RSS

Samsung Galaxy S6 Edge

30 Nov

Samsung Galaxy S6 Edge ialah variasi kepada S6 dengan dua skrin sisi. Tiada perbezaan dari segi spesifikasi dan bahan binaan di antara kedua-dua peranti ini. Ia masih diperkasakan pemproses Exynos lapan teras (2.1 GHz + 1.5 GHz) , RAM 3 Gigabyte dan muatan dalaman 32/64/128 Gigabyte. RAM dan juga muatan yang digunakan kali ini adalah dari generasi terkini yang menurut Samsung 80% lebih pantas dari generasi sebelumnya. Skrin masih lagi bersaiz 5.1″ SAMOLED dengan resolusi QHD. Dua skrin melengkung pada sisi peranti adalah lebih kecil berbanding dengan yang wujud pada Note Edge. Pada S6 Edge masih ada sisi aluminium yang membentuk kerangka utama. Jika dibandingkan dengan S6, pada pendapat kami S6 Edge adalah peranti yang kelihatan lebih menarik. Ianya juga lebih selesa dipegang. Bahan binaan berkaca pada bahagian belakang dan hadapan nampak cukup cantik dan warna yang dipantulkan berubah-rubah mengikut sudut pandangan. Sungguhpun begitu panel kacak Gorilla Glass 4 yang digunakan terlalu mudah menjadi kotor. Ini adalah masalah yang turut kami sedari ketika menggunakan Xperia Z3. Ia mungkin bahan binaan yang cantik dan sedap dipegang tetapi terlalu mudah menjadi kotor. Kamera utama adalah sebesar 16 Megapixel manakala kamera hadapan pula ialah sebesar 5 Megapixel. Lensa F 1.9 digunakan pada kedua-dua kamera bagi memberikan prestasi yang lebih baik di dalam keadaan pencahayaan yang kurang baik. Ketika majlis pelancaran Samsung memperlihatkan perbezaan gambar yang diambil dalam gelap oleh S6 Edge berbanding iPhone 6 Plus. Gambar dari peranti Samsung ini jelas kelihatan lebih jelas dan dengan masalah noise yang lebih rendah. Kembali semula kepada rekaan dwi skrin sisi. Ianya digunakan bagi membolehkan  pengguna kidal menggunakan peranti ini. Komen yang paling kerap didengari dengan Note Edge ialah ianya direka untuk pengguna tangan kanan. Saiz skrin sisinya juga lebih kecil berbanding pada Note Edge. Kami rasakan rekaan S6 Edge adalah lebih baik kerana masih terdapat bahan binaan besi pada skrin sisinya. Luas permukaan skrin yang lebih kecil pada sisi mengurangkan risiko ianya akan pecah apabila peranti terjatuh secara sisi. Cangkerang rasmi S6 Edge menutupi bahagian berkaca peranti bagi memberikan perlindungan tambahan. Selain dari skrin yang melengkung apakah lagi perbezaan di antara S6 dan S6 Edge? Pertama sekali slot untuk SIM Nano diletakkan pada bahagian atas dan bukannya pada sisi kanan.

Kapasiti bateri juga ditingkatkan kepada 2600 mAh berbanding 2550 mAh pada S6. Dari reaksi yang kami lihat semalam ramai yang merungut kapasiti bateri ini adalah terlalu kecil. Pada Galaxy S5 bateri 2800 mAh digunakan. Menurut Samsung cip pemproses Exynos 7420 yang digunakan mungkin lebih berkuasa berbanding versi terdahulu tetapi lebih mejimatkan kuasa. Berdasarkan ini Samsung merasakan penggunaan bateri yang lebih kecil pada S6 Edge tidak akan memendekkan hayat penggunaan telefon pintar ini. Secara peribadi kami rasakan penggunaan bateri lebih besar adalah jauh lebih baik kerana di akhir hari pengguna masih mahu melihat spesifikasi lebih tinggi berbanding model terdahulu. Apakah perubahan yang dilakukan pada antaramuka? Sekilas pandang tiada perbezaan boleh dilihat. Rekaan ikon dan elemen antaramuka masih kelihatan serupa. Tetapi perbezaan hanya boleh disedari apabila memasuki aplikasi tertentu. Sebagai contoh apabila membuka aplikasi telefon terdapat animasi seperti yang dilihat pada Android Lollipop stock. Animasi yang sama juga dilihat apabila membuka talam aplikasi, talam notifikasi dan skrin tetapan. Sepanjang tempoh penggunaan kami sedari animasi berjalan dengan cukup lancar sekali dan masalah sela masa yang sangat sinonim dengan TouchWiz tidak lagi kelihatan. Samsung menepati janji mereka untuk memperbaiki TouchWiz yang memang cukup bermasalah. Terdapat juga fungsi kustomasi tema yang lebih mantap kali ini. Pada A5 kami ada merungut hanya dibenarkan memilih empat tema sahaja. Pada S6 Edge kini terdapat pilihan memuat turun tema baru dari theme store. Seperkara lagi anda boleh mematikan deringan telefon secara automatik dengan hanya menyentuh pengesan nadi pada bahagian belakang peranti. Panggilan akan dimatikan dan secara automatik sebuah SMS akan dihantar kepada pemanggil untuk memberitahu anda sedang sibuk. Mesej yang dihantar boleh ditetapkan sendiri oleh pengguna. Kamera kini boleh dilancarkan secara automatik dengan menekan butang home sebanyak dua kali. Bercakap tentang kamera, S6 Edge mempunyai kamera 16 Megapixel (F 1.9) dengan kemampuan focus tracking. Ia boleh mengesan objek yang ingin diambil dan kemudian melakukan pemfokusan aktif pada subjek sepanjang masa. Fungsi kamera lain yang diperlihatkan ialah Virtual Shot yang membolehkan anda mengambil gambar 360 darjah sesebuah objek secara berpusing.

