RSS

Bagaimana Menjana Pendapatan Menggunakan LINE

24 Nov

Dunia freelance terutamanya untuk artis grafik agak kurang dihargai. Terutamanya apabila melibatkan rakan terdekat ataupun ahli keluarga, dimana mereka sering belanja makan atau minum sahaja untuk suatu rekabentuk logo dan sebagainya. Perkara ini mungkin agak menyukarkan sekiranya anda hanya bergantung kepada tugasan freelance sahaja. Berkongsi mengenainya, salah seorang perekabentuk grafik tempatan, Yazid berkongsi mengenai pengalaman beliau dengan kami baru-baru ini. Yazid dulunya menggunakan nama samaran Yajido di Deviantart, tetapi kini telah beralih menggunakan nama samaran Yxji untuk beberapa portfolio, termasuk di Behance. Yazid Shariff merupakan lepasan UiTM, dan telah bertugas dalam arena perbankan sebelum ini, dan kini beralih kepada tugasan memfokuskan arena seni grafik dan digital sepenuh masa. Sebagai perekabentuk grafik, beliau berkongsi beberapa pengalaman yang mana beberapa hasil kerja beliau hanya dibalas dengan belanja makanan “McD” sahaja. Memandangkan perkara tersebut sering berlaku di rantau ini, salah satu alternatif baru yang telah dicuba oleh Yazid adalah dengan hadir dengan rekaan sticker untuk aplikasi permesejan LINE. LINE baru-baru ini telah membuka penawaran untuk para pengguna menghantar hasil kerja mereka di LINE Creator Market, dan menjana pendapatan melaluinya. Yazid mengatakan beliau telah menerima cadangan awal daripada rakan yang menggunakan perkhidmatan LINE tersebut, untuk hadir dengan beberapa pilihan sticker khusus untuknya. Seperti semua sedia maklum, perkhidmatan permesejan seperti LINE agak popular dikalangan pengguna peranti mudah-alih, dan fungsi sticker merupakan kebolehan menghantar gambar bersaiz besar dalam mengeksperisi perasaan mereka dengan mudah.

Yazid mengatakan untuk hadir dengan satu set sticker, sebanyak 42 buah lakaran perlu dilakukan. Biasanya, perkara ini akan mengambil masa sekitar seminggu ke dua minggu oleh beliau. Beliau turut berkongsi mengatakan, sekiranya anda ingin menerbitkan sticker, tetapi tiada masa terluang yang banyak, mungkin turut boleh mencuba untuk hadir dengan satu atau dua lakaran sehari – dan anda akan selesaikan set anda dalam masa kurang sebulan. Sebaik sahaja mempunyai lakaran yang lengkap, seterusnya anda boleh menerbitkan ia di LINE Creator Market secara percuma. Yazid mengatakan ia akan melalui sebuah proses pengesahan oleh pihak LINE sebelum ia diterbitkan untuk dimuat-turun pengguna lain. Beberapa hasil Yazid pernah ditolak sebelum ini kerana beberapa perkara, termasuk kerana isu parodi ataupun hak cipta. Berkongsi kisah, Yazid mengatakan pernah hadir dengan rekaan seumpama logo Starbuck tetapi menggunakan watak rekaan beliau, OctoGang. Perkara tersebut telah ditolak oleh pihak LINE kerana melibatkan isu parodi dan hak cipta, serta memerlukan pereka untuk menghantar karya baru. Biasanya, LINE akan mengambil masa antara seminggu sehingga beberapa bulan untuk mengesahkan hasil karya di LINE Creator Market. Sebaik sahaja diterbitkan, pengguna LINE biasanya akan membuat pembelian menggunakan LINE Coin yang terkumpul melalui pelbagai aplikasi. Mengikut kebiasaan, ia akan dihargakan sekitar RM3 ataupun menggunakan 50 coin. Menurut Yazid, memandangkan ia diterbitkan untuk arena global, maka pasaran untuknya agak meluas. LINE baru-baru ini telah mengatakan mereka mempunyai 170 juta pengguna aktif setiap bulan, sekaligus menjadikan peluang pemasaran agak meluas untuk para penerbit di Creator Market.

