RSS

HTC One M9+ : Skrin 5.2″ QHD

17 Dec

Berita mengejutkan bagi peminat peranti HTC ialah keputusan mereka untuk tidak membawa masuk HTC One M9. Peranti utama mereka ini hanya akan dijual secara rasmi di Singapura. Alasan yang diberikan ialah LTE Band 6 yang disokong One M9 tidak disokong di Malaysia. Membawa masuk peranti ini ke pasaran tempatan dilihat sebagai tidak membawa keuntungan. Sebaliknya HTC One M9+ akan dibawa masuk ke pasaran tempatan. Apakah perbezaan di antara One M9 dan M9+. Dari segi rekaan kedua-dua peranti mempunyai rekaan yang serupa. Tubuh diperbuat daripada aluminium dengan rekaan keluarga HTC One yang dikekalkan sejak One M7. Saiz skrin dipertingkatkan dari 5 kepada 5.2″ kali ini dengan resolusi QHD bukan lagi FHD. Pada bahagian dagu peranti turut diletakkan pengimbas cap jari yang sejak kebelakangan ini semakin popular di kalangan pengeluar seperti Apple, Huawei dan Samsung. Kewujudan pengimbas jari mengakibatkan kekisi pembesar suara Boomsound dengan sokongan Dolby Audio terbelah dua pada bahagian bawah. Ini sedikit sebanyak membuatkan peranti kelihatan sedikit aneh. Keseimbangan rekabentuk HTC One yang kami boleh katakan sebagai paling cantik di pasaran terjejas akibat kewujudan pengimbas jari ini. Terdapat tiga pilihan warna untuk M9+ iaitu Gunmetal Grey, Gold and Silver dan Gold and Gold. Kesemua peranti mempunyai dua tona warna berbeza. Kemasan panel belakang adalah dari jenis kusam (matte) yang tidak memerangkap kesan cap jari apabila dipegang. Pada hari pelancaran versi gunmetal grey dan gold and silver akan dijual terlebih dahulu sebelum edisi gold and gold dijual kemudian. Peranti keluarga HTC One masih lagi mengekalkan tahap keselesaan yang tinggi apabila dipegang.

Panel belakang yang melengkung mengikuti kontur telapak tangan. Tiada masalah peranti mudah tergelincir juga kerana kemasan kusam yang tidak licin apabila dipegang. Pada bahagian kanan terdapat butang kuasa dan suara. Lokasi butang kuasa kali ini mungkin lebih mudah diakses berbanding pada One M8 yang terletak di bahagian atas. Sungguhpun begitu saiznya yang sama dengan butang suara mungkin akan mengakibatkan berlaku kekeliruan ketika digunakan. Pada sisi yang sama terletak slot Nano SIM. Pada bahagian kiri pula terletak slot penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD. Menarik sekali slot ini menyokong penambahan memori dalaman sehingga 2 Terabyte. Ini adalah sedikit melampau kerana teknologi kad MikroSD hanya pergi sehingga kapasiti maksimum 256 Gigabyte. Ini menurut HTC adalah memastikan One M9+ “kalis teknologi masa hadapan”. Perubahan besar turut dilakukan pada komponen dalaman. Pemproses Snapdragon 810 digantikan dengan pemproses 2.2 GHz lapan teras Mediatek Helio X10. Kelapan-lapan teras berfungsi pada kelajuan yang sama tidak seperti teknologi big,LITTLE Snapdragon 810. Saiz RAM masih lagi 3 Gigabyte dan muatan dalaman sebesar 32 Gigabyte. Teknologi Camera Duo One M8 yang tidak disertakan pada One M9 digunakan semula pada One M9+. Kamera 20 Megapixel digunakan pada bahagian hadapan dan 4 Ultrapixel pada bahagian hadapan. Fungsi Duo Camera membolehkan pemfokusan semula gambar dilakukan selepas gambar diambil. Kesemua fungsi yang disertakan pada One M9 seperti Double Exposure turut disokong oleh One M9+. Akhir sekali bateri sebesar 2840 mAh digunakan sama seperti yang ada pada One M9.

