RSS

Samsung Galaxy S6

17 Dec

Plastik, sela masa kronik dan rekaan yang bosan. Ini adalah tiga perkara yang sejak kebelakangan ini dikaitkan dengan peranti keluarga Samsung Galaxy S. Tahun demi tahun pelbagai pembaharuan dilakukan oleh Samsung tetapi sambutan dari pengguna dilihat semakin berkurangan. Kombinasi rekaan peranti yang kurang menyerlah, antaramuka yang bermasalah serta saingan dari pengeluar dari China menyebabkan jualan Samsung terjejas sejak kebelakangan ini. Dengan Samsung Galaxy S6 mereka bermula semula dari asas bagi menghasilkan peranti yang terbaik yang mereka hasilkan dan mengembalikan kepercayaan pengguna. Galaxy S6 bermula sebagai Project Zero, sebuah projek yang meneliti segala kelemahan yang ada dan mendengar permintaan pengguna. Adakah Samsung Galaxy S6 peranti terbaik pernah dihasilkan Samsung? Baca ulasan penuh ini untuk mengetahui jawapannya. Rekaan tubuh aluminium dan kaca sudah wujud di pasaran selama beberapa tahun. Apple iPhone 4 menjadi perintis kepada rekaan ini tetapi mereka menghentikan rekaan ini selepas ramai pengguna merungut panel belakang mudah pecah berderai. Rekaan sebegini kemudian digunakan pada Huawei Ascend P6 pada tahun 2013 dan Xperia Z3 tahun lalu. Samsung Galaxy S6 meneruskan evolusi rekaan panel belakang berkaca yang kini menggunakan kaca Gorilla 4. Ianya dikatakan lebih tahan lasak walaupun lebih nipis dari kaca Gorilla generasi sebelumnya. Dari beberapa video ujian jatuhan nampaknya memang panel belakang dan hadapan Galaxy S6 sangat tahan lasak. Kemasan sisi kini diperbuat sepenuhnya daripada aluminium. Rekaan yang dilihat pada keluarga Galaxy Alpha dan Galaxy A diteruskan tetapi kali ini diperhalusi. Sisi S6 lebih selesa dipegang kerana sisinya melengkung. Tiada masalah sisi yang tajam seperti yang kami temui pada Samsung Galaxy Alpha. Kombinasi kerangka aluminium dan panel kaca menjadikan S6 peranti yang tercantik di pasaran sekarang. Butang kawalan suara terletak pada bahagian kiri manakala butang kuasa dan slot SIM Nano terletak pada bahagian kanan. Pembesar suara, jack fon kepala danslot MikroUSBterletak pada bahagian bawah. Pada bahagian atas terdapat pemancar infra merah. Pada bahagian hadapan terdapat butang home fizikal dengan pengimbas jari terbina. Butang ini dihimpit oleh butang back pada sebelah kanan dan multi tasking pada sebelah kiri. Pada bahagian belakang juga terdapat pengimbas nadi. Di Malaysia S6 diperkasakan pemproses Exynos 7420 lapan teras (2.1 GHz + 1.5 Ghz), RAM 3 Gigabyte dan muatan dalaman hanya 32 Gigabyte. Tiada model lain akan dibawa masuk buat masa ini. Ini sedikit mengecewakan kerana S6 tidak lagi menyokong kad MikroSD. Kemampuan optik pula ialah 16 Megapixel pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan. Kedua-dua kamera dilengkapi lensa f/1.9 untuk pengambilan gambar yang lebih baik di dalam keadaan gelap.

