RSS

LG G3 Stylus

30 Nov

Di dalam video sembang lebat episod ke  ada saya katakan fungsi stylus pada peranti ialah antara fungsi yang paling jarang digunakan. Ini adalah kerana dalam penggunaan seharian stylus bukanlah aksesori tambahan yang digunakan majoriti pengguna. Jadi tidak mengejutkan apabila saya menemuramah pengguna peranti dengan stylus, majoriti mengaku mereka hanya menggunakan stylus hanya beberapa minggu selepas peranti dibeli. Selepas itu stylus yang disertakan mengumpul debu di tempat simpanannya. Jadi tidaklah mengejutkan majoriti peranti phablet yang anda lihat di pasaran sekarang tidak menyertakan stylus sebagai aksesori terbina. Sungguhpun begitu ia tidak menghalang LG dari menyertakan stylus untik LG G3 Stylus keluaran mereka. LG G3 stylus ialah phablet kelas pertengahan yang diperkasakan pemproses 1.3 GHz empat teras Mediatek MT6582, RAM 1 Gigabyte dan muatan dalam sebesar 8 Gigabyte. Penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD disokong sehingga 32 Gigabyte. Kemampuan optik ialah 13 Megapixel pada bahagian belakang dan 1.3 Megapixel pada bahagian hadapan. Kamera utama mampu mengambil video pada resolusi HD penuh. Stylus terbina dari jenis kapasitif diletakkan pada bahagian atas peranti. Ini adalah berbeza dengan Galaxy Note yang meletakkan stylus pada bahagian bawah. Rekaan LG G3 Stylus menyerupai sebuah LG G3. Perbezaannya ialah keseluruhan peranti diperbuat daripada plastik dan bukannya aluminium seperti G3. Butang kuasa serta suara diletakkan pada panel belakang. Kedudukan butang yang unik ini kami rasakan sangat mesra pengguna. Amat mudah sekali mengawal tahap bunyi peranti dan mengunci peranti dengan menggunakan jari telunjuk. Tidak teras canggung langsung menggunakan G3 Stylus sungguhpun ia sebuah phablet yang besar. Pada panel belakang yang sama terdapat sebuah pembesar suara mono. Bunyi yang dihasilkan adalah sangat lantas bagi sebuah peranti dengan hanya sebuah pembesar suara kecil. Jika anda banyak melakukan panggilan menggunakan pembesar suara, suara pemanggil dapat didengari dengan cukup terang. Akhir sekali jack fon kepala dan port pengecasan terletak pada bahagian bawah peranti. Peranti ini menggunakan butang navigasi sesentuh di atas skrin sepenuhnya.

Secara default butang home, back, multitasking dan mengubah SIM diletakkan pada sebaris pada bahagian bawah skrin. Keunikan peranti yang menggunakan antaramuka LG ialah butang navigasi ini boleh disusun mengikut kehendak dan butang yang tidak anda mahukan boleh dibuang sekiranya tidak diperlukan. Alangkah baik sekali jika kesemua peranti Android menggunakan sistem yang diperkenalkan oleh LG ini. Ia sangat mesra pengguna. Kembali semula kepada rekaan peranti. Keseluruhan tubuh G3 Stylus diperbuat daripada bahan plastik termasuklah butang suara dan kuasa. Panel belakang boleh dibuka bagi mendedahkan slot untuk dua SIM dan kad MikroSD. Kedua-dua slot SIM adalah untuk MikroSIM. Slot kedua SIM juga berfungsi sebagai slot MikroSD. Ini sama seperti yang kami lihat pada Lenovo Vibe X2 tempohari. Peranti adalah sedikit tebal dan lebar, Sungguhpun begitu memagang peranti ini dengan sebelah tangan masih lagi selesa kerana permukaan panel belakang yang melengkung. Secara keseluruhan peranti ini kelihatan penarik dan mempunyai kualiti binaan yang baik. Dengan antaramuka G UI, LG menekankan rekaan minimalis seakan-akan Android Lollipop. Peranti ni masih lagi menggunakan Android Kit Kat. Kesemua ikon dan elemen antaramuka sama seperti yang dilihat pada LG G3 sebelum ini. Seperti yang kami katakan di atas peranti ini diperkasakan oleh pemproses Mediatek yang tidak terkenal dengan kemampuan yang tinggi. Sungguhpun begitu menggunakan G3 Stylus dengan G UI adalah sangat lancar. Ianya sangat lancar sehingga kami sukar untuk percaya G3 Stylus diperkasakan pemproses Mediatek. Hanya setelah memeriksa spesifikasi peranti menggunakan aplikasi CPU-Z baru kami percaya memang peranti ini menggunakan pemproses yang kini boleh dikelaskan sebagai kelas bawahan. Pemproses Mediatek 6582 yang digunakan pada G3 Stylus adalah pemproses yang sama digunakan pada Huawei Honor 3C Lite. Pada peranti Huawei masalah sela masa yang nyata dapat dilihat. Spesifikasi kedua-dua peranti adalah serupa tetapi masalah yang sama tidak berlaku pada G3 Stylus. Nampaknya LG lebih bijak mengoptimasikan peranti berbanding Huawei. G UI menyokong beberapa fungsi khas hanya untuk peranti LG sepertio Knock Code dan kustomasi butang navigasi.

