RSS

Xiaomi Redmi Note 4G

25 Nov

Julai lalu kami mengulas Xiaomi Redmi Note 3G. Ia merupakan antara phablet paling mampu milik dengan kemampuan yang baik di pasaran sekarang. Hari ini kami akan mengulas Redmi Note versi 4G yang dijual bermula minggu lalu. Selain menyokong rangkaian 4G, pemproses peranti ini juga ditukar berbanding versi 3G. Pemproses 1.7 lapan teras digantikan dengan pemproses 1.6 GHz empat teras Snapdragon 400. Spesifikasi fizikal lain masih lagi dikekalkan. Sistem operasi yang digunakan pula ialah Android 4.4.2 berbanding 4.2.2 pada versi 3G. Skrin masih lagi 5.5″  IPS LCD dengan resolusi 720P. Setahu kami tiada perubahan dilakukan pada skrin tetapi skrin Redmi 4G memaparkan warna dengan lebih baik. Skrin Redmi 3G adalah kekuningan apabila memaparkan imej berwarna putih. Kami turut menyedari Redmi 4G juga teras lebih ringan. Apabila panel belakang dibuka sebuah lagi perbezaan dikesan. Redmi 4G hanya menyokong satu kad SIM bersaiz normal. Dari segi rekabentuk pada bahagian kanan terdapat butang kuasa dan suara. Pada sebelah kiri tidak terdapat apa-apa. Port MikroUSB diletakkan pada bahagian bawah manakala jack fon kepala pada bahagian atas. Pada panel belakang terdapat pembesar suara mono.Peranti ini masih menggunakan butang navigasi kapasitif. Butang home diapit butang menu pada bahagian kiri dan butang back pada bahagian belakang. Untuk mengakses skrin multi tasking butang menu perlu ditekan selama beberapa saat. Google Now pula dilancarkan dengan menekan butang home untuk beberapa saat juga. Kemampuan optiknya pula ialah 13 Megapixel (dengan flash) pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan. Tiada mod gerak perlahan tetapi fungsi mengambil video selang masa (timelapse) disertakan. Perubahan di antara model 3G dan 4G tidak ketara. Sekilas pandang anda tidak dapat langsung membezakan kedua-dua peranti ini.  Rekaan yang sama ini bukanlah masalah bagi kami kerana ianya ianya masih sebuah peranti yang selesa dipegang walaupun mempunyai tubuh yang tebal. Model 4G yang lebih ringan kini membuatkan penggunaan sebelah tangan lebih selesa. Beberapa perubahan kecil dilakukan pada antaramuka MIUI V5 Redmi 4G.

Pada tetapan paparan anda kini boleh mengubah suhu dan tahap saturasi warna. Terdapat tiga pilihan untuk suhu warna iaitu panas, sejuk dan normal. Untuk saturasi warna pula terdapat pilihan brilliant ataupun standard. Pada tetapan bunyi pula kini terdapat pilihan untuk mengaktifkan sistem mengurangkan ganggunan bunyi sekeliling (noise supression). Tahap penggunaan bateri juga boleh diubah dari seimbang ke kuasa penuh. Tetapan-tetapan ini membolehkan pengguna menetapkan bagaimana peranti akan berfungsi. Kepada mereka yang gemar melakukan tetapan sendiri kemampuan melakukan kustomasi sebegini pastinya dialu-alukan. Sungguhpun secara keseluruhan antaramuka MIUI adalah menarik, kami kecewa kerana tiada fungsi khas phablet disertakan. Fungsi menggunakan peranti menggunakan sebelah tangan ataupun multi screen yang membolehkan lebih dari satu aplikasi dipaparkan secara serentak pada skrin yang biasa kami gunakan pada phablet tiada pada Redmi Note. Pada pendapat kami fungsi khas untuk phablet sepatutnya sudah menjadi kebiasaan kerana skrin peranti yang lebih besar. Dalam hal ini Samsung Galaxy Note 4 masih lagi unggul dalam memberikan pelbagai fungsi khas kepada pengguna. Buat masa ini Redmi Note hanyalah sebuah MI3 yang diberikan skrin lebih besar kerana ketiadaan fungsi khas yang kami sebutkan tadi. Kami berharap pada kemasan – kemasan akan datang pihak Xiaomi akan memasukkan fungsi – fungsi khas ini untuk Redmi Note. Pengguna – pengguna phablet memerlukan fungsi khas ini dan skrin yang besar sahaja tidak cukup memandai untuk sebuah phablet. Seperkara lagi yang mengecewakan kami tentang MIUI ialah sebahagian tema yang dimuat turun melalui aplikasi Themes tidak dialih bahasa dengan sepenuhnya. Tema IOS 6 yang kami muat turun masih memaparkan sebahagian elemen antaramuka dalam bahasa cina yang tidak kami fahami. Masalah ini masih lagi tidak diselesaikan dan sudah berlarutan sejak dahulu lagi. Jika Xiaomi serius untuk menjadi pengeluar peranti global, masalah alih bahasa ini perlu ditangani dengan segera. Security ialah aplikasi terbina di dalam Redmi Note. Dari namanya anda pasti boleh mengagak aplikasi ini menjadi benteng pertahanan peranti anda dari virus dan pelbagai masalah lain. Terdapat 6 pilihan di dalam aplikasi ini iaitu Cleaner, Data Usage, Blocklist, Power, Virus Scan dan Permission.