Pada Galaxy S5 lensa f/2.2. Ini sekaligus memberikan kelebihan kepada S6 kerana pesaing lain seperti HTC One M9 dan iPhone  6 juga masih menggunakan lensa f/2.2. Dari segi fizikal pelbagai perubahan drastik dilakukan dari segi rekaan dan bahan binaan dilakukan pada S6 berbanding S5. Harus diakui kehilangan sokongan kad MikroSD serta bateri yang boleh ditanggalkan adalah dua perubahan yang paling mengejutkan pengguna kerana ianya sudah wujud sejak GALAXY S. Samsung mengatakan dua perubahan ini dilakukan bagi memastikan peranti lebih kemas (panel kaca tidak boleh digunakan jika bateri boleh ditanggalkan) dan pantas (kad MikroSD tidak sepantas cip memori dalaman generasi terkini yang digunakan sekarang). Perubahan bahan binaan ini juga menjadikan S6 lebih licin dan mudah tergelincir dari genggaman. Sisi lebih bulat dan panel kaca adalah kombinasi menakutkan. Beberapa kali peranti hampir terjatuh ketika digunakan. Penggunaan cangkerang tahan lasak sangat kami sarankan kepada mereka yang ingin memiliki Galaxy S6. Samsung menekankan bahawa TouchWiz yang digunakan kali ini lebih pantas, responsif dan ringan berbanding versi sebelumnya. Kebanyakan fungsi tambahan yang disertakan tidak diaktifkan kali pertama anda menghidupkan peranti. Sungguhpun menggunakan Android 5.0.2,  sekilas pandang antaramuka TouchWiz S6 tidak mempunyai perbezaan yang ketara. Perbezaan hanya disedari selepas memasuki aplikasi telefon, talam notifikasi dan pemesejan. Animasi yang digunakan menyamai animasi Android Lollipop. Rekaan juga kini semakin rata dan minimalistik. Fungsi Multi Window, Smart Stay, Video Pop Up dan Palm Screenshot masih lagi disertakan. Ianya boleh diaktifkan bila-bila masa sekiranya perlu. Sungguhpun begitu fungsi Smart Scroll, Smart Pause dan Group Play tidak lagi disokong. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah sela masa. Akhirnya selepas bertahun kami merungut tentang masalah sela masa dan animasi transisi yang tidak diperlukan, TouchWiz pada S6 bebas dari masalah turun-temurun ini. Aplikasi dilancarkan dengan pantas. Tatalan skrin amat lancar. Perubahan dari satu aplikasi ke aplikasi lain berlaku dengan sekelip mata. Kombinasi pemproses terkini, RAM kelas tinggi dan sistem operasi 64bit menjadikan semua ini realiti. ToucWiz baru membenarkan anda menyahpasang aplikasi yang tidak anda mahukan tanpa sebarang halangan. Sebelum ini aplikasi terbina Samsung tidak boleh dibuang melainkan anda melakukan ROOT pada peranti. Kini hanya perlu masuk ke talam aplikasi, tekan butang edit dan nyahpasang aplikasi yang tidak anda mahukan. Termasuklah aplikasi Samsung sendiri. Fungsi tema yang diperkenalkan pada Galayx Alpha ditambah baik dengan keupayaan memuat turun tema baru menerusi Theme Store. Buat masa ini jumlah tema baru yang boleh dimuat turun masih lagi terhad.

Dari segi pilihan ia masih ketinggalan jika dibandingkan dengan tema yang boleh dimuat turun pada peranti Xiaomi. Susunan grid aplikasi pada skrin kini boleh dikustomasi. Terdapat pilihan susunan 4×4, 4×5 dan 5×5. Pengimbas cap jari semakin mendapat tempat tahun ini. Ianya memudahkan proses menyahkunci. Tidak perlu memasukkan kata laluan, melakar bentuk dengan jari ataupun mengimbas muka. Pengimbas jari S6 membawakan pembaharuan kerana kali ini ia tidak memerlukan jari anda digerakkan ke atas dan ke bawah untuk di imbas. Kali ini ia lebih menyerupai apa digunakan pada peranti iOS. Hanya perlu letakkan jari pada pengimbas yang terbina di dalam butang home. Proses mengimbas baru ini lebih pantas dan berfungsi dengan baik. Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah. Kamera pada hemat kami ialah kekuatan utama Galaxy S6. Kamera utama 16 Megapixel dipadankan dengan kamera hadapan 5 Megapixel. Kedua-dua kamera dipadankan dengan lensa f/1.9 bagi memastikan prestasi yang baik di dalam keadaan pencahayaan kurang baik. Ini adalah lensa yang lebih baik berbanding yang digunakan pada peranti lain di pasaran yang masih menggunakan f/2.2. Antaramuka aplikasi kamera juga diberikan wajah baru. Lebih kemas dan rata selari dengan rekaan Android Lollipop. Pratetapan mengambil gambar kini dihadkan kepada 7 sahaja. Pratetapan lain seperti Read Cam Selfie dan Sound and Shot perlu dimuat turun sendiri oleh pengguna. Fungsi manual turut disertakan di bawah pratetapan Pro. Pelbagai parameter kamera boleh dikawal menerusi mod ini. Akhir sekali mod Virtual Shot diperkenalkan bagi mengambil gambar 360 darjah mengelilingi sesebuah objek . Fungsi ini pada hemat kami tidak berapa diperlukan di dunia sebenar. Kamera S6 diwar-warkan dengan fungsi OIS dan Tracking AF. OIS memastikan kestabilan ketika mengambil video dan gambar. Tracking AF pula memastikan objek yang menjadi subjek sentiasa difokus dengan baik. Apa yang perlu anda tahu ialah fungsi OIS dan Tracking AF tidak boleh diaktifkan serentak. Anda perlu memilih salah satu daripada dua fungsi ini ketika menggunakan aplikasi kamera. Kedua-dua fungsi ini juga tidak boleh diaktifkan ketika mengambil video pada resolusi gerak perlahan, QHD, FHD 60 FPS dan UHD. Di bawah ialah contoh beberapa gambar yang kami ambil menggunakan kamera S6. Kami sedari kualiti gambar adalah sangat baik.  Gambar mengekalkan ketajaman sungguhpun apabila di besarkan pada skrin komputer. Kemampuan makro dan dalam situasi gelap juga terbaik apabila dibandingkan dengan peranti lain yang pernah kami ulas sebelum ini. Gambar rak buku yang kami sering ambil dalam keadaan gelap kelihatan sangat jelas dan terang. Masalah noise adalah sedikit dan tulisan pada buku masih boleh dibaca. Sungguhpun begitu kami sedari gambar adalah sedikit kekuningan berbanding objek asal.