Menurut Yazid, kebanyakkan pembeli sticker beliau di LINE hadirnya dari Taiwan, Thailand dan juga Indonesia. Pada masa yang sama, penerbitan beliau di LINE juga turut membuka kepada peluang kerjasama baru dengan beberapa syarikat yang lain – disamping pada masa yang sama menambah portfolio baru dibawah beliau. Bercakap mengenai pendapatan, Yazid mengatakan pada awal bulan pertama menyertai LINE Creator Market, beliau telah menjana pendapatan sehingga $150 sebulan. Kini, dengan empat set sticker yang telah diterbitkan beliau, beliau menerima bayaran sekitar $100 setiap bulan secara pasif. Pendapatan yang diterima beliau adalah selepas potongan yang diambil oleh LINE sebanyak 50% dan juga selepas dikenakan cukai sebanyak 20% oleh kerajaan Jepun. Bayaran biasanya dilakukan menggunakan akaun PayPal. Beliau sebelum ini pernah menyasarkan untuk hadir dengan lebih kurang 20 sticker untuk tahun 2014 ini, tetapi ia tidak kesampaian. Salah satu kekurangan pada LINE Creator Market adalah kerana kemudahan untuk menerbitkannya tanpa sebarang kos, ramai yang menerbitkan hasil kerja disana, menjadikan hasil kerja kita tenggalam dalam tempoh yang pantas. Untuknya, Yazid sedang memikirkan beberapa kaedah baru dalam memasarkannya, dan menjana lebih banyak pendapatan melaluinya. Memberikan komen berkaitan perkara tersebut, pihak LINE Malaysia mengatakan mereka sedang melihat kepada beberapa kaedah promosi, disamping pihak LINE sedia mempromosikan satu hasil kerja setiap hari daripada pelbagai perekabentuk dari seluruh dunia. Ini sekaligus memberikan impak yang lebih meluas kepada artis dan pada masa yang sama menambah jumlah pembelian sticker oleh seseorang penerbit.

LINE Malaysia turut berkongsi mengatakan antara 8 Mei hingga 7 Ogos yang lepas (selepas pelancaran Creator Market), jumlah jualan keseluruhan telah mencapai hampir RM37 juta – salah satu angka yang besar, sekaligus memberikan ruangan untuk penerbit hadir dengan lebih banyak pelekat interaktif dan cantik. LINE Malaysia turut mengatakan secara purata, 55.5% sticker yang baru telah melebihi RM303 dari segi jualan, dan untuk purata 10 pelekat teratas paling laris terjual adalah hampir RM676,600. Yazid mengatakan sekiranya anda ingin menerbitkan sticker di LINE, anda mungkin boleh mulakan dengan membuat lakaran beberapa perkara berkaitan emosi dan juga perasaan di sekeliling anda, sebelum beralih kepada topik-topik lain yang lebih menarik. Berkongsi sedikit statistik mengenai penggunaan sticker dalam urusan komunikasi, pihak LINE Malaysia mengatakan lebih daripada 1.8 bilion pelekat yang dihantar dan diterima dalam satu hari, oleh lebih 170 juta pengguna aktif setiap bulan. Di Malaysia sahaja, LINE mempunyai lebih daripada 10 juta pengguna yang menggunakan aplikasi tersebut. Dengan angka yang besar ini, ia sekaligus membawa kepada sebuah industri baru yang membolehkan mereka yang bekerja dalam industri seni grafik untuk hadir dengan pelbagai karya menarik dan menjana pendapatan tambahan melaluinya. Di Malaysia, selain daripada Yazid, terdapat beberapa artis lain yang turut menjana pendapatan menggunakan LINE Creator Market, termasuk Eve Yap, Chong Po Ling, dan juga Chee Ching. Layari : LINE Creator Market

 
Leave a comment

Posted by on November 24, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s