RSS

Samsung Galaxy Tab S 8.4

23 Nov

Samsung pada hemat kami ialah pengeluar tablet paling produktif di dunia. Mereka bukan sahaja menghasilkan tablet Android malahan mengeluarkan juga tablet untuk Windows.  Untuk pasaran Android sahaja mereka mempunyai 50 model tablet sejak mula menghasilkannya pada tahun 2010. Mereka juga bertanggung-jawab untuk mempopularkan tablet bersaiz 7.0-inci dan tablet dengan fungsi telefoni. Jun lepas dua lagi model tablet diperkenalkan oleh Samsung iaitu Tab S 10.1 dan Tab S 8.4.Kami telah berpeluang untuk menggunakan Galaxy Tab S 8.4 untuk lebih kurang dua minggu, dan berikut merupakan ulasan penuh daripada kami. Sekilas pandang Galaxy Tab S 8.4 kelihatan seperti Galaxy Tab Pro 8.4 yang telah diperkenalkan Januari lalu. Rekaan hadapan masih dikekalkan. Apabila peranti diputarkan perbezaan dua tablet ini mula kelihatan. Kemasan Tab S lebih menyerupai Galaxy S5 dengan puluhan cawak pipi diletakkan pada panel belakang. Pada Tab Pro permukaan belakang diperbuat daripada kulit palsu selari dengan rekaan Galaxy Note 3. Pada panel belakang juga terdapat 2 lekuk berbentuk bulat yang menjadi tempat lekapan penutup khas yang direka untuk Tab S. Tekstur cawak pipi yang ada menjadikan permukaan belakang peranti agak kasar dan sukar untuk tergelincir ketika dipegang. Kemasan tepi juga nampak lebih mewah dengan saduran bewarna emas di sekeliling peranti. Saduaran emas ini juga diletakkan pada pembesar suara telefon dan butang Home fizikal. Pada sisi kanan terdapat butang suara, butang suara , slot MikroSIM, slot MikroSD dan pemancar inframerah. Pada bahagian atas terdapat sebuah pembesar suara dan begitu juga pada bahagian bawah. Di sisi bawah ini juga terdapat port pengecas micro USB dan jack fon telinga. Sungguhpun mempunyai rekaan seakan-akan Galaxy S5, Galaxy Tab S tidak menyertakan sokongan kalis air. Dari segi spesifikasi perbezaan paling ketara antara Tab S dan Tab Pro ialah pemproses yang lebih baru digunakan. Pemproses 2.3 GHz empat teras Snapdragon 800 menggantikan pemproses 2.3GHz empat teras Snapdragon 400.

RAM dinaikkan kepada 3 Gigabyte dari 2 Gigabyte. Di Malaysia muatan dalaman yang ditawarkan ialah 16 Gigabyte dengan penambahan memori dalaman sehingga 128 Gigabyte meggunakan kad MikroSD. Kapasiti bateri pula dinaikkan kepada 4900 mAh berbanding 4800. Kemampuan optik masih lagi sama iaitu 8 Megapixel pada bahagian belakang dan 2.1 Megapixel pada bahagian hadapan. Tab S mempunyai pakej yang baik iaitu kombinasi spesifikasi yang tinggi dan kemasan yang premium. Kelemahan yang ada ialah rekaan yang tidak banyak berbeza dari model-model tablet Samsung yang ada sebelum ini. Ketiadaan kemampuan kalis air dan debu juga sedikit mengecewakan kerana kami rasakan dengan wujudnya Galaxy S5 mungkin Samsung akan cuba mencabar Sony di dalam arena penghasilan tablet kalis air dan debu. Antaramuka Touchwiz dan binaan Android terbaru digunakan pada Tab S. Antaramuka Magazine UX juga hadir apabila anda melakukan tatalan ke kiri sepenuhnya. Magazine UX adalah jawapan Samsung kepada Blinkfeed keluaran HTC. Namun tidak seperti Blinkfeed, Magazine UX tidak boleh dinyah-aktifkan dan kami juga dapati ia berfungsi dengan tidak terlalu lancar. ToucWiz memang terkenal dengan kustomasi dan fungsi-fungsi tambahannya. Fungsi seperti SmartStay, SmartScroll dan multi-window ada pada Tab S. Kepelbagaian fungsi tambahan yang hadir di dalam TouchWiz membezakan Tab S dari pesaingnya di pasaran. Kebanyakan tablet keluaran syarikat lain tidak didatangkan dengan fungsi tambahan ini. Oleh itu kami rasakan Samsung menawarkan pakej yang paling lengkap untuk pengguna tablet Android. Selain daripada itu fungsi Remote PC dan SideSync yang diperkenalkan pada Galaxy NotePro juga disertakan. Dua aplikasi ini tidak disertakan pada Galaxy Tab 4 yang kami ulas sebelum ini. Melalui Remote PC anda boleh mengawal komputer Windows anda secara terus pada tablet ini. Secara teorinya tablet anda kini menjadi skrin tambahan komputer Windows anda.