Selepas gambar diambil ia boleh diputarkan ke depan dan ke belakang dengan memiringkan peranti. Fungsi Selective Shot, Panorama, gerak perlahan dan Pro turut disertakan. Dengan fungsi Pro anda boleh mengawal parameter kamera secara manual. Terdapat juga fungsi Auto HDR yang secara automatik mengambil gambar HDR apabila perlu. Sebelum ini anda harus mengaktifkan HDR terlebih dahulu sebelum gambar diambil.Antaramula juga diubah dan kelihatan seperti Sense 6. Pratetapan uang disertakan juga berkurangan berbanding peranti Samsung sebelum ini. Sebagai contoh tiada lagi fungsi Rear Cam Selfie. Di sini ada beberapa penambahbaikan dan beberapa pengurangan dilakukan Samsung. Butang-butang kawalan kamera diletakkan kembali pada skrin utama tidak seperti pada Note Edge dimana butang kawalan diletakkan pada skrin sisi. Ini sedikit mengecewakan kerana butang kawalan yang diletakkan pada skrin sisi nampak lebih kemas. Paparan viewfinder juga lebih bersih pada Note Edge. People Edge ialah pintasan pantas yang diletakkan pada skrin sisi. Terdapat ruang untuk meletakkan pintasan untuk 5 individu yang paling penting di dalam hidup anda. Setiap individu ini kemudian boleh diberikan kod warna tertentu oleh anda. Apabila panggilan diterima dari individu-individu ini, skrin peranti akan menyala mengikut warna yang telah anda tetapkan. Oleh itu anda boleh mengetahui siapa yang melakukan panggilan tanpa perlu melihat skrin peranti. People Edge boleh diletakkan pada sisi kanan ataupun kiri mengikut keperluan pengguna. Ini semestinya jawapan kepada masalah skrin sisi Note Edge yang tidak mesra pengguna kidal. Sekiranya anda menerima SMS ataupun terlepas panggilan dari kelima-lima individu ini sebuah tab kecil akan muncul pada skrin sisi. Ia seakan-akan nota Post-It yang anda letakkan pada tepi buku teks ketika menelaah untuk peperiksaan. Tarik tab berwarna ini dan anda boleh melihat berapa banyak mesej dan panggilan diterima dari individu tersebut. Soalan paling kerap diterima sejak S6 Edge dilancarkan ialah apakah perbezaannya jika dibandingkan dengan Galaxy Note Edge yang baru sahaja memasuki pasaran Malaysia. Perbezaan pertama ialah saiz skrin sisi yang lebih kecil. Pada Note Edge skrin mengambil 80% permukaan sisi peranti. Pada S6 Edge ia berkurangan kepada lebih kurang 50 peratus. Terdapat ruang yang cukup pada sisi S6 Edge untuk meletakkan butang kuasa pada sebelah kanan dan butang suara pada sebelah kiri.

Kami lebih gemarkan rekaan skrin sisi S6 Edge kerana ianya tidak terlalu terdedah sekiranya peranti terjatuh secara sisi. Cangkerang khusus yang dihasilkan untuk peranti ini juga menutupi skrin sisi dengan lebih baik sekaligus memberikan ia perlindungan dari kerosakan. Pada Note Edge cangkerang rasmi langsung tidak menutup skrin yang terdedah. Cangkerang S6 memberikan ruang yang kecil bagi membolehkan lampu notifikasi People Edge dilihat sungguhpun dalam posisi tertutup. Perbezaan paling drastik ialah 80% fungsi yang diperlihatkan pada Note Edge kini tidak lagi wujud pada S6 Edge.  Kesemua pintasan pantas yang dahulunya diletakkan pada skrin sisi diletakkan semula pada bahagian bawah skrin utama. Pintasan pantas untuk pembaris, perakam suara, jam randik dan lampu suluh juga tiada. Kustomasi untuk melakukan penukaran aplikasi dengan pantas pada skrin sisi juga dihentikan. Skrin sisi kini hanya digunakan untuk People Edge, notifikasi berita terkini dan laporan cuaca. Jadi adakah ini perkara baik ataupun buruk? Di atas kertas pengurangan fungsi yang dahulunya wujud pada Note Edge mungkin kelihatan seperti sesuatu yang negatif. Tetapi secara praktikalnya ianya tidak mendatangkan kesan yang buruk. Secara peribadi pelbagai fungsi tambahan yang diperkenalkan pada skrin sisi Note Edge tidak akan anda gunakan. Kami sendiri hanya menggunakan skrin sisi Note Edge kami untuk pintasan pantas untuk melakukan panggilan kepada 4 individu kegemaran kami. Ini sama seperti fungsi People Edge yang kini wujud pada S6 Edge. Pengurangan fungsi kali ini sebenarnya mengurangkan fungsi yang tidak diperlukan dan hanya sebuah gimik. Apa yang dilakukan oleh Samsung pada S6 Edge (dan S6) untuk mengurangkan fungsi yang tidak diperlukan membuatkan peranti lebih lancar digunakan dan mengurangkan penggunaan RAM. Kami yakin pengguna lebih mementingkan kelancaran penggunaan peranti dari pelbagai fungsi baru yang tidak akan digunakan dalam kehidupan seharian.

 
Leave a comment

Posted by on November 30, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s