Kami menyedari kesemua peranti utama terkini setiap pengeluar mempunyai kapasiti di bawah 3000 mAh. Kami tidak tahu mengapa bateri yang lebih besar tidak digunakan sedangkan skrin peranti kini beresolusi QHD. Skrin QHD dengan mudah memendekkan hayat bateri. Jika kesemua aspek lain peranti boleh diperbaiki kenapa kapasiti bateri tidak ditambah? HTC One M9 VS M9+ Jadi adakah One M9+ sebuah peranti yang lebih baik daripada One M9? Ini bergantung kepada apakah definisi baik bagi anda. Sekiranya skrin lebih besar dengan resolusi lebih tinggi dan kamera dengan fungsi Duo Camera adalah perlu bagi anda maka One M9+ adalah peningkatan berbanding One M9. Tetapi kami rasakan kombinasi pemproses berkuasa tinggi dan resolusi QHD mungkin akan mengakibatkan kemampuan bateri terjejas. Perubahan rekabentuk dan komponen dalaman dilakukan oleh HTC tetapi dari segi perisian One M9 dan M9+ menggunakan antaramuka Sense 7 yang sama. Kesemua fungsi yang ada pada One M9 dikekalkan. Sense 7 ialah antaramuka terkini yang berasaskan Android 5.0.2.  Fungsi Blinkfeed masih dikekalkan dan begitu juga sistem tatalan atas ke bawah untuk talam aplikasi. Perubahan yang dilakukan ialah skrin multi tasking kini boleh dipaparkan seperti lapisan kad dan bukan hanya dalam bentuk grid Sense 6. Seperkara lagi yang kami rasakan menarik ialah butang navigasi di atas skrin kini boleh dikustomasi. Ini adalah sistem kustomasi yang sama yang digunakan pada peranti LG. Butang home, multi tasking dan back boleh disusun mengikut kehendak pengguna. Tambah menarik lagi butang navigasi tidak terhad kepada tiga sahaja seperti Android stock. Butang tambahan untuk menutup skrin dan menarik talam notifikasi boleh diletakkan sekiranya perlu.

Ini adalah sangat mesra pengguna dan kami berharap boleh menjadi fungsi standard peranti yang menggunakan butang navigasi atas skrin. Fungsi tema juga wujud kali ini. Beberapa tema sedia ada boleh dimuat turun dengan set ikon tersendiri. Anda juga boleh memilih skema warna tersendiri berdasarkan latak belakang skrin yang anda pilih. Kesemuanya dilakukan sendiri oleh Sense 7 dengan beberapa input dari pengguna. Pada bahagian widget pula, pihak HTC menambah sebuah fungsi baru yang memaparkan aplikasi yang sering digunakan anda mengikut lokasi dan masa. Sebagai contoh, sekiranya di rumah, ia akan memaparkan aplikasi yang banyak diakses anda – mungkin seperti YouTube, Chrome dan sebagainya, sebaliknya apabila di lokasi kerja, ia akan memaparkan anda aplikasi yang sering digunakan anda ketika itu – mungkin seperti Evernote dan sebagainya. Widget ini berfungsi secara pintar dan memaparkan anda dengan aplikasi berdasarkan kepada penggunaan harian anda. Secara keseluruhan antaramuka Sense 7 menambahkan pelbagai fungsi baru dan mengekalkan rekaan minimalis yang telah mereka gunakan sejak One M7. Kami masih merasakan antaramuka Sense adalah antara yang paling menarik di kalangan antaramuka pihak ketiga di pasaran. Ianya cantik dan dapat berfungsi dengan lancar tanpa sebarang sela masa. Kamera utama 20 Megapixel kini menyokong semula fungsi Duo Camera. Ini membolehkan gambar difokuskan semula selepas diambil, menghasilkan kesan 3 Dimensi dan meletakkan kesan khas pada latar belakang. Apabila aplikasi kamera dilancarkan terdapat butang khas bagi merubah mod mengambil gambar di dalam fungsi Duo Camera ataupun fungsi biasa. Di dalam fungsi biasa gambar yang diambil akan mempunyai resolusi lebih tinggi 20 MP. Di dalam mod Duo Camera saiz gambar yang diambil dihadkan kepada saiz 4 Ultrapixel. Kamera hadapan adalah kamera 4 Ultrapixel dengan lensa lebar bagi memudahkan mengambil gambar secara berkumpulan. Kemampuan video pula ialah rakaman sehingga resolusi 4K untuk kamera utama dan 1080P untuk kamera hadapan. Tiada sokongan OIS pada kamera utama.

 
Leave a comment

Posted by on December 17, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s