RSS

Huawei P8

17 Dec

Huawei merupakan salah satu jenama yang sedia dikenali ramai di Malaysia, apatah lagi pelbagai syarikat telekomunikasi tempatan menggunakan penawaran modem mudah-alih daripada Huawei bersama-sama pakej mereka. Disamping modem mudah-alih, Huawei turut mempunyai penawaran telefon pintar, tablet dan juga paling terbaru adalah jam tangan pintar mereka. Terkini, mereka turut mengemaskini penawaran dibawah siri keluarga-P mereka dengan pengenalan Huawei P8. Siri keluarga-P daripada Huawei memfokuskan kepada rekaan yang premium. Pada tahun lepas, Huawei telah menawarkan Huawei Ascend P7 di Malaysia, dimana ia dikatakan menerima permintaan yang tinggi, membuatkan mereka turut menawarkan variasi versi khusus untuk para peminat Arsenal. Penawaran Huawei terus berkembang dengan positif sejak daripada itu, dimana mereka telah hadir dengan Ascend Mate 7. Menggunakan kelebihan binaan unibody berasaskan logam daripada Mate 7, kini Huawei P8 hadir dengan binaan berasaskan logam sepenuhnya, serta menggunakan skrin bersaiz 5.2-inci – sedikit besar berbanding Huawei P7 sebelum ini. Seperti biasa, dengan pelbagai kemaskini peranti, spesifikasi yang dibawakan bersama-sama dengannya turut ditambah-baik. Daripada percubaan kami, peranti ini amat selesa untuk dipegang pada tangan – dan rekaan kamera yang tidak tertimbul seperti beberapa pengeluar lain membuatkan ia lebih menarik lagi. Huawei juga sudah tidak menyertakan penggunaan jenama pada bahagian hadapan peranti, sebaliknya hanya memaparkan logo pada bahagian belakang sahaja. Rekaan kotak yang hadir dengan peranti ini juga agak berbeza dengan kotak-kotak Huawei sebelum ini. Huawei P8 diletakkan secara menegak, dimana pengguna akan melihat ia daripada bahagian tepi ketika membuka kotak untuk mengeluarkannya. Didalam kotak pula, seperti biasa terdapat manual, pin untuk membuka ruangan SIM, pengecas, kabel mikro-USB, dan juga fon telinga. Dari segi rekaan peranti pula, Huawei P8 membawakan butang kuasa pada bahagian kanan peranti, dan diatas butang kuasa adalah butang kawalan bunyi. Pada bahagian bawah butang kuasa pula adalah ruangan untuk mikro-SD dan juga ruangan mikro-SIM. Huawei melengkapkan sokongan ruangan mikro-SD jenis hibrid – dimana pengguna turut boleh menggunakan kad-SIM bersaiz nano bersama-sama dengannya, sekaligus menjadikan peranti ini menyokong dwi-SIM. Namun, variasi jenis hibrid ini hanya akan ditawarkan di beberapa pasaran sahaja, dan bukan di semua pasaran. Melengkapkan peranti Huawei P8 adalah Android 5.0. Tetapi, seperti biasa, pihak Huawei menggunakan antaramuka tersendiri, dinamakan sebagai EmotionUI atau EMUI. Untuk Huawei P8, pihak Huawei menyertakan EMUI yang membawakan beberapa pembaharuan berbanding sebelum ini. Bersama-sama dengan Huawei P8 ini, Huawei menyertakan beberapa fungsi baru seperti WiFi+ dan Link+ yang membuatkan sambungan rangkaian pada peranti lebih baik dan beroperasi dengan pantas berbanding pelbagai peranti lain. Sokongan gesture dan akses pantas seperti dwi-klik butang kawalan audio untuk mengakses kamera turut disertakan. Pada Huawei P8, pihak Huawei turut membolehkan pengguna membuat rakaman skrin peranti dengan mengetuk dua kali pada skrin menggunakan buku jari. Disamping itu, beberapa pembaharuan baru yang turut kami perasan adalah kebolehan memaparkan kelajuan data atau WiFI pada bar status di atas, selain kebolehan membuat arahan suara untuk peranti dimana ia akan membalasnya semula serta memainkan audio – bertujuan memudahkan anda menemui peranti jika tersilap letak atau terlupa tempat letak asal. Bahagian kamera pada Huawei P8 menjadi fokus utama syarikat daripada China ini. Huawei mengatakan kini melalui sensor pengimejan yang digunakan pada Huawei P8, ia boleh merakamkan sehingga empat warna, berbanding sejumlah sensor dipasaran yang hanya merakamkan tiga warna sahaja. Disamping itu, Huawei turut melengkapkan peranti ini dengan pemproses imej khusus untuk rakaman yang lebih cantik dan pantas. Untuk mod rakaman pula, seperti biasa mod rakaman HDR disertakan termasuk kebolehan merakamkan gambar panorama. Pihak Huawei turut menyertakan sokongan dinamakan All Focus yang membolehkan anda merakamkan gambar terlebih dahulu dan kemudian memilih tempat yang ingin difokuskan. Satu lagi fungsi baru yang disertakan adalah kebolehan untuk menambah watermark, dimana ketika digunakan, ia memaparkan lokasi semasa pengguna dan juga info seperti tarikh atau cuaca yang dilekapkan terus pada gambar. Disamping itu, Huawei turut menyertakan beberapa ciri-ciri rakaman profesional pada peranti Huawei P8 – yang lebih memfokuskan kepada rakaman gambar gerakan cahaya. Sebagai contoh, anda boleh merakamkan gambar gerakan cahaya kenderaan, atau membuat grafiti udara menggunakan cahaya, dan Huawei P8 boleh merakamkan gambar gerakan cahaya berkenaan dan menyertakannya dalam satu gambar. Satu lagi mod khusus untuk Huawei P8 adalah sokongan yang dinamakan sebagai Director Mode. Menggunakannya, pengguna boleh menghubungkan sebanyak tiga peranti Android lain ke Huawei P8, dan seterusnya menggunakan kamera daripada peranti berkenaan untuk merakamkan sesuatu lokasi daripada sudut rakaman yang berbeza. Hasil yang ditawarkan adalah amat menarik, dimana anda boleh menjayakan rakaman sesuatu acara atau gerakan dengan mudah menggunakannya. Huawei mengatakan mereka akan menerbitkan sebuah aplikasi khusus untuk dimuat-turun peranti lain bagi digunakan bersama, tetapi mod pengarah hanya boleh digunakan pada peranti Huawei P8 sahaja. Huawei mengatakan peranti ini akan dijual di Malaysia bermula bulan Jun

 
Leave a comment

Posted by on December 17, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s