RSS

Windows 10 Technical Preview

23 Nov

Microsoft telah mengumumkan Windows 10 secara rasmi dalam usaha untuk membawakan satu sistem operasi yang selari dengan kesemua peranti pintar. Ia bakal digunakan pada peranti yang mempunyai skrin sekecil 4-inci sehinggalah ke 80-inci bagi menawarkan pengalaman sistem operasi yang konsisten dalam satu platform. Windows 10 juga adalah salah satu usaha Microsoft untuk mengembalikan pengguna awam dengan menampilkan antaramuka yang mesra pengguna disamping hadir dengan pengoptimasian untuk penggunaan di desktop. Sebelum saya memulakan ulasan ini, antara yang menjadi persoalan utama pengguna adalah, ke mana pergi Windows 9? Yang pasti Windows 8.1 adalah bukan Windows 9. Microsoft tidak memberikan sebarang petunjuk mengapa nama Windows 10 dipilih dan mereka mengatakan, apabila pengguna merasa sendiri pengalaman mengguna sistem operasi ini, pengguna akan bersetuju atas mengapa pilihan nama Windows 10 dibuat. Namun jika anda mahukan jawapan yang empirikal mengapa Microsoft tidak menggunakan nama Windows 9, jawapannya berkaitan dengan penggunaan build number setiap versi Windows. Ketika Windows 7 dilancarkan, build number untuk versi Release To Manufacturing (RTM) atau versi akhir ialah 7600. Cuma ketika Windows 8 pada mula-mula ia dilancarkan, build number telah terjangkau kepada 9200 diikuti Windows 8.1 dengan build number 9600. Semasa Microsoft memperkenalkan Windows 10 Technical Preview, build number yang digunakan pada versi percubaan ini ialah 9841. Jadi, untuk build number Windows 10 versi akhir kelak bakal berada pada angka 10000 ke atas, menjadikannya ia lebih sesuai digunakan dengan nama Windows 10. Ada juga mengatakan nama Windows 9 tidak dipilih atas sebab teknikal di belakang tabir yang berkaitan dengan pembangunan aplikasi. Penggunaan nama Windows 9 akan menyebabkan aplikasi yang mempunyai kompatibiliti dengan Windows 95 dan Windows 98 akan menjadi terganggu, justeru pihak Microsoft perlu tampil dengan nama Windows 10. Berbalik semula ke ulasan Windows 10 Technical Preview, ia membawakan beberapa penambahbaikan serta beberapa fungsi baru sebagai idea awal bagaimana Windows 10 versi akhir bakal kelihatan kelak. Jadi tanpa membuang masa lagi, mari kita lihat apakah pembaharuan yang hadir pada Windows 10 versi percubaan kali ini. Perubahan ketara yang anda akan dapat lihat pada Windows 10 adalah kehadiran semula Start menu yang telah diberi nafas baru. Start menu kini telah hadir dengan fungsi Live Tiles yang membolehkan pengguna pin tile aplikasi Windows Store dan aplikasi desktop tanpa masalah padanya.

