RSS

HTC One M9 – Kamera Belakang 20-MP, Sense 7, HTC Themes, BoomSound Dolby, Snapdragon 810

30 Nov

HTC merupakan salah satu pengeluar peranti dari Taiwan yang sedia terkenal dengan kualiti binaan peranti mereka yang menarik. Hari ini, bersempena dengan Mobile World Congress, pihak HTC telah memperkenalkan telefon pintar terbaru daripada mereka, yang mana juga merupakan kemaskini kepada HTC One M8 tahun lepas, dinamakan sebagai HTC One M9. HTC One M9 menggunakan skrin bersiaz 5.0-inci HD penuh Super LCD 3 dan dilengkapi dengan resolusi 1080p. Disamping itu, peranti ini turut membawakan pelbagai kemaskini spesifikasi terkini, termasuk cip pemprosesan Octa Core 2.0Ghz Snapdragon 810, memori 3GB RAM, dan ruangan storan minima 32GB (turut mempunyai variasi 64GB untuk beberapa pasaran terpilih). Namun, daripada percubaan kami, walaupun ruangan storan yang ditawarkan melalui peranti adalah 32GB, ruangan storan yang aktif untuk boleh digunakan adalah hanya sekitar 14GB sahaja. Dari segi rekaan peranti, HTC One M9 membawakan rekaan ikonik HTC – sama seperti pada HTC One M8 sebelum ini, tetapi dengan beberapa perubahan kecil. Pada bahagian hadapan, HTC masih mengekalkan penggunaan speaker hadapan dikenali sebagai BoomSound – tetapi turut dilengkapi dengan teknologi Dolby untuk membawakan sokongan audio Surround Sound. Bahagian tepi peranti untuk One M9 agak kurang menarik berbanding dengan One M8 sebelum ini. Sela antara skrin dan bahagian kerangka belakang kali ini membawakan jarak yang agak ketara, dimana ia tidak condong seperti sebelumnya, sebaliknya hanya mendatar sekaligus membawakan bahagian tepi yang agak tajam sedikit. Namun, mungkin jika menggunakan kerangka luar tambahan, ia tidak begitu ketara berbanding penggunaan biasa. Pada bahagian tepi kanan peranti, kini HTC menyertakan butang kuasa, salah satu penambah-baikkan yang dinantikan ramai memandangkan butang kuasa pada bahagian atas sebelum ini agak sukar untuk dicapai dan digunakan. Pada bahagian atas, pihak HTC mengekalkan bar berwarna hitam yang mana turut menyertakan sokongan IR Blaster untuk mengawal televisyen dan beberapa peranti lain. Di belakang telefon HTC One M9 pula, kini HTC tidak lagi menyertakan sokongan Duo-Camera, sebaliknya menggantikan ia dengan penggunaan kamera belakang 20-megapixel. Bahagian belakang juga menggunakan pelindung kamera berbentuk segi-empat sama, sekaligus menjadikan pelbagai kerangka sedia ada untuk M8 di pasaran tidak dapat digunakan pada HTC One M9. Salah satu perubahan besar yang dilakukan oleh HTC pada One M9 adalah perubahan dari segi kamera. Pada HTC One M9, HTC menggunakan kamera belakang 20-megapixel BIS f/2.2 yang turut dilengkapi dengan sokongan dwi-LED Flash.

Pihak HTC turut mengatakan lensa untuk One M9 ini dilengkapi dengan kaca sapphire untuk menjadikannya lebih kukuh dan tidak mudah tercalar. Bahagian belakang tidak lagi menggunakan kamera HTC Ultrapixel, sebaliknya kini menggunakan kamera 20-megapixel, mungkin kerana ramai yang tidak begitu mengemarkan teknologi Ultrapixel, sebaliknya inginkan sensor yang lebih besar sahaja ketika membeli peranti. Pihak HTC mengatakan dulu ia agak sukar untuk mencapai kualiti yang diinginkan mereka, tetapi dengan kamera 20-megapixel ini mereka berjaya mencapai apa yang diinginkan. Untuk kamera hadapan pula, HTC One M9 menggunakan kamera hadapan HTC Ultrapixel, salah satu kamera terbaik untuk rakaman gambar hadapan, malah turut merakamkan gambar dengan baik pada keadaan cahaya rendah. Percubaan kami untuk kamera belakang membawakan hasil yang agak mendukacitakan berbanding dengan HTC One M8 sedia ada. Pada rakaman gambar dalam keadaan cerah, HTC One M9 membawakan rakaman yang cantik, malah penambahan HDR menjadikan gambar sesuatu pemandangan tersebut amat menarik. Namun, pada keadaan cahaya gelap – terutamanya ketika malam, gambar yang dirakamkan membawakan keadaan noise yang tinggi jikalau berbanding dengan penggunaan kamera HTC Ultrapixel pada M8 sebelum ini. Perkara ini mungkin sesuatu yang dijangka memandangkan ia hanya menggunakan sensor biasa sahaja. HTC turut melengkapkan beberapa mod rakaman khusus pada HTC One M9 ini, termasuk untuk Selfie, rakaman panorama, membuat photobooth dan sebagainya. Pihak HTC mengatakan kelak sebelum memasarkan ia kepada umum, mereka akan menambah kemaskini pada aplikasi kamera, yang membolehkan pengguna memuat-turun pelbagai mod tambahan dengan mudah. Salah satu mod rakaman baru yang bakal disertakan pada HTC One M9 melalui kemaskini ini adalah sokongan rakaman gambar RAW – yang mana semestinya menjadikan peranti ini salah satu telefon pintar kegemaran bagi mereka yang terlibat dalam arena fotografi. HTC One M9 masih mengekalkan penggunaan BoomSound pada bahagian hadapan. Tetapi pada kali ini, mereka turut bekerjasama dengan pihak Dolby dalam mengintegrasikan sokongan 5.1 channel Dolby® Surround, sekaligus membawakan kualiti bunyi yang baik, disamping menggunakan kelebihan speaker kiri dan kanan apabila digunakan secara mendatar untuk menonton video. HTC turut mengatakan mereka turut mengintegrasikan ia dengan sokongan teknologi Qualcomm® Immersive Audio dalam menawarkan kualiti audio yang baik.