Dengan Knock Code peranti hanya boleh dinyahkunci dengan menekan skrin dengan kombinasi yang betul. Menurut LG Knock Code lebih selamat berbanding cara mengunci peranti lain kerana ia mempunyai 83 000 kombinasi. Kustomasi butang navigasi pula memberikan pengguna menyusun sendiri aturan dan jumlah butang navigasi pada bahagian bawah skrin. Seperti kami katakan pada awal ulasan pada awalnya LG meletakkan 4 buah butang. Mengubah jumlah butang dan urutan butang adalah semudah melakukan drag and drop. Mahukan butang home pada bahagian kanan dan butang multi tasking di bahagian tengah? Tarik ikon kedua-dua butang ini dan susun mengikut kehendak anda. Fungsi multi window turut disertakan. Untuk mengaktifkan multi window hanya tekan butang back untuk beberapa saat dan menu seperti di sebelah kiri akan terpapar pada skrin. Pilih aplikasi mana yang ingin anda paparkan secara serentak. Selepas kedua-dua aplikasi dipilih anda boleh mengubah saiz tetingkap multi window dengan menarik tab biru yang disediakan. Secara peribadi kami rasakan cara fungsi multi window G UI adalah lebih mudah digunakan berbanding multi window Samsung Galaxy Note. Stylus terbina dari keluarga kapasitif disertakan untuk peranti ini. Tubuh stylus diperbuat daripada logam dan berbentuk silinder. Ianya lebih kecil berbanding stylus Galaxy Note. Tidak seperti stylus Galaxy Note, stylus untuk phablet ini tidak mempunyai sebarang butang kawalan. Apabila ianya ditanggalkan dari tempat simpanan, tiada aplikasi khas akan dibuka secara automatik. Kerana ianya hanya sebuah stylus kapasitif, tahap kejituan ketika menggunakannya adalah tidak sebaik stylus Wacom yang digunakan Samsung. Kerap kali apa yang dilakar tidak muncul pada skrin kerana kami tidak meletakkan tekanan yang cukup pada mata stylus. Selepas bertahun menggunakan stylus Wacom pada phablet Samsung, menggunakan stylus G3 Stlylus adalah sangat mengecewakan. Aplikasi lakaran yang disertakan oleh LG mempunyai pelbagai pilihan melakar yang menarik tetapi kerana stylus yang digunakan tidak berapa jitu ianya menjadi tidak bermakna. Dari segi kejituan dan kemampuan stylus, peranti keluarga Samsung Galaxy Note masih lagi yang terbaik di pasaran. Kemudahan menggunakan stylus peranti Samsung berbanding peranti ini adalah seperti langit dan bumi.

Sekiranya anda mahu menggunakan stylus dengan kerap, stylus G3 Stylus hanya akan menimbulkan kemarahan kerana tidak cukup responsif. Kamera 13 Megapixel digunakan pada peranti ni sebagai kamera utama. Kamera hadapan pula hanya 1.3 Megapixel. Ia boleh mengambil video pada resolusi HD Penuh. Gambar yang diambil pada resolusi 13 Megapixel adalah pada nisbah 4:3. Ini mungkin sedikit mengecewakan. Jika anda ingin mengambil gambar pada nisbah 16:9 resolusi harus diturunkan ke 10 Megapixel. Antaramuka aplikasi kamera adalah mudah difahami dan digunakan. Fungsi unik yang disertakan ialah mengawal pengambilan gambar menggunakan fungsi suara.  Terdapat beberapa pratatepan frasa yang mengaktifkan fungsi kawalan suara seperti di dalam grafik di bawah. Terdapat juga fungsi mengambil gambar selfie dengan menggunakan isyarat tangan. Apabila fungsi diaktifkan gerakan tangan akan memulakan kiraan masa sebelum gambar diambil. Anda tidak perlu menekan butang pengatup kamera untuk mengambil foto selfie. Untuk perkongsian di media sosial kami rasakan kualiti gambar yang diambil adalah memuaskan. Penghasilan warna mungkin tidak berapa tepat. Gambar sedikit kelam dan tidak berapa tajam. Kesemua peranti yang menggunakan kamera 13 Megapixel (Redmi Note 4G contohnya) mempunyai masalah penghasilan warna yang agak gelap seperti G3 Stylus. Pada keadaan pencahayaan yang sempurna kualiti gambar yang diambil adalah baik. Tetapi apabila di dalam keadaan yang agak gelap masalah noise yang ketara mula kelihatan. Kualiti video adalah sederhana sungguhpun pada resolusi HD Penuh. Ketiadaan fungsi OIS membuatkan video bergegar apabila pergerakan dilakukan. Apabila ujian penanda aras dilakukan, markah yang berjaya dicatatkan adalah sedikit rendah jika dibandingkan dengan Huawei Honor 3C Lite yang menggunakan pemproses Mediatek 6582 yang sama. Sungguhpun begitu tidak seperti Honor 3C Lite, peranti ini berfungsi dengan cukup lancar dan pantas. Kami tidak menyedari sebarang masalah sela masa sepanjang tempoh ujian. Ini adalah mengejutkan bagi sebuah peranti Mediatek. Kesemua peranti Mediatek yang kami ulas dan cuba sebelum ini memaparkan masalah sela masa yang kronik. Jika dibandingkan dengan peranti phablet Galaxy Note 4 dan Redmi Note 4G jelas kelihatan G3 Stylus bukan di dalam kelas yang sama. Memang jauh ketinggalan dari segi kemampuan memproses. Bateri G3 Stylus ialah sebesar 3000 mAh. Ini adalah setanding dengan saiz bateri Note Edge. Hayat bateri peranti ini ialah sekitar 14 jam pada penggunaan sederhana dan 8 jam pada penggunaan berat. Ini adalah hayat bateri yang sederhana bagi sebuah phablet.

 
Leave a comment

Posted by on November 30, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s