Melalui Windows 10, saiz Start menu ini boleh diubah mengikut kesukaan anda — sama ada ingin berada pada saiz yang memanjang ke atas, saiz sederhana, ataupun pada saiz melintang. Pada Start Menu di Windows 10 juga telah terdapat fungsi search yang mana kini bukan sahaja boleh mencari aplikasi, fail, dan settings malah boleh mempaparkan carian web terus daripada fungsi ini. Apabila anda membuat carian pada Start menu, paparan aplikasi Search akan terbuka untuk memparkan maklumat carian yang lebih mendalam. Pada bahagian atas Start menu pula terdapat nama dan gambar akaun pengguna. Apabila bahagian ini diklik, ia berfungsi sama seperti Windows 8.1 yang mana pengguna boleh menukar gambar, lock PC pengguna atau membuat log keluar daripadanya. Satu isu apabila awal Windows 8 dikeluarkan, ramai pengguna mengkritik lokasi butang shut down yang mana telah dialihkan pada ruangan Charm Bar. Kedudukan ini adalah sangat tersorok menyebabkan pengguna baru sukar menjumpai butang untuk membuat shut down dan terpaksa menggunakan kombinasi butang Alt + F4 ataupun membuat carian di Google untuk kaedah yang sebenarnya. Pada Windows 8.1, butang untuk shut down telah berada pada bahagian atas Start Screen dan melalui Windows 10, ia dipermudahkan lagi dengan meletakkanya di sebelah nama dan gambar akaun pengguna. Sekiranya anda menggunakan paparan tablet atau skrin sentuh, Start Screen masih berada pada Windows 10 Technical Preview namun tidak diaktifkan secara terbina. Pengguna yang ingin mendapatkan kembali paparan Start Screen, boleh berbuat demikian dengan membuat right click pada taskbar > Properties > tab Start Menu > dan untick pada “Use the Start menu instead of the Start screen”. Pada versi Windows 10 Technical Preview ini, paparan Start Screen masih lagi tidak membawa sebarang perubahan dan dilihat sama seperti Windows 8.1 sebelum ini. Mengawal tetingkap aplikasi dan folder yang dibuka kini dipermudahkan di Windows 10 melalui fungsi Task View. Sekiranya anda menggunakan Mac, fungsi ini akan mengingatkan anda dengan fungsi Mission Control yang memaparkan kesemua tetingkap dalam satu paparan. Fungsi ini turut menggantikan fungsi Windows Flip 3D yang berada pada Windows Vista & 7 dan Windows 8 melalui fungsi App Switcher. Apabila butang ALT + TAB ditekan pada keyboard, ia akan membuka paparan Task View dengan serta merta disamping membolehkan anda menutup tetingkap yang sedang aktif terus melalui fungsi ini. Pada Task View di Windows 10, pihak Microsoft turut mendatangkan fungsi baru yang paling diminta pengguna ramai iaitu fungsi multiple desktop.

Fungsi ini berada pada bahagian bawah Task View yang membolehkan anda menambah virtual desktop seperti mana yang anda boleh lakukan pada sistem operasi Linux dan OS X. Ia membantu anda untuk memisahkan pelbagai tugasan dan kerja yang anda sedang lakukan pada paparan desktop yang berbeza. Sebagai idea, anda boleh membuat satu virtual desktop baru yang berfokus kepada kerja pejabat anda dan satu lagi virtual desktop sebagai ruang peribadi anda. Sebelum ini, fungsi Windows Snap yang diperkenalkan pada Windows 7 hanya membolehkan pengguna membuat snap sehingga dua tetingkap sahaja dan kini ia membolehkan anda membuka lebih dari itu. Dalam usaha menaikkan lagi nilai produktiviti pada Windows, pihak Microsoft turut membolehkan pengguna Windows 10 membuat snap sehingga empat tetingkap dalam satu paparan. Ia membantu anda memaparkan empat tetingkap yang berbeza disamping mengambil kebaikan paparan monitor bersaiz besar. Menarik lagi mengenai fungsi Snap pada Windows 10, ia turut didatangkan dengan fungsi Task Assist yang berfungsi dalam mencadangkan tetingkap yang ingin dibuka selepas anda membuat snap pada salah satu tetingkap yang sedang berjalan. Bagi saya ini menarik, kerana anda tidak perlu lagi pergi ke taskbar, membuka tetingkap aplikasi, dan snap, sebaliknya, hanya perlu memilih tetingkap yang ingin dibuka melalui cadangan daripada Task Assist. Aplikasi Windows Store pada Windows 10 kini tidak lagi dipaparkan dalam mod full screen sebaliknya dipaparkan dalam bentuk tetingkap. Perkara ini saya lihat Microsoft ingin menjadikan pengalaman aplikasi Windows Store digunakan sama seperti aplikasi desktop dengan mendatangkan title bar padanya serta butang minimize, maximize, dan butang close secara kekal. Namun sekiranya anda ingin kembali menggunakan aplikasi Windows Store pada mod full screen, perkara ini boleh diaktifkan dengan menekan butang 3 titik yang berada pada ruangan title bar. Cakap mengenai aplikasi Windows Store, Microsoft ingin membolehkan aplikasi digunakan dalam apa jua bentuk peranti (tidak kira telefon, tablet, dan PC) pada Windows 10 melalui inisiatif Universal apps. Perkara ini telah dimulakan sejak Windows 8.1 namun tidak semua aplikasi hadir dengan sifat Universal. Melalui Windows 10, Microsoft ingin menyelaraskan kesemua aplikasi dibina secara Universal dan tidak lagi terikat dengan platform secara spesifik (Windows Phone dan Windows di PC) seperti hari ini. Fungsi Command Prompt di dalam Windows 10 turut diberi penambahbaikan pada Windows 10 dengan kebolehan shortcut key melalui keyboard.

