yang tidak mempunyai perbezaan dari segi rekaan yang ketara. Kita kembali semula kepada rekaan kerangka aluminium. Ia memberikan kemasan yang cantik dan eksklusif kepada Alpha tetapi harus kami akui dari seri ergonomik ianya mungkin pilihan yang kurang bijak. Bahagian sisi aluminium Alpha adalah sedikit tajam. Ianya kurang selesa apabila dipegang. Seperkara lagi yang kami rasakan akan mengecewakan peminat tegar Samsung ialah ketiadaan sokongan kad MikroSD. Hanya model 32 Gigabyte dan ketiadaan sokongan kad MikroSD adalah mengejutkan kerana ia adalah antara sebab mengapa pengguna gemar menggunkan peranti Samsung. Alpha menyokong rakaman resolusi 4K dan tanpa slot MikroSD muatana dalaman 32 Gigabyte sedia ada adalah tidak memandai. Touchwiz UX digunakan dan seperti seperti yang kita sedia maklum antaramuka ini membawakan puluhan fungsi tambahan yang tidak ada pada stock Android. Kesemua fungsi unik Samsung seperti Smart Stay, Smart Scroll, Multi Window, S Note, S Finder, S Voice dan Air View disertakan sekali. Pujian harus diberikana kepada Samsung kerana memberikan kesemua fungsi tambahan yang mungkin berguna kepada sesetengah pengguna. Aplikasi yang paling kerap kami gunakan ialah S Health yang boleh mengukur tahap nadi serta tahap kecerdasan kami. Selepas menjadi seorang bapa 3 bulan yang lalu kami lebih serius dalam menjaga kesihatan dan aplikasi ini banyak membantu rutin kesihatan kami. Kepelbagaian fungsi terbina Touchwiz ini sememangnya harus dipuji kerana memberikan nilai kepada wang yang dibelanjakan untuk memiliki Galaxy Alpha. Harus juga diakui banyak fungsi-fungsi Touchwiz ini eksklusif kepada peranti Samsung dan tidak wujud pada peranti Android pengeluar yang lain.  Tetapi ianya juga membawa beberapa masalah. Sebagai contoh skrin tetapan Touchwiz kini kami rasakan kurang mesra pengguna berbanding rekaan asal. Pilihan pada skrin tetapan kini adalah ikon berbentuk bulat pelbagai warna. Jika anda tidak biasa menggunakan antaramuka Touchwiz sebelum ini anda memerlukan sedikit masa untuk mengenalpasti ikon apa mewakili menu yang ingin anda cari. Seperti pada ulasan Galaxy Tab S kami beberapa minggu yang lalu, kami masih terkilan dengan masalah lengah masa yang masih wujud pada Alpha sungguhpun ianya dilengkapi pemproses yang cukup berkuasa.

Ini semua boleh disalahkan kepada Touchwiz yang mempunyai memberatkan operasi peranti. Sekali lagi kami berharap Samsung akan dapat menghasilkan kemas kini Touchwiz yang akhirnya dapat menyelesaikan masalah lengah masa turun temurun ini. Agak malang bagi peranti berkuasa dan mahal mempunyai masalah lengah masa berbanding Moto G yang merupakan peranti kelas rendah. Aneh juga tiada fungsi tap to wake yang kini standard pada majoriti peranti yang menggunakan Android Kit Kat. Untuk menyahkunci peranti butang kuasa masih perlu ditekan. Pada HTC One M8 fungsi tap to wake ini membolehkan peranti diaktifkan dengan hanya menekan skrin sebanyak dua kali. Sungguhpun begitu sepanjang tempoh ulasan kami tidak mengalami sebarang masalah aplikasi terhenti secara sendiri ataupun peranti gagal berfungsi. Apa yang kami alami adalah panel belakang yang menjadi agak panas ketika peranti dicas. Sensor 12 Megapixel digunakan pada kamera utama. Kamera ini lebih kecil berbanding yang digunakan pada S5 iaitu 16 Megapixel. Aplikasi kamera Samsung memberikan pelbagai fungsi tetapan automatik bagi mempermudahkan proses mengambil gambar. Pra tetapan automatik ini boleh ditambah ataupun dibuang mengikut kehendak pengguna. Fungsi Selective Focus yang membolehkan pemfokusan semula dilakukan selepas gambar diambil disertakan pada Alpha. Namun kami mendapati fungsi ini sukar digunakan kerana aplikasi gagal mengesan objek yang ingin difokuskan. Terdapat juga fungsi Virtual Tour yang membolehkan anda mengambil beberapa siri gambar yang kemudiannya disambung menjadi lawatan maya seperti Google Street View. Pergerakan gambar ini kemudian boleh dieksport kepada bentuk MP4. Samsung memberikan banyak fungsi tambahan yang memberikan anda kebebasan untuk berkarya. Berikut adalah beberapa contoh gambar yang diambil menggunakan kamera utama Alpha. Situasi pertama diambil di kawasan teduh ketika waktu siang. Penghasilan semula warna dan white balance adalah tepat. Gambar yang diambil cukup tajam. Di dalam keadaan pencahayaan yang terang gambar yang diambil adalah mata baik. Penghasilan warna dan white balance tepat dengan objek sebenar.

