RSS

Jabra Sport Pulse Wireless

25 Nov

Jabra sedia terkenal dengan produk aksesori Bluetooth dan melaluinya, mereka banyak menghasilkan set Bluetooth yang menarik pada segmen berbeza. Beberapa contoh produk daripada mereka antaranya Jabra Rox Wireless yang menampilkan rekaan premium serta ditujukan untuk golongan umum dan penggunaan kasual. Jabra Step Wireless pula adalah percubaan Jabra dalam membawakan pengalaman mendengar muzik untuk golongan permulaan yang ingin berjinak ke dunia audio tanpa wayar. Bagi penggemar aktiviti lasak pula, Jabra pernah hadir dengan Jabra Sport Wireless+ yang didatangkan dengan rekaan kalis air dan anti gegaran pada akhir 2013. Namun ia sebuah peranti berasaskan kecergasan yang asas dan fungsi yang didatangkan masih tidak cukup untuk memenuhi keperluan aktiviti ini. Kini, Jabra tampil dengan Sport Pulse Wireless yang membawakan inovasi baru serta satu kelebihan berbanding set Bluetooth yang lain iaitu kebolehan untuk mengesan denyutan jantung melalui telinga. Ia juga didatangkan dengan satu aplikasi khas yang menjanjikan kehadiran peranti ini bakal membawa anda ke sebuah dimensi dunia kecergasan dalam satu pakej pintar. Jabra Sport Pulse Wireless hadir dengan rekaan ringan dan kecil disamping membawakan warna ikonik Jabra iaitu kuning sebagai pelengkap peranti ini. Ia turut hadir dengan dua earbud in-ear yang mana ia disambungkan dengan inline-remote bagi memudahkan kawalan suara dibuat daripadanya. Ia juga didatangkan dengan binaan wayar bergetah yang tidak terlalu pendek dan juga tidak mudah berselirat apabila ia disimpan. Memakai Jabra Sport Pulse Wireless pada mulanya agak kekok dan memerlukan masa untuk dapat memakainya dengan selesa. Pada percubaan awal saya, saya memerlukan jangka masa sekitar 10 minit untuk mendapatkan ‘rentak’ pemakaian yang betul dan selamat untuk diletakkan pada telinga saya. Ia menjadi sedikit sukar kerana rekaan di bawah earbud hadir dengan bahagian ergonomik yang bertindak sebagai ‘pengunci’ peranti ini pada lekuk telinga anda. Bercakap mengenai keselesaan, jujur saya katakan Sport Pulse Wireless begitu selesa di telinga saya dan tidak memberikan sebarang isu ketidakselesaan apabila memakainya pada jangka masa lama.

Rekaan Ergonomic Audio Responce Science daripada Jabra turut membuatkan Sport Pulse Wireless berasa selamat di telinga sepanjang menggunakan peranti ini. Ianya tidak mudah tertanggal walaupun anda melakukan aktiviti senaman yang melibatkan larian dan lompatan secara intensif. Dari segi ketahanan, Jabra Sport Pulse Wireless didatangkan dengan IP55 yang kalis daripada air selain membantu pengguna melakukan aktiviti kecergasan pada hari hujan serta melindungi daripada situasi peluh berlebihan. Ujian ketahanan ini juga melindungi daripada habuk, debu, dan tanah – sekaligus menjadikan pengguna tidak perlu risau digunakan ketika melakukan aktiviti lasak. Salah satu fungsi yang menjadi kelebihan besar pada Sport Pulse Wireless adalah pengesan degupan jantung yang dibina bersama set Bluetooth ini. Ia berfungsi dengan mengeluarkan cahaya daripadanya dan seterusnya ia akan mengesan nadi terus daripada telinga anda. Dari segi ketepatan, saya boleh katakan bacaan nadi yang diambil adalah tepat dan setara dengan bacaan yang diambil melalui alat pengesan jantung digital. Jabra Sport Pulse Wireless turut boleh dicas semula dengan sambungan micro-USB yang terletak di bahagian kanan set Bluetooth ini. Lubang micro-USB dibiarkan tersorok serta dilindungi dengan tekstur bergetah bagi mengelakkan kandungan seperti air dan habuk tidak mengganggu bahagian ini. Untuk penggunaan, Jabra Sport Pulse Wireless boleh diaktifkan dengan NFC sekiranya telefon anda menyokong sambungan ini bagi memudahkan proses penyambungan. Sekiranya tidak, anda boleh menyambungkan secara manual melalui sambungan Bluetooth yang boleh digunakan pada majoriti peranti. Bercakap mengenai kompatibiliti, peranti baru yang menyokong Bluetooth 4.0 tidak mempunyai masalah untuk disambungkan kepada Sport Pulse. Yang menjadi isu apabila disambungkan pada peranti Bluetooth 3.0 dan ke bawah yang mana ia tidak dapat langsung berfungsi dengan peranti ini. Saya telah mencubanya pada iPhone 4 namun ia gagal disambungkan. Begitu juga dengan komputer riba yang menggunakan Bluetooth 3.0 dan ke bawah, ia juga tidak boleh disambungkan sebagai headset tanpa wayar anda.

