RSS

Asus Zenboook UX305

17 Dec

Ultrabook diperkenalkan hampir empat tahun lalu bagi menggabungkan kepantasan sebuah tablet dan kemampuan melakukan kerja sebuah PC di dalam sebuah peranti kompak. Ultrabook dianggap sebagai jawapan Windows kepada MacBook Air dengan rekaan nipis dan bergaya. Antara Ultrabook yang mempunyai rekaan paling bergaya ialah keluarga Asus Zenbook. Apabila dipandang dari sisi, Zenbook mempunyai rekaan seperti keratan rentas sebuah sayap kapal terbang, Panel penutupnya pula mempunyai corak taman pasir Zen Jepun sesuai dengan nama yang diberi. Dengan Zenbook UX305 Ultrabook terkini Asus ini memasuki sebuah lagi era baru iaitu komputer riba dengan rekaan tanpa kipas. Ianya bersaing secara terus dengan MacBook 2015 yang baru sahaja dilancarkan beberapa bulan yang lalu. Di atas kertas kedua-dua komputer “ultra mudah alih” ini mempunyai spesifikasi yang hampir setanding dan diperkasakan oleh pemproses Intel Core M. Rekaan mereka juga terdapat banyak persamaan. Perbezaan paling ketara ialah harga UX305 yang hampir separuh dari harga jualan MacBook 2015. Yang manakah lebih berbaloi untuk dimiliki? Seperti yang dikatakan di pada perenggan awal, Zenbook UX305 mempunyai rekaan seakan-akan sebuah MacBook Air. Pepatah Inggeris ada berkata “meniru itu dalah contoh pujian yang paling ikhlas”. Memang rekaan MacBook Air menarik dan mencontohi rekaan Jony Ive adalah sesuatu yang dilakukan oleh hampir kesemua pengeluar. Panel penutup dan bawah UX305 diperbuat daripada logam. Panel penutup mempunyai corak bulatan konsentik yang berpusat pada logo Asus yang juga diperbuat daripada logam. UX305 dilengkapi skrin 13.3″ IPS LCD HD Penuh tanpa sokongan skrin sesentuh.

Ia diperkasakan pemproses Intel Core M 5Y71 1.2 GHz, RAM 4 Gigabyte dan pilihan muatan dalaman 128/256 Gigabyte SSD. Kad grafik pula adalah dari jenis terbina Intel HD Graphics 5300 Mobile. Kamera web 720P turut disertakan. Sistem audio pula adalah dari Bang and Olufsen yang diletakkan pada bahagian bawah komputer riba. Pada bahagian kanan terdapat jack fon kepala, mikro HDMI, 1 port USB 3.0 dan port pengecas. Pada sebelah kanan terdapat dua lagi port USB 3.0 dan pembaca kad SD. Apa yang menakjubkan tentang UX305 ialah kesemua komponen yang disenaraikan tadi dimasukkan ke dalam sebuah peranti bersaiz  324 x 226 x 12.3 mm. Komputer riba ini ialah komputer riba jenis clamshell  yang paling nipis pernah kami terima di makmal Amanz.Ini bermakna ianya lebih nipis berbanding sebuah MacBook 2015 yang juga menggunakan pemproses Intel Core M 5Y71. Kami menggunakan komputer riba ini selama dua minggu untuk melakukan tugasan harian. Dengan berat 1.2 Kilogram ianya adalah sebuah komputer riba yang amat ringan. Bahu tidak terasa seperti mahu tertanggal selepas membawanya di dalam beg sepanjang hari. Apa yang kami paling sukakan tentang UX305 ialah kepantasannya. Masa diambil untuk melakukan Boot lengkap tidak sampai 10 saat. Penggunaan cakera SSD memang dengan drastik mempercepatkan proses ini. Seperkara lagi yang kami suka tentang UX305 ialah bahagian penutupnya. Dengan mudah dapat dibuka dan ditutup sekaligus mempercepatkan proses menaip. Apabila penutup terbuka sepenuhnya, ia menaikkan bahagian belakang komputer bagi menambahkan ruang pengudaraan dan untuk keselesaan menaip. Paparan juga tajam dan mempunyai sudut pandangan yang jelas.

