RSS

Jam Tangan Pintar Pebble

17 Dec

Bulan lepas jam tangan kesayangan saya iaitu G-Shock telahpun menamatkan khidmat beliau bersama saya. Ini adalah kerana air telah mula meresap kedalamnya, setelah melalui proses penukaran bateri kali kedua. Walaupun paparannya mula rosak sedikit demi sedikit, saya tetap memakainya kerana tidak biasa tanpa memakai jam di tangan. Saya mula mencari jam baru dan berniat untuk mendapatkan jam tangan pintar. Pada waktu tersebut berita mengenai jam tangan pintar Pebble Time menjadi hangat, akan tetapi saya terlepas peluang untuk menyertai pendanaan terbuka di Kickstarter. Setelah mendapatkan pelbagai info berkenaan Pebble, bagai orang mengantuk disorongkan bantal terdapat seorang penjual Pebble di laman Mudah, menawarkan tiga unit terakhir Pebble versi awal berwarna putih pada harga RM300 setiap satu. Jika dibandingkan dengan harga runcit, harga unit ditawarkannya adalah murah, berkadaran dengan harga rasmi dari Pebble namun tidak perlu menunggu selama 2-3 minggu untuk penghantarannya dari Amerika Syarikat. Terdapat pelbagai pilihan di pasaran. Antara yang paling menggoda sudah tentu jam tangan pintar dengan sistem operasi Android Wear. Saya sendiri telah mencuba beberapa diantaranya pada jangkamasa terhad seperti di acara Mobile World Congress yang lepas namun kerana telefon pintar utama saya ialah iPhone, sudah tentu kebolehannya juga terhad. Pada masa yang sama saya inginkan jam tangan yang agak lasak, sesuai dengan kegunaan saya. Apple Watch pula masih ditahap awal dan diluar kemampuan saya, serta kebanyakan jam tangan pintar yang lain boleh dikatakan mahal berbanding Pebble yang saya beli pada harga RM 300. Faktor kedua adalah dari segi bateri, dimana Pebble mampu bertahan sehingga 5 hari pada sekali caj penuh. Saya juga mempunyai dilema dimana saya menggunakan Fitbit Flex namun kegunaan Fitbit tersebut terhad. Pebble dilihat dapat menggantikan Fitbit Flex bagi tujuan memantau aktiviti kecergasan. Tidak dinafikan dari segi rekabentuk dan bahan binaan, material besi memberikan lebih gaya mutu dan keunggulan. Namun saya merupakan pengguna tegar G-Shock dan tidak kisah dengan jam tangan plastik. Malah dari segi rekabentuk, saya agak berpuashati kerana ia bukanlah satu bentuk yang biasa dilihat umum, dan oleh kerana ia berwarna putih, ia tampak menyerlah. Jika bercakap dari segi gaya, mungkin G-Shock janggal dikenakan bersama pakaian formal dan kelihatan seperti askar, dengan Pebble, ia seolah menampakkan kelainan. Dari segi saiz, Pebble generasi pertama ini sedikit tebal dan mungkin agak besar namun bagi anda yang inginkan saiz yang lebih nipis, Pebble Time yang akan datang mempunyai badan yang nipis.

Jam tangan pintar Pebble yang saya miliki adalah versi pertama, dan mungkin antara yang terawal. Ini kerana untuk versi Pebble plastik ini, terdapat juga model yang mempunyai skru dibelakang. Model yang saya miliki tidak mempunyai sebarang skru. Pebble juga kalis air dan debu serta boleh dibawa mandi dan berenang. Ia mempunyai ketahanan 5ATM, boleh digunakan sehingga 40m sesuai untuk snorkeling namun mungkin kurang sesuai untuk menyelam lautan dalam. Untuk tahap ekstrim yang pernah saya lakukan, berenang di laut dengannya dan menaiki motorsikal dalam hujan lebat. Sehingga kini tiada tanda kemasukan air terhadap jam ini malah Pebble sendiri menyatakan jam ini boleh digunakan semasa mandi. Pada badan Pebble ini terdapat satu butang disebelah kiri dan tiga butang disebelah kanan. Butang kiri bertindak sebagai Backbutton dimana pada sebarang pilihan menu atau aplikasi, butang kiri yang ditekan akan membawa pengguna ke halaman terdahulu sehinggalah halaman utama, iaitu muka jam. Dibawah sebelah kiri terdapat palam pengecasan magnetik. Pada sebelah kanan, butang atas ‘Up’ dan butang bawah ‘Down’ merupakan navigasi yang berfungsi seolah-olah pada telefon bimbit yang lama, dimana pada paparan antaramuka Pebble akan menunjukkan apakah kegunaan butang tersebut. Butang ditengah ialah butang ‘Select’. Namun kesemua pilihan pada butang sebelah kanan ini boleh berubah-ubah mengikut aplikasi yang terpapar pada paparan antaramukanya. Jam tangan pintar ini berhubung dengan telefon pintar secara Bluetooth Low Energy. Pebble kerap menekankan keutamaan yang dibawakan oleh mereka adalah ‘Glanceable Notification’ dimana setiap notifikasi pada telefon akan dihantar kepada Pebble dan membolehkan pengguna melihatnya sekilas pandang. Antara perkara yang boleh dilakukan termasuklah melihat siapa yang memanggil, menjawab atau meletakkan panggilan tersebut, SMS/Mesej akan terpapar dengan terus, menerima notifikasi dari telefon pintar anda dan pelbagai lagi yang turut disokong oleh aplikasi khusus untuk Pebble. Secara kasarnya, segala jenis notifikasi yang diberikan oleh telefon pintar anda akan dihantar terus kepada Pebble. Selain dari penggunaan panggilan, SMS dan permesejan, segala mesej dari WhatsApp juga akan dipaparkan jadi sekiranya anda menyertai ruang sembang yang mempunyai ramai peserta, setiap mesej dari mereka akan dihantar kepada Pebble dan perkara ini agak menjengkelkan kerana dengan setiap notifikasi yang dihantar, Pebble akan bergetar.