Apa yang menarik mengenai Sport Pulse Wireless, ia hadir dengan fungsi voice-coaching atau arahan suara yang mampu memberikan maklumat sepanjang anda menggunakan alat ini. Ia akan memberitahu anda info berkaitan dengan aktiviti yang dilakukan disamping memberi arahan generik seperti bacaan bateri dan status sambungan. Suara yang dihasilkan juga sangat neutral seolah-olah anda mempunyai pembantu peribadi di telinga anda. Mengawal pembesar suara dan membuat pause/play muzik yang sedang dimainkan dari Sport Pulse Wireless juga mudah dengan menekan butang dedikasi pada inline-remote peranti ini. Saya suka dengan rekaan remote ini yang mudah ditekan dan hadir pada bahagian kanan peranti ini. Ia juga bertindak sebagai butang untuk on/off peranti ini disamping hadir sebagai butang menjawab panggilan dan membuat arahan suara. Penggunaan Jabra Sport Pulse Wireless turut didatangkan dengan aplikasi Sport Life yang memberikan segala informasi berkaitan dengan aktiviti sukan dan senaman anda. Ia tidaklah wajib dipasang namun ia melengkapkan lagi fungsi kepada peranti ini. Satu fungsi yang menjadi kesukaan saya adalah integrasi ‘fitness tests’ yang membantu anda menguji sejauh mana kekuatan anda pada setiap aktiviti kecergasan yang berlainan. Ia menampilkan Orthostatic Heart Rate Test yang memerlukan anda membuat senaman memijak bangku berulang-kali untuk mengenal pasti kekuatan jantung anda. Selain ‘fitness tests’, fungsi ‘training zone’ membolehkan anda mencapai matlamat anda dengan memasuki zon kecergasan yang ditetapkan. Melalui fungsi ini, anda dikehendaki mengikuti aktiviti yang ditetapkan melalui aplikasi ini. Sekiranya anda ingin mengurangkan lemak pada badan anda, anda boleh memilih ‘fat burn zone’ yang memerlukan anda berlari mengikut aras zon yang sedia dilakukan. Sekiranya anda ingin melakukan aktiviti kecergasan secara sendiri, anda juga boleh menetapkan hala tuju peribadi anda dengan menetapkan jarak, masa, dan bilangan kalori yang ingin dikurangkan. Cuma apa yang menjadi kekurangan mengenai aplikasi Sport Life, ia hanya menyokong platform Android dan iOS yang semestinya meninggalkan satu platform ke belakang iaitu Windows Phone.

BlackBerry 10, walaupun ia tidak disokong secara rasmi namun aplikasi Sport Life versi Android boleh dipasang pada platform ini tanpa sebarang masalah. Isu ini mungkin dilihat tidak menjadi isu besar tetapi alangkah baiknya sekiranya ia diperluaskan kepada semua platform. Menurut Jabra, Sport Pulse Wireless dikatakan mampu bertahan dengan penggunaan selama 5 jam untuk mod muzik. Pada penggunaan sebenar, saya sering dapat menggunakan Sport Pulse Wireless dalam masa 4 jam sebelum saya perlu mengecas semula peranti ini. Apabila dibiarkan dalam keadaan idle, ia mampu bertahan selama 10 hari yang mana agak mencukupi bagi seseorang pengguna. Untuk melihat status bateri pada Sport Pulse Wireless, anda hanya perlu menekan butang “+” selepas anda menghidupkan semula peranti ini. Ia akan memberikan info dalam bentuk arahan suara seperti “battery medium” dan sekiranya bateri berada pada tahap yang lemah, ia akan berkata “battery low” kepada anda. Sekiranya anda ingin mendapatkan bacaan bateri yang lebih terperinci, anda boleh menggunakan aplikasi Sport Life yang didatangkan khas untuk aksesori ini. Salah satu perkara membuatkan Jabra Sport Pulse lebih istimewa berbanding set Bluetooth yang lain, ia didatangkan dengan penataaan audio Dolby Digital yang mampu memberikan kualiti audio terbaik pada telinga anda. Mendengar beberapa lagu dengan kehadiran bunyi bass yang tinggi cukup memuaskan saya dan tidak hairan ia agak mahal dari segi harganya. Malah, mendengar sejumlah lagu daripada Spotify Premium pada kualiti Extreme cukup menginzalkan telinga saya terutamanya mendengar alunan suara dan petikan gitar yang jelas dan jitu. Memakai Sport Pulse Wireless juga membuatkan anda kurang mendengar bunyi persekitaran di luar, jadi ia dapat membantu anda untuk fokus bersama muzik yang sedang dimainkan. Pengalaman memakainya saya merasakan seolah-olah saya berada pada bilik yang sunyi walaupun keadaan di luar agak bising dengan bunyi persekitaran. Ia juga tidak mengeluarkan sebarang lebihan audio apabila volume dikuatkan ke tahap maksimum, jadi anda tidak perlu risau sekiranya anda memilih lagu yang mungkin sedikit memalukan anda (dangdut mungkin?) sebagai playlist atau lagu yang sedang dimainkan.

 
Leave a comment

Posted by on November 25, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s