Bermakna, anda kini boleh membuat hightlight dengan menekan butang SHIFT + ARROW KEY dan menggunakan fungsi paste melalui butang CTRL + V pada Command Prompt di Windows 10. Namun pada versi Technical Preview ini, Microsoft tidak mengaktifkan fungsi ini secara terbina sebaliknya pengguna perlu membuat tetapan sebelum boleh menggunakannya. Untuk mengaktifkan fungsi shortcut key di Command Prompt ini, anda boleh membuat right click pada title bar Command Prompt > Properties > dan tick pada Enable experimental console features (applies globally). Melaluinya anda juga boleh membuat paparan Command Prompt menjadi sedikit transparent dengan menukar opacity pada fungsi experimental ini. Beberapa penambahbaikan kecil turut dibawa melalui Windows 10 seperti kesan drop shadow di bahagian tetingkap yang lihat lebih elegan berbanding Windows sebelum ini. Tetingkap di Windows 10 juga tidak lagi mempunyai border yang tebal sebaliknya hadir dengan rekaan border yang nipis dalam usaha menghadirkan kesan yang lebih minimal padanya. Dari segi animasi pembukaan tetingkap dan aplikasi kini juga turut diperbaharui, yang mana ia dibuka dengan kesan fade dari atas ke bawah. Cuma satu perkara yang saya kurang gemar mengenai Windows 10 Technical Preview adalah ikon yang didatangkan pada antaramuka desktop. Ia kelihatan tidak menarik dari padangan saya dan kelihatan pudar atas pilihan warna yang tidak begitu ceria. Pada versi ini, tidak semua icon hadir dengan rekaan ikon baru ini dan dilihat hanya sesetengah elemen sahaja digunakan seperti ikon This PC, Network, Desktop, Recent folders, dan Home. Saya harap ia bukanlah hadir atas memberi gambaran bagaimana ikon pada versi akhir kelak tetapi hanya sekadar rekaan ikon awal untuknya. Beberapa fungsi lain seperti Charm Bar masih kekal berada pada Windows 10 namun pihak Microsoft sedang berusaha untuk membawakan fungsi ini kepada tahap yang lebih praktikal untuk pengguna desktop mahupun pengguna skrin sentuh. Saya sendiri merasakan fungsi Charm Bar ini terlalu tersorok sekaligus menyukarkan pengguna umum menggunakan Windows generasi baru ini pada kali pertama. Harapan saya, Microsoft perlu tampil dengan idea navigasi yang lebih mudah dilihat dan digunakan, bukan menyorokkan fungsi seperti kebanyakan fungsi di Windows 8. Satu lagi fungsi yang dipaparkan pada acara Windows 10 Preview tetapi tidak hadir pada versi kali ini adalah fungsi Continuum. Fungsi ini secara kasarnya berfungsi sebagai mod penukaran dari mod desktop ke mod paparan skrin sentuh yang mana ia boleh ditukar oleh pengguna pada bila-bila masa.