Bersama-sama dengan HTC One M9 didalam kotak adalah sebuah earfon yang membawakan rekaan menarik dengan logo HTC, dan turut mengambil kelebihan teknologi audio yang dibawakan oleh HTC. Selain daripada hanya kemaskini pada bahagian luaran dan spesifikasi, pihak HTC turut menambah-baik penawaran antaramuka khusus mereka pada Android yang dikenali dengan nama HTC Sense 7. HTC Sense pada HTC One M9 membawakan beberapa perubahan dan penambahan baru dalam usaha menjadikan penganalamn penggunaan yang lebih mudah, selain mencadangkan sesuatu perkara dengan lebih pintar berbanding sebelumnya. Pada Blinkfeed di Sense 7, pihak HTC telah menambah sebuah fungsi baru yang dinamakan sebagai MealTimes. Melalui fungsi ini, ia menggunakan data daripada beberapa perkhidmatan seperti Yelp, FourSquare, Dianping dan sebagainya dalam menggunakan lokasi dan masa untuk mencadangkan anda tempat makan yang berhampiran. Selain daripada MealTimes, pihak HTC turut menyertakan satu lagi penambahan baru pada Blinkfeed dinamakan sebagai Morning Bundle. Melaluinya, pengguna akan dipaparkan dengan ringkasan berita menarik yang berlaku ketika anda sedang tidur, dan bahan bacaan menarik untuk anda setiap pagi. Seperti biasa, kedua-duanya boleh dikawal dan dimatikan oleh pengguna. HTC Blinkfeed juga kini menggunakan kelebihan Android 5.0 Lollipop, dan memaparkan notifikasi dan kemaskini terus pada lockscreen untuk kedua-dua MonringBundle dan juga MealTimes ini. Anda kemudian boleh tap pada notifikasi yang dipaparkan dan melihat lebih banyak info berkenaan lokasi yang dicadangkan termasuk dari segi ulasan pengguna dan makana yang ditawarkan. HTC Sense 7 juga kini turut menyertakan sokongan Themes, membolehkan pengguna untuk mengubah tema dan antaramuka pada telefon pintar HTC berdasarkan kepada kegemaran mereka. Sejumlah tema telah disediakan pada pelancaran yang boleh pengguna muat-turun dan menggunakannya. Disamping itu, pengguna juga turut boleh membuat tema sendiri menggunakan gambar pada galeri, dimana HTC menggunakan pengenalan automatik untuk mencadangkan anda warna tema berdasarkan kepada gambar yang dipilih, termasuk dari segi penggunaan ikon. Melalui Themes pada HTC Sense 7 ini, pengguna boleh mengubah gambar latar, ikon, bunyi, dan juga penggunaan jenis tulisan. Perkara ini memudahkan lagi pengguna untuk menjadikan sesuatu peranti itu lebih peribadi berbanding penggunaan tema daripada pihak ketiga seperti sebelumnya. Ini juga memastikan anda boleh terlindung daripada memuat-turun tema-tema berbantuk adware yang terdapat di arena web hari ini.

