RSS

Tun Mahathir – Kebebasan Internet & Media Sosial Perlu Dikawal

17 Dec

Sejak kewujudan Internet, penyebaran informasi dan maklumat telah berkembang dengan pesat. Sekiranya dahulu berita berkenaan sesuatu hal hanya dapat diketahui selepas beberapa ketika, kini berita dapat dikhabarkan dalam masa beberapa saat. Kewujudan media sosial merancakkan lagi penyebaran maklumat dalam masa singkat, sekaligus menjadi peralatan penting baik untuk berhubung malahan, mampu melakukan perkara yang tidak digemari. Pada hari ini, Tun Mahathir yang juga bekas Perdana Menteri keempat telah berkongsi pandangannya mengenai internet dan media sosial di acara Malaysia Social Media Week 2015, dan berkongsi pandangan beliau mengenai kebebasan di internet dan media sosial serta memberikan pendapat berkenaannya. Tun Mahathir memulakan sesinya dengan memberikan kata perbandingan. Beliau membandingkan Internet dan Media Sosial ini seumpama pisau. Pisau boleh diasah, atau dibiarkan tumpul dan pisau juga boleh digunakan untuk memasak, memotong dan mengukir namun jika disalahguna, boleh juga digunakan untuk membunuh atau mencederakan orang. Pengguna internet dan media sosial harus sedar bahawa mereka memiliki peralatan yang boleh digunakan untuk keduanya, dan penting untuk mereka mengetahui cara menggunakannya dengan beretika dan betul. Internet dan media sosial jika diberikan aksesnya secara melulu tanpa pengawasan, kelak boleh membuatkan anak-anak terpesong dengannya. Oleh kerana ibu bapa kerap bekerja dan tiada masa untuk anak-anak dalam membimbing mereka, anak-anak ini bakal belajar dari rakan sebaya. Sekiranya buruk pembawaan dari rakan sebaya, maka anak-anak ini akan belajar perkara yang tidak elok dari rakannya. Malahan, sekatan keatas bahan pornografi perlu dilakukan kerana sekiranya mereka terdedah dengan perkara sebegitu, mereka akan membesar dengannya. Tun Mahathir turut mengatakan jika dahulu beliau sendiri berhasrat untuk memberikan kebebasan Internet, beliau turut mengakui telah mengubah pendapatnya dan menekankan kebebasan internet dan media sosial seharusnya dikawal. Ini kerana maklumat kini senang tersedia dan mudah diperoleh. Jika dahulu, pengguna perlu pergi ke perpustakaan dan membayar untuk meminjam buku serta mencari buku-buku yang diingini, berkat internet pengguna hanya perlu menaip kata kunci dan mendapatkan maklumat tersebut. Tun Mahathir turut memberikan contoh betapa senangnya untuk pengguna internet kini mendapatkan maklumat cara-cara untuk membuat senjata api. Selain dari itu juga dari kebebasan bersuara di Internet, Tun Mahathir juga turut menyatakan kebebasan suara tidak seharusnya menyertakan kebebasan untuk menyakiti hati dan perasaan orang lain. Beliau turut mengulas kejadian tembakan Charlie Hebdo, kerana mereka tidak merasakan sebarang tanggungjawab sosial, dan ianya adalah satu perkara yang kelakar bagi melawakkan sesuatu agama lain. Bukan setakat Charlie Hebdo, namun bagi mereka yang menggunakan internet dan media sosial untuk menyakiti hati dan perasaan lain adalah satu perbuatan yang tidak bertanggungjawab. Oleh sebab itu, Tun Mahathir menegaskan bahawa pengguna Internet dan Media Sosial harus berwaspada dengan menggunakan kuasa perkongsian dan penerbitan di internet dan media sosial yang dimiliki. Kuasa untuk bersuara tanpa sempadan yang sebelum ini dimiliki oleh badan yang berkanun dan mempunyai etikanya tersendiri seharusnya digunakan dengan berhati-hati bagi pengguna lain. Kuasa tersebut sekiranya digunakan untuk menerbitkan perkara yang tidak bermanfaat, rakyat juga akan dihidangkan dengan perkara yang tidak berguna, sekaligus membazirkan masa dan tidak membantu dalam pembangunan negara. Beliau turut menekankan betapa pentingnya bagi pengguna internet dan media sosial untuk mengetahui etika dan bertanggunggjawab dalam menggunakannya. Tun Mahathir juga turut memberikan pandangan dalam melakukan sekatan. Menurut beliau seharusnya satu organisasi yang terdiri dari pelbagai fahaman bertindak sebagai badan yang melakukan sekatan. Badan ini tidak seharusnya dikawal oleh sesuatu kumpulan kerana ia bakal menimbulkan masalah dari segi berat sebelah sesuatu keputusan yang dibincangkan. Beliau juga turut mengakhiri perkongsiannya dengan mengatakan internet dan media sosial merupakan satu peralatan yang sangat berkuasa dan menggesa rakyat serta penggunanya mempelajari etika dan cara penggunaannya yang berhemah.

 
Leave a comment

Posted by on December 17, 2015 in Uncategorized

 

Leave a Reply

Fill in your details below or click an icon to log in:

WordPress.com Logo

You are commenting using your WordPress.com account. Log Out / Change )

Twitter picture

You are commenting using your Twitter account. Log Out / Change )

Facebook photo

You are commenting using your Facebook account. Log Out / Change )

Google+ photo

You are commenting using your Google+ account. Log Out / Change )

Connecting to %s