Tetapi apabila gambar di ambil di dalam keadaan pencahayaan yang kurang kelemahan kamera Alpha mula kelihatan. Kamera mula mempunyai masalah memfokus objek di dalam situasi ini. Gambar yang diambil pula mempunyai masalah grain dan kurang tajam. Secara keseluruhan kemampuan kamera Alpha adalah sederhana. Sangat baik di dalam keadaan terang dan sedikit mengecewakan pada keadaan gelap. Berikut adalah beberapa conto9h video yang diambil menggunakan kamera Alpha. Video pertama ialah fungsi Virtual Tour yang membolehkan anda melakukan video lawatan maya seperti Google Street View. Video kedua pula ialah contoh rakaman video 4K. Di Malaysia Alpha diperkasakan oleh pemproses Exynos 5 lapan teras (1.8 GHz empat teras + 1.3 GHz empat teras) dengan RAM sebesar 2 Gigabyte. Seperti biasa ujian penanda aras Antutu,Quadrant dan Futuremark digunakan bagi melihat kemampuan memproses peranti ini. Jelas sekali dari grafik di bawah Galaxy Alpha kini menerajui carta markah penanda aras yang pernah kami lakukan. Galaxy Alpha mungkin sebuah peranti kecil tetapi ianya kecil-kecil cili padi. Sepanjang tempoh ujian kami tidak mengalami sebarang masalah besar. Apabila peranti diumumkan dengan bateri hanya sebesar 1860 mAh kami mula risau dengan hayat penggunaan Alpha. Kerisauan kami menjadi realiti apabila peranti diuji sekitar Kuala Lumpur. Pada penggunaan paling berat dan menggunakan rangkaian LTE, peranti hanya mampu bertahan selama 3 jam 50 minit. Ini adalah jangka hayat bateri yang sangat pendek. Peranti hanya digunakan untuk memuat naik status laman sosial, menggunakan Google Maps dan melayari web. Skrin tidak dibuka sepanjang masa namun seperti yang anda boleh lihat di bawah jangka hayat bateri masih lagi sangat mengecewakan. Apabila hanya Wifi digunakan kami berjaya menggunakan peranti sehingga 8 Jam 51 minit manakala pada penggunaan paling minima ia mampu bertahan hampir 21 Jam. Inilah kelemahan paling ketara Galaxy Alpha. Jika anda memiliki peranti ini power bank ataupun bateri tambahan adalah keperluan. Aneh sekali sungguhpun ia mempunyai kapasiti bateri yang kecil (peranti Samsung lain mempunyai kapasiti hampir 3000 mAh) , Alpha tidak menyokong sistem pengecasan pantas yang diperkenalkan pada Galaxy Note 4. Jika pengecasan pantas ini disokong kami mungkin tidak akan merungut tentang masalah bateri berkapasiti kecil ini.

Didalam pembangunan program dan aplikasi, prototaip paling awal diberikan kod nama Alpha. Selepas menjalani percubaan Beta dan diperhalusi barulah ia dilepaskan kepada umum. Galaxy Alpha ialah peranti “Alpha” Samsung untuk pasaran peranti premium. Secara keseluruhan Ianya percubaan awal yang baik oleh Samsung. Spesifikasinya tinggi manakala bahan kemasannya melangkaui kesemua peranti Samsung sebelum ini. Kerana ianya percubaan pertama ianya masih belum cukup sempurna kerana wujud beberapa kelemahan yang nyata. Untuk versi Alpha seterusnya kami berharap kapasiti bateri boleh diperbaiki. Sebuah peranti pintar premium berkuasa seperti Alpha tidak bermakna sekiranya ia hanya mampu bertahan kurang daripada 4 jam pada penggunaan berat. Kami juga berharap teknologi pengecasan pantas yang ada pada Galaxy Note 4 akan digunakan pada kesemua peranti Samsung di masa hadapan. Teknologi pengecasan pantas harus digunakan kerana teknologi bateri peranti masih masih belum cukup memuaskan. Antaramuka Touchwiz perlu diperbaiki juga kerana ianya tidak mesra pengguna dan mengakibatkan lengah masa. Dengan harga  jualan RM 1899 kami rasakan ianya berpatutan dengan kualiti premium dan pelbagai fungsi menarik yang tidak disertakan pada peranti pesaing. Kelebihan Alpha masih mengatasi kesemua kekurangan yang ada. JIka ini adalah contoh rekaan peranti-peranti Samsung seterusnya masa depan mereka akan cerah untuk kekal sebagai pengeluar peranti nombor satu dunia. Janganlah kembali kepada dunia estetik plastik!

 
Leave a comment

Posted by on November 23, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s