HTC mengatakan pengguna turut boleh menerbitkan tema mereka di Themes Store, sekaligus membolehkan pengguna lain memuat-turunnya. Sokongan untuk menerbitkan tema secara percuma sahaja disokong pada hari ini, tetapi HTC akan menambah sokongan tema berbayar sekaligus membolehkan lebih ramai menjana wang melaluinya pada masa akan datang. Satu lagi penambahan baru yang menarik bagi kami di HTC Sense 7 adalah keupayaan untuk mengawal butang navigasi melalui perisian. Kini, anda boleh menyusun butang navigasi pada bahagian bawah HTC One M9 (Back, Home, Recent) mengikut kegemaran dan kemudahan anda. Disamping itu, anda juga turut boleh menambah satu lagi butang navigasi baru pada bahagian bawah daripada beberapa pilihan yang disediakan oleh HTC – termasuk untuk mematikan skrin, mengakses notifikasi, auto-rotate, dan untuk menyembunyikan bar navigasi. HTC Sense 7 masih mengekalkan penggunaan Motion Sensor yang membolehkan pengguna membuat sejumlah perkara dengan mudah. Melalui fungsi ini, salah satu perkara yang diminati saya secara peribadi adalah kebolehan untuk mengaktifkan skrin dengan dwi-tap pada skrin tanpa perlu untuk tekan butang fizikal pada bahagian tepi peranti. Untuk aplikasi Help pada HTC Sense 7, ia turut telah dikemaskini dan memudahkan pengguna membuat troubleshooting untuk sesuatu telefon dengan mudah. Ini membolehkan anda mengenal-pasti sesuatu masalah pada telefon dengan pantas tanpa perlu menunggu maklumbalas daripada kedai telefon dan sebagainya. Anda turut boleh membuat pembaik-pulihan automatik untuk beberapa masalah kecil, sekaligus menjimatkan masa dan wang anda. HTC juga pada HTC Sense 7 mengintegrasikan sebuah fungsi galeri baru dinamakan sebagai One Gallery. Menggunakannya, pengguna boleh memuat-turun gambar dalam bentuk thumbnail daripada perkhidmatan seperti Flickr, Facebook dan beberapa yang lain untuk disimpan pada telefon anda. Gambar penuh akan dimuat-turun apabila anda membuka sesuatu thumbnail dan membolehkan anda melihatnya pada resolusi tinggi. Fungsi ini memudahkan anda menyimpan sejumlah gambar pada telefon pintar anda dan mengaksesnya apabila diperlukan. HTC mengatakan One Gallery tidak akan menyokong muat-naik gambar buat masa ini, memandangkan ia akan membuatkan beberapa gambar anda dimuat-naik dua kali – terutamanya jika anda mempunyai aplikasi seperti Facebook, Dropbox dan lain-lain yang diaktifkan sokongan sync. Pada bahagian widget pula, pihak HTC menambah sebuah fungsi baru yang memaparkan aplikasi yang sering digunakan anda mengikut lokasi dan masa.

Sebagai contoh, sekiranya di rumah, ia akan memaparkan aplikasi yang banyak diakses anda – mungkin seperti YouTube, Chrome dan sebagainya, sebaliknya apabila di lokasi kerja, ia akan memaparkan anda aplikasi yang sering digunakan anda ketika itu – mungkin seperti Evernote dan sebagainya. Widget ini berfungsi secara pintar dan memaparkan anda dengan aplikasi berdasarkan kepada penggunaan harian anda. Selain itu, widget khusus ini juga menyertakan dua folder khusus – dinamakan sebagai Downloads dan Suggestions. Pada folder Downloads, anda boleh melihat pilihan aplikasi-aplikasi yang telah dimuat-turun anda dan disusun berdasarkan muat-turun terakhir. Pada widget Suggestions pula, ia memaparkan aplikasi menarik yang boleh dimuat-turun anda berdasarkan kepada kurasi daripada pihak HTC. Fungsi lain yang turut disertakan adalah termasuk rakaman video dalam bentuk 4K, membolehkan anda melihat masa panggilan yang dilakukan menggunakan telefon selular (berbanding hanya penggunaan data sebelum ini), kebolehan untuk memadam cache melalui sebuah aplikasi khusus, fungsi Power Saving Mode, dan pelbagai jenis kesan khas untuk ditambah pada gambar. Anda juga kini boleh mengawal notifikasi daripada sesuatu aplikasi sama ada ingin memperlihatkannya kepada anda ataupun tidak. HTC turut menambah sebuah aplikasi khusus daripada rakan kerjasama dinamakan sebagai Strolling yang mengesan beberapa perkara seperti langkah perjalanan yang dibuat dan sebagainya – membolehkan anda memantau aktiviti kecergasan kasual menggunakan telefon pintar ini. HTC One M9 ini akan hadir dalam tiga pilihan warna iaitu gabungan warna emas dan perak (seperti pada gambar ini), warna kelabu menyeluruh, dan juga warna emas menyeluruh. HTC One M9 yang turut dilengkapi dengan rangkaian LTE ini bakal dijual di pasaran global bermula pertengahan Mac 2015 ini. Sejumlah aksesori khusus untuknya turut disediakan oleh HTC, termasuk DotView Case 2 yang membawakan lebih banyak kawalan melalui DotView selain kerangka bahagian belakang lutsinar. Pihak HTC juga turut menyediakan HTC Active Case untuk telefon pintar ini yang hadir dengan sokongan perlindungan IP68 dan tahan jatuh sehingga 2meter tinggi. Harga jualan tempatan untuk HTC One M9 ini dijangka lebih kurang menyerupai HTC One M8.

 
Leave a comment

Posted by on November 30, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s