Boleh digunakan dengan selesa walaupun di kawasan terang. Tidak seperti model yang dijual untuk pasaran antarabangsa, model yang dijual di Malaysia hanya mempunyai resolusi 1080P. Kami difahamkan versi dengan skrin QHD 3200 x 1800 pixel akan memasuki pasaran kelak namun tarikh rasminya masih belum diketahui. Rekaan tanpa kipas memastikan komputer berfungsi dengan senyap. Tiada lagi deruman kipas yang kita sering kaitkan dengan komputer riba. Rekaan tanpa kipas ini mungkin senyap tetapi selepas penggunaan selama beberapa jam kami sedari bahagian bawah dan atas UX305 mula menjadi sedikit panas. Berita baik di sini ialah kawasan yang menjadi panas adalah jauh dari tempat meletak tangan, pad sesentuh ataupun kekunci utama. Sungguhpun menjadi agak panas ia tidak akan menyukarkan anda untuk menaip. Secara keseluruhan Zenbook UX305 mempunyai kombinasi rekaan yang baik. Kelemahan paling ketara sepanjang tempoh ujian ialah sistem audio yang kusam. Ini sedikit mengecewakan kerana sistem pembesar suara ICEpower yang digunakan adalah dari Bang & Olufsen. B&O terkenal dengan sistem audio berkemampuan tinggi mereka. Pada komputer riba ini pembesar suara menghasilkan bunyi yang mendatar dan tidak cukup mapan. Sistem audio peranti pintar Boomsound HTC memberikan kualiti audio yang jauh lebih baik. Papan kekunci adalah dari jenis chicklet dengan ruang di antara kekunci yang baik. Menaip adalah sangat selesa dan dapat dilakukan dengan pantas tanpa masalah walaupun kami mempunyai jari yang agak besar. Timbal balak tampak papan kekunci juga bagus. Permukaan kekunci tidak melekat dan sangat responsif kepada tekanan. Kami sangat menyukai papan kekunci yang digunakan pada UX305.

Malang sekali ia tidak mempunyai kekunci berlampu. Kami banyak menaip di dalam gelap dan fungsi kekunci berlampu kini adalah keperluan harian. Pengalaman menggunakan pad sesentuh pula bercampur baur. Kadang kala ia berfungsi dengan baik dan membaca setiap pergerakan jari dengan mudah. Pada waktu tertentu tatalan tidak dan pergerakan jari tidak dikesan dengan baik. Berita baiknya ialah kegagalan ini berlaku mungkin sekitar 20% penggunaan. Pad sesentuh masih cukup baik untuk melakukan suntingan gambar. Anda tidak perlu membawa tetikus untuk melakukan tugasan apabila menggunakan UX305. Intel Core M dihasilkan bagi mereka yang mahukan komputer riba yang tidak menggunakan tenaga yang banyak serta tidak memerlukan sistem kipas. Bagi mencapai keperluan ini prestasi pemproses terpaksa dikurangkan. Jika anda ingin menggunakannya untuk melayari web, melakukan tugasan pejabat dan suntingan gambar, UX305 dapat melakukan tugasan ini dengan baik. Kami kerap melakukan tugasan di luar dan UX305 berfungsi dengan cukup baik sekali sepanjang tempoh ujian. Tetapi jika anda mahu melakukan suntingan video HD Penuh serta menghasilkan karya bersaiz besar menggunakan Photoshop kelemahan UX305 dan Intel Core M mula kelihatan. Untuk menjadikan UX305 sebuah komputer permainan mudah alih juga bukan sebuah idea yang baik. Ini adalah kerana penggunaan kad grafik terbina Intel HD Graphic 5300. Kami menggunakan penanda aras 3D Mark dan PC Mark 8 bagi melihat prestasi UX305. Markah yang dicatatkan adalah baik bagi sebuah komputer riba. Keputusan penuh ujian-ujian penanda aras adalah seperti di bawah. Pada penggunaan biasa kami berjaya menggunakan komputer riba ini di antara 5 sehingga 9 jam. Pada pengguna berat melakukan banyak suntingan gambar menggunakan Photoshop dan Photoscape jangka hayat bateri ialah sekitar 5 jam. Jika hanya perlu menulis kandungan laman web ia bertahan selama 9 jam. Jangka hayat bateri yang kami rasakan bagus untuk sebuah komputer riba. Pesaing paling hampir kepada Asus Zenbook UX305 ialah Lenovo Yoga 3 Pro dan Apple Macbook 2015. Berikut ialah perbezaan spesifikasi di antara tiga komputer riba ini.

 
Leave a comment

Posted by on December 17, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s