RSS

6 Sebab Saya Akan Menggunakan iPhone 6 Plus Tahun Ini

25 Nov

Jika ada sistem operasi yang saya kurang gemar ianya bukan IOS tetapi Windows Phone kerana walaupun sudah lebih dua tahun bertapak masih tidak mesra pengguna dan mampu memenuhi keperluan harian saya. Tahun 2015 ialah tahun baru dan saya akan memulakan tahun baru ini dengan berubah ke platform IOS dengan membeli sebuah iPhone 6 Plus. Kenapa tiba-tiba mahu berubah ke platform Apple? Di bawah ialah enam alasan mengapa saya akan membeli sebuah iPhone 6 Plus tahun ini. Antara sebab utama hati saya tawar untuk membeli sebuah iPhone ialah kerana saiznya yang kecil. Isteri saya dahulu seorang pengguna iPhone 3GS dan selepas menggunakan peranti beliau selama beberapa hari saya sedari saiz telefon pintar ini terlalu kecil untuk insan gemuk besar seperti saya. Saiz peranti Android pada waktu itu sudah mula mencecah 5″ sedangkan iPhone masih berkeras dengan skrin 3.5″. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini saiz iPhone semakin besar dan dengan 6 Plus akhirnya wujud peranti dengan saiz yang berpadanan dengan saiz tangan saya. Saiz skrin yang besar bukan sahaja memudahkan saya menaip malah memudahkan pembacaan teks pada skrin.Selepas menggunakan beberapa peranti pelbagai saiz saya kini merasakan saiz skrin 5.5″ adalah yang paling sesuai untuk penggunaan seharian saya.  Tambahan lagi video pada Youtube adalah lebih seronok ditonton pada skrin lebih besar (dengan resolusi tinggi) dan begitu juga dengan aplikasi permainan yang ada di pasaran. Pada waktu ini terdapat lebih dari 1.3 Juta aplikasi yang boleh dimuat turun dari App Store. Jumlah yang sama boleh dimuat turun dari Google Play Store. Tetapi jumlah aplikasi yang direka dengan lebih kemas, baik, lancar dan dengan antaramuka untuk IOS adalah jauh lebih tinggi. Majoriti aplikasi baru yang kami temui akan dilancarkan untuk platform IOS terlebih dahulu sebelum muncul untuk Android.

Sebagai seorang graduan rekaan dan multimedia kreatif rekaan yang baik adalah penting dan rekaan aplikasi Android yang kerap kali tidak secantik IOS membuatkan saya lebih kerap memuat turun aplikasi yang sama pada iPad milik saya. Terdapat juga aplikasi yang bagus yang sehingga kini tidak ada untuk Android. Sebagai contoh Waterlogged, sebuah aplikasi mengubah gambar menjadi lukisan catan air yang sudah wujud hampir dua tahun sehingga kini tiada pada Android. Aplikasi ini saya gunakan dengan kerap untuk “melukis” kerana ianya intuitif dan sangat seronok untuk digunakan. Selain daripada itu kerap kali aplikasi untuk Android tidak berfungsi selancar pada IOS. Dua tahun lalu aplikasi sokongan untuk Assassin’s Creed IV Black Flag dilancarkan. Pada hari yang sama yang memuat turun companion app ini pada tablet Android dan iPad. Pada iPad ia berfungsi dengan baik tanpa masalah manakala pada Android aplikasi kerap gagal berfungsi dan pada awalnya tidak boleh dimuat turun kerana menurut Play Store ianya tidak bersesuaian dengan peranti yang digunakan. Pada waktu itu saya menggunakan sebuah tablet Samsung terkini. Jadi jelas sekali dari segi sokongan, kelancaran dan rekaan memang aplikasi untuk IOS adalah jauh lebih baik dari Android. Kemampuan kamera adalah penting kerana kadang kala kamera pada peranti pintar saya gunakan untuk melaporkan pelancaran produk terkini di pasaran terus ke media sosial. Kerap kali majlis pelancaran dilakukan di dalam dewan yang gelap dan gambar yang diambil tidak memuaskan. Kamera iPhone 6 Plus mungkin bukan yang terbaik di pasaran (masih dipegang Nokia 1020) tetapi ianya 90% lebih baik dari peranti Android di pasaran. Tiada gimik Megapixel diperlukan. Memang tahun demi tahun kemampuan optik peranti IOS secara konsisten adalah lebih baik jika dibandingkan dengan peranti Android. Kemas kini pantas ialah antara sebab utama kenapa saya ingin berpindah ke IOS. Kenapa perlu tunggu berbulan lamanya untuk kemasan Android 5.0 pada peranti yang dibeli pada harga setaraf iPhone? Kenapa tidak beli sahaja peranti Nexus? Ini mungkin kerana ianya tidak dijual secara rasmi di Malaysia. Nexus 6 yang diumumkan tahun lalu masih tidak dijual secara rasmi di Malaysia.

Kemasan terkini sistem operasi adalah penting bagi saya kerana ia membawakan fungsi dan antaramuka yang baru. Kebanyakan peranti Android yang saya ulas masih menggunakan Jelly Bean tanpa sebarang pengumuman rasmi bilakah ia kana menerima kemasan terkini. Kerap kali hanya peranti flagship akan menerima kemasan terlebih dahulu dan peranti flagship tahun sebelumnya tergantung tidak bertali. Paling mengejutkan penggunaan Android Lollipop hanya meliputi 0.1% peranti Android di pasaran. Bandingkan ini dengan IOS8 yang kini digunakan 68% peranti IOS. Jika ke pusat aksesori peranti anda akan sedari lebih banyak aksesori iPhone dijual. Untuk Android pula aksesori tertumpu kepada peranti Samsung. Tetapi saya tidak meminati peranti Samsung kerana masalah sela masa TouchWiz yang kronik dan harga yang kini tidak lagi berbaloi. Setiap hari ketika melayari laman rekaan industri saya akan menemui aksesori untuk iPhone yang direka dengan baik.Aksesori yang berkualiti ini diperlukan bagi memastikan iPhone 6 Plus yang dibeli akan tidak mudah melengkung sepanjang tempoh penggunaan. Saya bernasib baik kerana dapat mencuba lebih dari 80% peranti Android yang dijual di Malaysia. Segala buruk dan baik peranti mahal ataupun murah telah saya alami sendiri sejak tiga tahun bertugas di Amanz. Dari pengalaman peribadi saya menggunakan iPad jumlah masalah yang dialami peranti lebih kecil pada IOS berbanding Android. iPhone tidak menyokong NFC, pemindahan universal melalui Bluetooth dan tiada widget. Ini saya cukup tahun tetapi sejak kebelakangan ini saya menyedari ini bukan lagi masalah besar. Tiada NFC dan pemindahan universal tidak apa kerana boleh memindahkan gambar kepada ahli keluarga menggunakan WhatsApp. Data bukan masalah besar bagi saya apabila menggunakan aplikasi pemesejan ini. Widget yang dahulunya penting kini tidak lagi saya gunakan kerana tiada keperluan lagi. Dengan IOS 8 fungsi-fungsi asas yang saya suka gunakan pada Android kini sudah wujud pada iPhone. Saya hanya memerlukan fungsi asas dilakukan dengan baik dan kini masa yang sesuai untuk mencuba platfrom baru.  Kalau orang boleh bertukar-tukar kereta tanpa mengira jenama kenapa saya tidak boleh berubah platform.

 
Leave a comment

Posted by on November 25, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s