RSS

Ada Apa Dengan USB-C ?

15 Dec

USB-C ataupun USB type C ialah perkataan yang sering kita dengari sejak pengumuman komputer riba Macbook 2015 isnin yang lalu. Ianya menjadi bualan kerana ia satu-satunya port yang digunakan komputer riba terkini dari Apple. Semalam giliran Google pula memperlihatkan Chromebook Pixel terkini mereka dengan 2 port USB-C. Mereka juga turut menyatakan peranti Android di masa hadapan akan mula menggunakan rekabentuk terkini USB ini. Anda mungkin tertanya-tanya mengapa tiba-tiba format baru diperlukan? Apakah kebaikannya kepada pengguna dan kemampuannya berbanding USB type A yang digunakan sekarang? Universal Serial Bus ialah port yang dicipta pada tahun 1995 atas usaha sama Compaq, DEC, IBM, Intel, Microsoft, NEC dan Nortel. Ianya dicipta bagi menyeragamkan port yang digunakan oleh pelbagai peranti yang disambungkan kepada komputer anda. Sekiranya anda pernah menggunakan komputer sebelum milenium, anda pasti ingat papan kekunci menggunakan kabel PS/2, pencetak menggunakan kabel IEEE dan modem menggunakan kabel Serial. Penggunaan pelbagai kabel berlainan untuk penyambungan peranti berbeza adalah melecehkan. Dengan penggunaan penyambungan USB kesemua peranti berkongsi kabel yang sama. Jika ada kabel yang rosak, kabel peranti lain yang tidak digunakan boleh menggantikan kabel yang rosak. Penggunaan port USB hanya meletus pada tahun 1998 apabila semakin banyak motherboard mula meletakkannya sebagai standard. Sebelum itu jika anda mahukan port USB pada komputer, anda perlu membeli kad tambahan (daughter board) yang disambungkan kepada slot PCI komputer. Penggunaan USB kini sudah menyeluruh dan dianggarkan terdapat 6 billion peranti di dunia mempunyai port USB dalam pelbagai bentuk dan versi. Tahun lalu sahaja 2 billion peranti dengan port USB dijual di dunia. Apa yang anda lihat di bawah ialah beberapa rekaan kepala USB yang ada sekarang. Rekaan Type A dan Mikro Type B adalah yang paling kerap kita lihat. Ini bermakna selama 20 tahun berjuta-juta pengguna USB sudah merana dengan rekaan Type A yang hanya boleh dimasukkan pada satu orientasi sahaja. Atas sebab ini jugalah kepala USB-C dicipta kerana ia tidak mempunyai orientasi khas untuk disambungkan. Walaupun “terbalik” ia masih boleh disambungkan tanpa sebarang masalah. Sejak 20 tahun kewujudannya, empat versi USB digunakan dengan versi 3.1 diperkenalkan dua tahun yang lalu.

Penambahan kepantasan pemindahan data dapat dilihat dengan jelas. Dengan versi 3.1 anda boleh memindahkan sebuah filem 1080P YIFY ke dalam cakera keras mudah alih dalam masa kurang dua saat. Kebanyakan pemacu ibu jari yang ada di pasaran pula masih lagi menggunakan versi 2.0. Kadar pemindahan data maksimum ialah sekitar 480 Mbps/60 MBps. Oleh sebab itulah apabila memindahkan filem 720P YIFY sekalipun mengambil masa yang agak lama. Selain memastikan kabel yang lebih mudah dipasang, USB-C berkemampuan melakukan pemindahan data yang lebih pantas kerana menggunakan versi USB 3.1. Saiznya yang kecil pula memastikan peranti pintar yang akan memasuki pasaran di masa akan datang boleh direka untuk menjadi semakin nipis. USB-C juga boleh digunakan sebagai pengganti jack fon kepala anda. Jadi masalah ketiadaan jack fon kepala kerana peranti terlalu nipis seperti yang berlaku kepada Oppo R5  akan dilupuskan. Ini juga bermakna di masa hadapan fon kepala gaming anda yang kini menggunakan kepala USB-A boleh digunakan pada peranti pintar dengan menggunakan penyesuai ke USB-C. Penggunaan USB-C oleh Apple dan Google pada dua komputer riba terkini mereka juga menunjukkan kini ada usaha untuk menjadikan USB-C sebagai kepala pilihan untuk pengecas universal kesemua peranti. Pada tahun 2014, Kesatuan Eropah mengarahkan kesemua pengeluar peranti pintar untuk menggunakan pengecas yang menggunakan kepala yang sama menjelang 2016. Apple Macbook sudahpun menggunakan USB-C sebagai pengecas menggantikan sistem MagSafe. Jangan terkejut jika tahun ini pengeluar komputer riba yang lain akan turut menggantikan port pengecas mereka kepada USB-C kelak. Bayangkan dunia di mana tablet, telefon pintar, power bank dan komputer riba kesemuanya dicas menggunakan pengecas yang sama. Rakan anda yang menggunakan peranti iPhone tidak perlu risau lagi anda tidak mempunyai kabel Lightning untuk mengecas peranti Apple mereka. Tidak perlu lagi membawa pengecas komputer riba yang besar di dalam beg. Di dalam Lord of The Ring ada “sebentuk cincin yang memerintah kesemuanya”. Dengan USB-C kita bakal mempunyai “sebuah pengecas yang mengecas kesemuanya”.  Pendek kata pengenalan pengecas universal untuk kesemua peranti milik anda di masa hadapan impaknya sama seperti pengenalan USB sebagai pengganti kabel berlainan kepala untuk peranti komputer pada tahun 1995.