Cleaner membersihkan cache peranti anda bagi mengelakkan pembaziran penggunaan ruang. Blocklist menghalang panggilan telefon ataupun mesej dari nombor yang anda tetapkan. Permission membolehkan anda menghadkan akses aplikasi kepada maklumat peribadi anda. Virus Scan mengesan malware dan Power menetapkan tahap penggunaan bateri mengikut keperluan anda. Kesemua fungsi – fungsi ini biasanya memerlukan beberapa aplikasi berbeza. Dengan adanya aplikasi Security anda tidak perlu memuat turun lagi pelbagai aplikasi dan kesemua keperluan keselamatan peranti anda dapat diakses dengan mudah hanya dari satu tempat. Lite mode ialah mod minimalistik MIUI yang mengurangkan penggunaan bateri. Fungsinya sama seperti Ultra Saving Mode Samsung dan Batery Saver Alcatel One Touch Hero. Tidak seperti dua pada peranti Samsung dan Alcatel, fungsi lite mode tidak berubah secara automatik apabila dipiliaj dari skrin tetapan. Sebaliknya peranti harus dihidupkan dan dimatikan terlebih dahulu sebelum Lite Mode diaktifkan. Ini sedikit memakan masa dan tidak mesra pengguna. Aplikasi kamera masih kelihatan sama tetapi pratetapan scene mode kini tidak lagi disertakan. Scene mode memudahkan anda memilih tetapan terbaik untuk mengambil gambar aksi sukan, waktu malam ataupun waktu matahari terbenam. Xiaomi merasakan tetapan automatik sedia ada sudah mencukupi untuk Redmi 4G.  Kamera utama sebesar 13 Megapixel pada bahagian belakang boleh mengambil video pada resolusi 1080P. Kamera hadapan 5 Megapixel pula mengambil video pada resolusi 720P. Tiada mod gerak perlahan tetapi fungsi selang masa (timelapse) disertakan. Anda boleh memilih mengambil satu frame setiap 0.6 saat ataupun setiap 60 saat. Gambar Redmi 4G masih lagi mempunyai masalah sedikit gelap berbanding kebanyakan kamera yang kami uji di makmal Amanz.  Untuk mendapatkan gambar yang lebih terang kami terpaksa ke mod manula dan menaikkan tahap dedahan. Pada resolusi penuh 13 Megapixel gambar hanya boleh diambil pada nisbah 4:3. Kualiti gambar adalah sederhana sahaja. Di bawah ialah dua contoh video yang kami rakamkan. Video pertama ialah rakaman HD penuh manakala video kedua ialah rakaman mod selang masa. Video selang masa ini selama 27 saat ini mengambil masa 30 minit untuk dihasilkan. Kualitinya agak baik dan hasilnya memuaskan.

Tetapi seperti mod mengambil gambar, video yang dihasilkan juga adalah gelap. Markah penanda aras Redmi 4G adalah lebih rendah berbanding edisi 3G. Ini adalah dijangkakan kerana perubahan pemproses 1.7 Ghz  lapan teras kepada 1.6 GHz empat teras. Anda boleh melihat perbezaan penanda aras di bawah. Bagi memastikan keadilan kami melakukan semula ketiga-tiga ujian Antutu, Quadrant dan Futuremark pada Redmi 3G dan tidak menggunakan markah yang diterima pada ujian Julai lalu. Sungguhpun Redmi 4G mencatatkan markah yang lebih rendah berbanding Redmi 3G, kami tidak menyedari sebarang perbezaan kelancaran di antara dua peranti ini. Jika peranti digunakan secara sebelah menyebelah kami yakin ramai tidak dapat membezakan Redmi 4G dengan Redmi 3G. Kedua-duanya masih berfungsi dengan lancar, saman pantas dan tanpa sebarang masalah besar. Satu-satunya masalah yang kami hadapi ialah aplikasi Twitter yang kerap tertutup dengan sendiri. Tetapi selepas kemasan terkini dilakukan pada aplikasi ini masalah ini tidak lagi berlaku. Peranti juga tidak menjadi panas sungguhpun kami merakan video time lapse selama 30 minit di atas. Secara keseluruhan peranti ini tidak memeningkan kepala. Ketahanan bateri Xiaomi Redmi Note 4G adalah berpadanan dengan versi 3G. Pada penggunaan berat ia mampu bertahan selama 8 jam 49 minit. Versi 3G mampu bertahan selama 8 Jam 10 minit. Umum diketahui rangkaian 4G menggunakan bateri yang lebih tinggi berbanding 3G dan pada hemat kami hayat bateri hampir 9 jam adalah baik. Jika kami menetapkan peranti ini untuk hanya kekal kepada rangkaian 3G hayat bateri pastinya lebih lama. Pada penggunaan ringan peranti ini mampu bertahan hampir 24 jam. Hayat bateri adalah baik namun masih belum mampu mengalahkan ketahanan Sony Xperia Z3.

 
Leave a comment

Posted by on November 25, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s