Dari ujian video yang kami lakukan kualiti video adalah baik. Kualiti rakaman audionya juga jelas. Pada mod 4K kami sedari ada masalah gegaran dan rolling shutter yang ketara. Ini adalah kerana fungsi OIS tidak boleh diaktifkan apabila merakan pada mod melangkaui 1080P 30FPS.  Mod gerak perlahan pula terhad kepada resolusi 720P dengan rakaman audio. Aplikasi suntingan yang disertakan adalah memadai untuk suntingan asas. Pemproses Exynos 7420 lapan teras yang digunakan dengan mudah mengalahkan rekod peranti dengan markah penanda aras paling tinggi yang dipegang oleh Galaxy Note 4 sebelum ini. Dalam ujian Quadrant ia mencatatkan 34933 markah. Dalam ujian Antutu ia mencatatkan 60372 markah dan akhir sekali dalam ujian Futuremark ia mencatatkan 21541 markah. Ketiga-tiga markah yang dicatatkan adalah markah penanda aras tertinggi bagi setiap aplikasi penanda aras yang pernah kami lalukan di makmal ujian Amanz. Bagaimana pula dengan penggunaan harian? Adakah markah yang tinggi ini bermakna peranti ini juga paling pantas yang pernah diuji? Jika dibandingkan dengan peranti Samsung yang pernah kami ulas sebelum ini memang Galaxy S6 adalah yang paling pantas dan lancar. Tiada masalah sela masa dan aplikasi dilancarkan dengan serta merta. Masalah aplikasi tertutup dengan sendiri tidak berlaku walaupun sekali. Tetapi jika dibandingkan dengan Sony Xperia Z3 kami sedari S6 masih belum cukup pantas untuk menandingi peranti yang kami nobatkan sebagai peranti terbaik makmal Amanz untuk tahun 2014. Perbezaan dari segi kepantasan sebenarnya tidak ketara kecuali apabila kedua-dua peranti diletakkan sebelah menyebelah. Buat masa ini Sony Xperia Z3 masih mengungguli carta peranti paling lancar dan pantas. Galaxy S6 terpaksa berpuas hati di tangga kedua buat masa ini. Februari lalu apabila Galaxy S6 diperlihatkan kepada umum dengan kapasiti bateri lebih kecil dari yang digunakan pada S5 ramai yang sedikit kecewa. Samsung segera mengatakan kapasiti bateri 2550 mAh tidak akan mengganggu hayat penggunaan kerana pemproses terkini yang digunakan S6 tidak memerlukan banyak tenaga. Dalam ujian dunia sebenar kami dapati Galaxy S6 mampu bertahan selama 8 jam sahaja pada penggunaan paling berat. Pada penggunaan ringan ia bertahan selama 19 jam. Bagi kami prestasi bateri S6 adalah mengecewakan bila dibandingkan dengan peranti kelas atasan yang lain. Hayat bateri yang pendek ini adalah kelemahan paling ketara S6 buat masa ini. Seperti Note 4, S6 mempunyai fungsi pengecasan pantas. Pengecas khas dengan voltan lebih tinggi disertakan. Masa mengecas peranti dari kosong sehingga penuh adalah lebih kurang sejam. Sokongan pengecasan tanpa wayar juga kini disokong sepenuhnya.

 
Leave a comment

Posted by on December 17, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s