RSS

Papan Kekunci Microsoft All In One Media

25 Nov

Di rumah saya menggunakan papan kekunci dan tetikus tanpa wayar untuk memudahkan kerja. Ini adalah kerana pada waktu yang sama saya menjaga anak kecil saya yang baru berusia tujuh bulan. Pejabat mini kami terlalu jauh dari tempat tidur si kecil dan jika saya perlu menjenguk ke ruang tamu setiap 30 minit, kerja yang ada pastinya tidak akan siap. Paparan desktop dari tab Chrome saya pancarkan ke televisyen ruang tamu menggunakan Chromecast. Dari situ saya hanya perlu membawa papan kekunci dan tetikus ke ruang tamu dan bekerja. Masalah utama yang sering saya hadapi ialah tiada permukaan rata untuk meletakkan tetikus. Jadi apabila saya menerima papan kekunci Microsoft All In One Media untuk diulas ianya seperti tuhan memberikan jawapan kepada masalah saya selama ini. Papan kekunci Microsoft All In One Media  ini mempunyai pad sesentuh terbina pada bahagian kanan. Ruang yang biasanya dikhaskan untuk kekunci nombor diambil alih oleh pad sesentuh empat segi sebesar 3.5″.  Secara peribadi ketiadaan kekunci nombor ini bukanlah masalah besar kerana tidak selalu digunakan. Papan kekunci ini tanpa wayar ini mempunyai saiz yang kompak 362 x 132 mm. Saiz papan kekunci ini adalah berpadanan dengan sebuah komputer riba bersaiz 14 inci. Ia menggunakan tanpa wayar frekuensi radio dengan jarak penggunaan maksimum sehingga 10 meter. Dua buah bateri AAA digunakan sebagai sumber kuasa dengan jangka hayat bateri sehingga 9 bulan sebelum perlu digantikan. Kekunci adalah dari jenis chicklet dengan ruang yang secukupnya di antara kekunci bagi memudahkan menaip. Permukaan kekunci adalah kasar tetapi selesa digunakan. Ianya juga kalis tumpahan air. Kesemua kekunci utama seperti butang Function, Alternate, Windows  dan F Keys disertakan. Butang kawalan suara, mute dan butang khas menggantikan left click pada tetikus. Pada bahagian kanan di atas pad sesentuh terdapat tiga butang tambahan untuk butang Home pada pelayar web, media untuk melancarkan Windows Media Player dan My Computer. Ketiga-tiga butang ini boleh diprogramkan semula untuk melancarkan aplikasi pilihan pengguna. Pada sisi kanan terdapat butang kuasa. Pada bahagian bawah terdapat panel untuk tempat simpanan bateri dan dongle penerima frekuensi RF.  Tempat simpanan ini mempunyai magnet terbina dan memastikan dongle tidak akan tercicir sekiranya panel terbuka secara tidak sengaja. Binaan papan kekunci adalah seratus peratus plastik. Ia tidak kelihatan menarik tetapi bahan binaan ini memastikan ianya ringan. Sebagai papan kekunci media kami merasakan majoriti penggunaannya ialah untuk penstriman media dari PC terus ke televisyen. Kami rasakan sekiranya kekunci mempunyai sistem lampu (backlit) ianya pasti lebih mesra pengguna. Selalunya apabila menonton filem lampu akan dimatikan dan ketiadaan lampu pada kekunci ataupun kekunci glow in the dark adalah sedikit kekurangan yang agak nyata. Pastinya sukar mencari kekunci apa yang ingin ditekan dalam keadaan gelap. Aneh sekali tiada cakera padat driver disertakan dengan pembelian. Apabila dongle dipasang kepada komputer ia akan memuat turun driver papan kekunci ini secara automatik. Kami mungkin adalah saki baki manusia yang masih menyukai driver disertakan sekali dengan setiap pembelian produk. Tetapi kami memahami mengapa CD driver tidak disertakan kerana majoriti komputer yang dijual sekarang tidak mempunyai pemacu CD. Selepas driver dipasang anda boleh melancarkan program Mouse and Keyboard Center bagi melakukan tetapan yang bersesuaian dengan anda. Dari program yang sama kelajuan tatalan pad sesentuh, fungsi gerakan jari dan bermacam-macam lagi parimeter kekunci boleh ditetapkan dengan mudah. Anda juga boleh memprogramkan makro dengan papan kekunci ini. Penggunaan papan kekunci ini adalah mudah tanpa sebarang masalah besar. Kekunci sangat responsif dan selesa digunakan. Pad sesentuh berfungsi dengan sangat baik dan menyokong pergerakan jari seperti mentatal dengan menggunakan dua jari. Pad sesentuh ini boleh saya katakan adalah jauh lebih baik dari beberapa pad sesentuh komputer riba yang pernah saya ulas di Amanz. Kekurangan paling ketara ialah saiznya yang kecil membuatkan posisi tangan menjadi kurang selesa. Jika anda mempunyai masalah RSI seperti saya konfigurasi papan kekunci tradisional dan bukannya ergonomik ini akan membuatkan pergelangan tangan anda menjadi tidak selesa. Kami difahamkan All In One Media direka khas untuk kegunaan di ruang tamu dan bukan untuk melakukan kerja. Jadi ketiadaan konfigurasi kekunci ergonomik ini bolehlah dimaafkan. Sesuai dengan nama All In One Media, papan kekunci ini turut boleh digunakan pada peranti Android dan konsol Playstation 3. Penggunaan pada kedua-dua platform adalah amat mudah. Hanya sambungkan dongle pada port USB PlayStation 3 ataupun peranti Android (4.0.3 keatas) dan ianya akan berfungsi seperti kekunci Plug and Play biasa. Pada peranti Android butang home pada bahagian atas pad sesentuh secara automatik menggantikan butang home pada peranti. Butang media sedia ada juga boleh melancarkan aplikasi muzik pilihan. Malang sekali butang ketiga yang mengawal fungsi My Computer tidak pula diprogramkan. Selain platfrom Android, PlayStation 3 dan WIndows papan kekunci ini juga boleh digunakan pada sistem operasi OSX. Buat masa ini tiada sokongan untuk IOS. Papan kekunci Microsoft All In One Media ialah papan kekunci tanpa wayar yang sesuai dimiliki oleh mereka yang mahukan papan kekunci dengan pad sesentuh terbina. Penggunaan selesa dan melakukan konfigurasinya juga mudah. Sokongan untuk Playstation 3, OSX dan Android menambahkan nilai kepada wang yang dibelanjakan kerana ia boleh digunakan bukan sahaja untuk PC di rumah anda. Kekurangan yang paling ketara ialah saiznya yang kecil membuatkan tangan anda menjadi kurang selesa untuk penggunaan yang lama. Secara keseluruhan ianya adalah papan kekunci yang baik bagi mereka yang banyak melakukan penstriman media dari PC terus ke televisyen di ruang tamu dan melayari web menggunakan konsol PlayStation 3. Harga jualan papan kekunci All In One Media ialah RM 139.

 
Leave a comment

Posted by on November 25, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s