Perkara ini juga akan mungkin akan mempengaruhi penggunaan bateri. Buat masa ini tiada tetapan untuk menetapkan tahap gegaran Pebble. Solusi untuk masalah sebegini adalah dengan cara ‘Mute’ group WhatsApp tersebut. Pebble juga turut menyediakan tempoh tanpa gangguan ‘Do Not Disturb’ dimana pada waktu yang ditetapkan, tiada notifikasi dihantar kepada Pebble membolehkan anda untuk memakai Pebble sewaktu tidur. Pengguna juga boleh menetapkan saiz tulisan bagi memudahkan pembacaan notifikasi yang diberikan. Seperti contoh diatas, aplikasi Sunrise memberikan notifikasi penerbangan dan perbezaan antara huruf besar dan kecil adalah seperti gambar diatas. Pengguna perlu menetapkan aplikasi serta paparan antaramuka jam yang diinginkan menerusi aplikasi Pebble baik untuk iOS mahupun Android. Pada aplikasi ini pengguna boleh memasang aplikasi khusus untuk Pebble namun ia terhad kepada 8 aplikasi. Mungkin ini dilihat seperti satu kelemahan tetapi pada pendapat saya, ia bukan satu kelemahan yang signifikan. Ini kerana sekiranya anda ingin melakukan perkara yang lebih kompleks, keluarkan sahaja telefon pintar anda. Antara aplikasi yang kerap saya gunakan pada Pebble adalah Swarm dan Prayer Times. Pengguna boleh menetapkan akses pantas (Quick Launch) terhadap aplikasi Pebble ini dengan cara menekan butang Up atau Down pada beberapa saat. Setelah menetapkan pilihan tersebut, jika saya berada di tempat yang saya ingin sahkan kewujudan saya pada Swarm, saya hanya perlu menekan butang ‘Up’ selama beberapa saat dan aplikasi Swarm akan dilancarkan pada Pebble, membolehkan saya ‘Check-in’ pada lokasi tersebut. Pada jam tangan pintar Pebble juga terdapat Accelerometer yang boleh mengesan aktiviti kecergasan yang dilakukan seperti tapak dan goncangan. Malah apabila saya menggoncang Pebble sewaktu menggunakan Swarm pada Pebble, anak panah kearah lokasi tersebut bergerak. Bagi aktiviti kecergasan, saya menggunakan Misfit dan perlu memasang aplikasi iOS-nya. Namun sejak kemaskini Misfit 2.0, terdapat masalah synchronization pada pihak pembangun Misfit. Satu lagi fungsi yang kerap saya gunakan pada Pebble saya ialah melihat berapa ramaikah pelawat Amanz pada masa nyata. Menerusi aplikasi Peblytics, saya tidak perlu lagi mengeluarkan telefon pintar untuk melihatnya. Justeru ini sekaligus mengurangkan kebergantungan saya kepada telefon pintar dalam mengakses maklumat ringkas seperti ini. Antara aplikasi lain yang pernah dicuba adalah Pebble GoPro. Aplikasi khusus pada Pebble ini membolehkan pengguna melakukan tetapan rakaman GoPro mereka. Sekiranya anda pengguna GoPro pasti anda perlu menetapkan tetapan pada telefon pintar namun dengan aplikasi ini pengguna boleh melakukan tetapan dengan mudah melalui Pebble mereka.

 
Leave a comment

Posted by on December 17, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s