Apabila mod skrin sentuh diaktifkan, icon pada taskbar akan hadir dengan butang back dan diperbesarkan selain aplikasi Windows Store hadir dengan antaramuka ‘headless’ tanpa title bar. Fungsi Start menu juga akan digantikan dengan paparan Start Screen serba baru secara automatik – memudahkan pengguna menavigasi aplikasi dengan paparan yang dioptimasikan untuk penggunaan skrin sentuh. Fungsi ini dilihat boleh diaktifkan melalui aksesori yang disambungkan seperti keyboard dan apabila disambungkan, Windows akan mencadangkan anda sama ada ingin kekal ke mod skrin sentuh atau ingin ke mod desktop semula. Sewaktu fungsi Continuum ini diperkenalkan, ia memberikan ekspresi pelik bagi saya pada awalnya. Solusi seperti ini sepatutnya hadir sejak zaman Windows 8 lagi dan bukannya “memaksa” pengguna desktop menggunakan paparan tablet dan skrin sentuh. Menggunakan mouse pada mod paparan skrin sentuh adalah tindakan kurang bernas bagi saya kerana memerlukan ‘effort’ tambahan dalam menggerakkan kursor selain mengurangkan user experience untuk penggunaan desktop. Apapun, kehadiran fungsi seperti Continuum di Windows 10 adalah sangat-sangat dinantikan dalam memberi pengalaman yang ‘seamless’ untuk penukaran dari mod desktop ke mod skrin sentuh atau sebaliknya. Selain Continuum, pembantu peribadi Cortana juga dikatakan bakal hadir ke Windows 10 melalui fungsi Search yang didatangkan secara terbina. Ia membolehkan anda membuat carian dengan menaip perkataan atau bercakap dalam bahasa neutral padanya dan hasil carian dipaparkan dalam bentuk paparan interaktif. Seperti contoh, anda bertanyakan, “What’s the weather like?” dan Cortana akan menjawabnya dengan info cuaca. Buat masa ini fungsi ini tidak boleh diaktifkan pada Technical Preview dan secara kasarnya ia akan berfungsi menyerupai fungsi Cortana pada Windows Phone. *Penafian: Gambar antaramuka Cortana hanya sekadar mockup sebagai idea awal bagaimana ia berfungsi. Mengenai versi Technical Preview, perkara yang menjadi persoalan adalah bagaimana stabiliti dan sokongan aplikasi yang disokong oleh Windows versi percubaan ini. Saya mula menggunakan Windows versi percubaan sejak zaman awal Windows 7 dan rekod Microsoft dalam mengawal stabiliti Windows versi percubaan ini saya lihat sangat baik. Malah, apabila setiap kali Windows versi percubaan ini dikeluarkan, saya tidak teragak-agak untuk menjadikannya sebagai sistem operasi utama kerana saya yakin dengan stabiliti Windows hasil percubaan saya sebelum ini. Windows 10 Technical Preview dilihat tidak memberi sebarang masalah pada prestasi walapun saya menaiktarafnya dari Windows 8.1.