Mengapa ini boleh dilakukan? Ini adalah kerana USB-C mampu membekalkan kuasa sehingga 100 watts berbanding hanya 4.5 watts yang dibekalkan USB-A. Penggunaan hanya satu port USB-C pada Macbook 2015 mengejutkan pengguna Apple kerana tiada lagi sokongan untuk Thunderbolt. Mengapa teknologi yang dibangunkan oleh Apple (dengan kerjasama Intel)  sendiri tidak disertakan pada MacBook terkini mereka? Thunderbolt sebenarnya lebih pantas berbanding USB 3.1 dengan kadar pemindahan data mencecah 20 Gbps/ 2.5 GBps. Teori popular setakat ini ialah Macbook 2015 bukanlah sebuah komputer riba yang akan digunakan profesional untuk tugasan berat. Ia tidak mempunyai kad grafik ataupun pemproses yang berkuasa (hanya Intel Core M). Pemindahan data pada kadar yang tinggi untuk fail video 4K yang besar contohnya hanya diperlukan untuk pengguna Macbook Pro. Oleh sebab itu tiada sebab untuk meletakkan Thunderbolt pada Macbook 2015. Lightning adalah kepala kabel pertama yang membenarkan penyambung dari dua arah sebelum USB-C. Sungguhpun begitu ia masih lagi menggunakan protokol USB 2.0. Ya pembaca sekalian jangan terpedaya dengan nama gah yang diberikan Apple. Kelajuan pemindahan data kabel mahal Lighthing adalah setanding kabel murahan USB 2.0 yang anda gunakan untuk peranti Android! Seperti biasa apabila rekaan baru diperkenalkan ia akan mengambil masa sebelum digunakan secara menyeluruh. Port pengecasan MikroUSB yang anda lihat sekarang dipilih sebagai standard pada tahun 2009. Tetapi ianya hanya digunakan oleh kesemua pengeluar peranti (kecuali Apple) pada tahun 2011. Tambahan lagi rekaan port USB-A pada komputer sekarang sudah digunakan selama 20 tahun dan untuk memaksa pengguna mengubah kepada rekaan baru akan mengambil masa. Kami sendiri mungkin hanya akan menggunakan PC dengan port USB-C apabila membeli komputer desktop baru dua tahun dari sekarang . Jangan risau. Rekaan kepada USB-C akan dikekalkan sebagai standard jika versi baru USB dihasilkan di masa hadapan. Sama seperti USB-A menjadi rekaan standard dari USB 1.0 hingga USB 3.0. Jadi untuk sekurang-kurangnya 10 tahun mendatang tidak akan berlaku perubahan rekaan pada peranti. Kesemua versi USB juga direka dengan kemampuan backward compatible. Kami tidak sabar melihat bagaimana dunia peranti pintar dan komputer riba akhirnya akan bergabung dalam masa yang terdekat ini. USB-C akan mengubah hidup kita semua kerana mengurangkan masalah membawa pelbagai kabel ketika melakukan tugasan di luar. Adakah anda kini teruja dengan penggunaan teknologi USB-C?

 
Leave a comment

Posted by on December 15, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s