Anda boleh melancarkan program seperti Words secara terus melalui aplikasi Remote PC. Kami sedari masih terdapat sela masa apabila menggunakan komputer Windows menerusi aplikasi ini. Ianya masih belum cukup lancar untuk kegunaan dunia sebenar. Perkara ini mungkin kerana ia bergantung kepada talian mudah-alih untuk beroperasi. Aplikasi SideSync pula membolehkan anda mengawal telefon pintar anda menerusi tetingkap kecil yang muncul pada skrin Tab S. Setakat ini hanya peranti keluarga Samsung Galaxy sahajaa menyokong SideSync. Tidak seperti Remote PC, SideSync berjalan lebih lancar. Anda boleh memindahkan fail dari telefon pintar ke dalam Tab S secara drag and drop dengan mudah menggunakan SideSync. Sepanjang tempoh penggunaan kami tidak mengalami sebarang masalah melancarkan aplikasi ataupun menggunakan peranti ini. Sungguhpun begitu kami menyedari berlaku masalah sela masa yang ketara terutama apabila melakukan pertukaran aplikasi. Sela masa ini semakin ketara dengan jumlah aplikasi yang dilancarkan oleh anda. Ini adalah masalah antaramuka TouchWiz yang sudah berlarutan untuk sekian lama. Adalah agak mengecewakan ianya wujud pada Tab S walaupun ianya dilengkapi RAM sebesar 3 Gigabyte. Tablet ini mampu melakukan panggilan telefon dan menerima SMS. Kualiti panggilan adalah jelas walaupun adalah canggung untuk digunakan kerana saiz tablet yang besar. Apabila panggilan telefon diterima, antaramuka telefon akan muncul di dalam tetingkap kecil. Kami rasakan penggunaan tetingkap kecil ini adalah kurang mesra pengguna. Seperkara lagi yang kami rasakan relevan di sini ialah aplikasi WhatsApp tidak boleh dimuat turun pada Tab S. Sekiranya anda pengguna tegar WhatsApp anda perlu mencari alternatif lain kepada aplikasi popular ini. Tab  S dilengkapi kamera sebesar 8 Megapixel dengan LED Flash pada bahagian belakang dan 2.1 Megapixel pada bahagian hadapan. Aplikasi kamera pula dilengkapi pelbagai fungsi yang biasa kami lihat pada peranti Samsung. Terdapat beberapa mod pra-tetapan disertakan tetapi jumlahnya adalah terhad. Hanya 6 mod pra-tetapan disertakan berbanding 28 yang ada pada Galaxy Camera 2.

Saiz sensor kamera Tab S mungkin lebih kecil berbanding Huawei Mediapad X1 (13 Megapixel) tetapi kualiti gambar yang diambil oleh tablet ini adalah lebih baik. Penghasilan warna lebih menyerlah dan masalah gambar yang grainy tidak begitu ketara pada Tab S. Gambar yang diambil juga lebih tajam. Kualiti gambar yang diambil di dalam keadaan gelap masih lagi kurang memuaskan. Bagi sebuah tablet, kualiti gambar yang diambil menggunakan Tab S adalah memuaskan. Galaxy Tab S mempunyai markah penanda aras yang kedua tertinggi di kalangan tablet setakat ini. Pada ujian Quadrant ia mencatatkan 19675 markah manakala pada ujian Antutu pula 29809 markah. Pada ujian Futuremark pula ia mencatatkan 13483 markah. Markah yang dicatatkan adalah agak aneh kerana Galaxy Note 10.1 2014 dan Galaxy Note Pro 12.2 berkongsi spesifikasi yang sama dengan Tab S. Ketiga-tiga peranti diperkasakan pemproses 2.3 GHz empat teras Snapdragon 800 dengan RAM sebesar 3 Gigabyte. Dalam penggunaan seharian Tab S mampu melakukan kesemua tugasan dengan baik tanpa masalah aplikasi gagal berfungsi. Kelajuan tatalan juga lancar. Sungguhpun begitu masalah sela masa berlaku apabila anda melakukan penukaran antara aplikasi. Harus kami nyatakan masalah ini juga wujud pada Galaxy Note 10.1 2014 yang mencatatkan markah ujian penanda aras tertinggi. Jadi kami rasakan ini adalah masalah yang seri dikaitkan dengan TouchWiz.  Sela masa ini tidak berlaku dengan kerap tetapi apabila ianya berlaku ianya mengecewakan kerana peranti -peranti ini adalah dari kategori kelas tinggi dan bukannya kelas rendah. Masalah sela masa sebegini pada hemat kami tidak patut berlaku pada peranti berspesifikasi tinggi. Dengan bateri sebesar 4900 mAh Tab S mampu berfungsi selama 7 Jam 57  minit pada penggunaan berat. Pada penggunaan sederhana pula ia mampu bertahan sehingga 16 jam 21 minit. Ini bermakna hayat bateri tablet ini adalah di bawah purata hayat kebanyakan peranti yang pernah kami ulas. Tablet Huawei Mediapad X1 (5000mAh) yang kami ulas minggu lalu mampu bertahan lebih dari 10 jam pada penggunaan berat dan lebih dari 23 jam pada penggunaan sederhana. Perbezaan kapasiti bateri hanyalah 100 mAh.

 
Leave a comment

Posted by on November 23, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s