Kesemua aplikasi boleh dijalankan tanpa masalah dan driver dalam PC saya tidak menunjukkan sebarang isu berkaitan dengan kompatibiliti. Cuma satu sahaja masalah mengenai Windows 10 Technical Preview ini, anda perlu ingat yang mana Windows versi ini akan disokong sehingga 15 April 2015. Selepas tarikh ini, Windows 10 Technical Preview akan luput dan pengguna akan dihidangkan dengan wallpaper hitam menandangkan sokongan Technical Preview telah tamat. Selalunya, sebelum tarikh ini pihak Microsoft telah melancarkan Windows 10 versi percubaan yang lebih baru dan anda perlu menaiktarafnya sekiranya ingin terus kekal mendapat sokongan daripada mereka. Satu lagi perkara, sama seperti Windows versi percubaan sebelum ini, kesemuanya hadir dengan watermark yang tidak boleh dibuang pada paparan desktop menandakan anda sedang menggunakan Windows versi percubaan. Bercakap mengenai keadaan fail anda, sekiranya anda menggunakan Windows 7/8/8.1, pemasangan Windows 10 Technical Preview tidak akan mengganggu fail, aplikasi, dan settings di dalam PC anda. Cuma, jika anda menggunakan Windows Vista ke bawah, pemasangan Windows versi percubaan ini akan menyimpan data peribadi anda namun ia akan membuang segala aplikasi dan tetapan yang dibuat sebelum ini. Satu perkara yang perlu diingatkan, setiap pemasangan Windows 10 Technical Preview tidak membenarkan anda untuk kembali ke Windows sebelum ini. Nasihat saya, jika anda sayangkan Windows versi lama lebih berbanding Windows 10 Technical Preview ini, buat pemasangan pada partition lain dan jadikannya sebagai dual-boot. Sekiranya dual-boot terlalu sukar untuk anda, gunakan aplikasi virtual machine seperti VMware atau Hyper-V untuk menjalankan Windows 10 ini. Tapi seperti yang saya katakan, Windows 10 Technical Preview sememangnya stabil dan tidak menjadi masalah sekiranya anda ingin menjadikannya sebagai sistem operasi utama anda. Windows 10 secara kasarnya ingin membawakan semula pengalaman Windows 7 bersama-sama dengan aplikasi Windows 8. Tapi bagi saya, ia lebih dari itu. Microsoft melalui Windows 10 sebenarnya ingin menarik kembali pengguna awam seperti di pejabat dan institusi pendidikan dengan membawakan fungsi produktiviti yang diperbaharui disamping mengurangkan ‘learning curve’ dengan mendatangkan antaramuka yang familiar seperti sebelum ini. Kehadiran semula Start menu adalah tindakan tepat Microsoft dalam usaha menarik golongan seperti ini. Seperti sedia maklum, Start Screen berfungsi lebih kurang sama seperti Start menu namun ia memerlukan pengguna desktop menggerak kursor lebih jauh disamping memerlukan klik yang lebih banyak berbanding sebelumnya.

Dengan Start menu, ia memudahkan pengguna desktop menavigasi menggunakan mouse dan keyboard sekaligus menjadikan pengalaman penggunaan desktop konsisten tanpa perlu menavigasi pada paparan skrin sentuh. Beberapa fungsi produktiviti seperti Task View dan multiple desktop turut memudahkan pengguna dalam membuat multitasking pada Windows 10. Kebolehan snap kepada empat tetingkap dalam satu paparan menjadi fungsi pilihan saya sepanjang menggunakan Windows 10 Technical Preview ini. Ia memudahkan saya membuat tugasan seperti assignment dengan merujuk kepada tiga jurnal yang dibuka secara serentak. Ia satu fungsi yang benar-benar menaikkan produktiviti dan melalui fungsi yang dipersembahkan saya yakin Windows 10 bakal digunakan dengan meluas selepas ia dilancarkan kelak. Apapun, Windows 10 Technical Preview adalah permulaan bagi perjalanan sebuah sistem operasi ulung daripada Microsoft. Apa yang dipaparkan pada versi kali ini hanya merangkumi 10% fungsi baru dan banyak lagi fungsi bakal menjengah pengguna pada versi percubaan akan datang. Fungsi pembantu digital Cortana adalah fungsi yang saya ingin lihat di dalam sistem operasi Windows, atas kebolehannya yang cemerlang di dalam platform Windows Phone sebelum ini. Sekiranya anda ingin mencuba Windows 10 Technical Preview, daftarkan diri anda di Windows Insider Program pada halaman preview.windows.com. Jangan lupa memberikan maklum balas pada aplikasi Windows Feedback yang berada di dalam Windows 10 Technical Preview untuk cadangan fungsi baru pada versi akhir kelak.

 
Leave a comment

Posted by on November 23, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s