RSS

Author Archives: irmanista

About irmanista

Personal Blog

Helpr – Ingin Menjadi Pembantu Peribadi Anda Dalam Menyelesaikan Pelbagai Tugasan

Dengan perkembangan arena teknologi dan tugasan harian yang semakin membuatkan pengguna sibuk dengan pelbagai perkara – salah satu arena startup yang berkembang pesat adalah dalam membantu pengguna menyelesaikan beberapa tugasan. Sebuah perkhidmatan baru dalam arena tersebut yang telah memulakan perkhidmatan baru-baru ini adalah Helpr. Helpr, sebagai pada namanya ingin membantu pengguna dalam membuat pelbagai tugasan atau jika pengguna ingin melakukan sesuatu perkara. Untuk menggunakannya, pengguna boleh menghantar SMS, WhatsApp ataupun menggunakan Facebook Message kepada pihak Helpr, dan kemudian mendapatkan maklumbalas berkaitan dengan apa yang dicari oleh mereka. Anda yang berminat, boleh memulakan interaksi dengan pihak Helpr dengan menghantar START ke 0193596194. Walaubagaimanapun, satu kekurangan adalah ia hanya beroperasi antara pukul 9 pagi hingga 7 petang sahaja.Sebagai contoh, pengguna boleh menghantar mesej untuk bertanyakan mengenai sesuatu gajet, dan anda akan menerima balasan berkenaan dengan harga tawaran untuk gajet tersebut dan anda boleh terus menempah melaluinya.

helpr-my

Selain daripada belian gajet, pengguna juga turut boleh melakukan pelbagai pertanyaan dan pembelian lain, termasuk makanan, tempahan hotel, tempahan percutian, membuat penghantaran barang, membuat penghantaran hadiah dan sebagainya. Sebaik menghubungi Helpr, pengguna akan diberikan dengan beberapa pilihan (jika ada), dan seterusnya jika mereka bersetuju, maka sebuah pautan bayaran akan diberikan untuk membolehkan pengguna membuat pembayaran sebelum mereka menghantar barangan atau perkhidmatan yang ditempah. Pihak Helpr menekankan yang mana berbeza dengan penyedia perkhidmatan yang lain, mereka antara yang terawal menawarkan perkhidmatan mereka dalam pelbagai platform. Selain daripada SMS, pengguna juga turut boleh menghubungi mereka melalui WhatsApp, Facebook Messenger – mahupun sebuah klien terbina pada web rasmi mereka. Helpr buat masa ini ditawarkan di Malaysia sahaja, dan mereka menyasarkan untuk memperluaskan perkhidmatan mereka di beberapa lokasi sekitar Asia Tenggara tidak dalam masa beberapa bulan lagi. Layari : Helpr http://helprnow.com/

Advertisements
 
Leave a comment

Posted by on June 21, 2016 in Uncategorized

 

Google Ingin Mengajar Anda Mengenai Pemasaran Dengan Pantas Dan Ringkas

Google merupakan salah satu syarikat yang memfokuskan kepada pemasaran, malah pendapatan utama mereka adalah melalui pemasaran menggunakan AdWords. Menjadi tugas mereka juga adalah untuk mendidik ramai mengenai pemasaran, dan untuknya, kini mereka menyediakan sebuah aplikasi khusus dinamakan sebagai Primer by Google. Menggunakan aplikasi ini, Google ingin memudahkan anda mempelajari kemahiran berkaitan pemasaran dengan pantas dan mudah.

primer-google

Setiap skill baru berkaitan pemasaran disampaikan dalam bentuk yang ringkas dan padat – dimana boleh dipelajari sesiapa dalam masa lebih kurang lima minit. Google turut mengatakan mereka menawarkan didikan baru setiap minggu, membolehkan anda sering mengikuti dan mendapatkan skill baru dalam arena pemasaran. Bagi anda yang berminat, anda boleh memuat-turun aplikasi Primer by Google ini untuk Android dan juga iOS.

 
Leave a comment

Posted by on June 20, 2016 in Uncategorized

 

Microsoft Sedang Membangunkan Arrow Launcher

Sebelum ini, kita telah melihat Facebook dan Yahoo!, masing-masing menawarkan launcher mereka tersendiri untuk Android, dan kini ia turut disertai oleh Microsoft. Gergasi perkomputeran yang terkenal dengan arena Windows ini kini dilihat sedang menguji sebuah launcher khusus untuk Android, dinamakan sebagai Arrow Launcher. Bagi anda yang tidak mengenali akan launcher, ia merupakan sebuah aplikasi yang membolehkan pengguna mengubah paparan peranti mereka, dan menyertakan beberapa fungsi tambahan melaluinya. Untuk Arrow Launcher, ia hadir dengan rekaan yang ringkas dan tidak mengelirukan. Sebanyak tiga halaman utama disediakan, dimana halaman tengah yang memaparkan aplikasi yang sering dibuka serta aplikasi baru, halaman kiri yang memaparkan senarai pemanggil yang telah dilakukan baru-baru ini, dan pada bahagian kanan ia memaparkan nota dan peringatan.

microsoft-arrow-launcher

Pengguna turut boleh mengakses senarai aplikasi melalui talam aplikasi, dan ia dipaparkan mengikut susunan abjad. Sebuah menu kecil turut dipaparkan pada bahagian bawah peranti, yang mana pengguna boleh tap dan ia akan memaparkan senarai aplikasi dan nombor telefon terakhir yang anda dial. Aplikasi ini masih pada peringkat beta tertutup, dan tidak diketahui lagi bilakah Microsoft akan melancarkannya secara rasmi kepada pengguna Android. Sertai : Komuniti Microsoft Arrow Launcher di Google+

 
Leave a comment

Posted by on June 15, 2016 in Uncategorized

 

Oppo Mengumumkan Kerjasama Dengan Pasukan Bola Sepak Barcelona FC

Barcelona FC merupakan salah satu pasukan bola sepak yang terkemuka dari Eropah, dan hari ini, Oppo secara rasminya mengumumkan kerjasama dengan Barcelona untuk tujuan pemasaran. Kerjasama untuk kedua-dua pihak ini akan berterusan selama tiga tahun lamanya.

oppo-barcelona_02
Melalui kerjasama ini, kedua-dua pihak akan berkolaborasi untuk tujuan promosi, pengiklanan televisyen, dan pada masa yang sama juga untuk aksesori. Maka, tidak mustahil untuk kita melihat kerangka, aksesori ataupun penawaran telefon edisi khusus bersempena tema Barcelona FC daripada Oppo. Kerjasama ini seperti biasa dijangka akan menguntungkan kedua-dua pihak, malah jenama Oppo akan diperlihatkan pada perlawanan di Camp Nou, selan membolehkan jenama mereka lebih kukuh di rantau Eropah.

 
Leave a comment

Posted by on June 14, 2016 in Uncategorized

 

Pengalaman di MWC 2014

Pada minggu lepas, saya telah berpeluang untuk menghadiri acara tahunan yang menjadi tumpuan ramai pihak, iaitu Mobile World Congress (MWC) 2014 yang berlangsung di Barcelona. Berbanding Aman Firdaus yang telah menghadiri acara MWC 2013, ini kali pertama saya menghadiri acara yang gilang-gemilang ini dan berpeluang menyaksikan pelbagai peranti, pelbagai teknologi, dan pelbagai ragam manusia dari seantero dunia. Sekiranya ibadah haji merupakan satu titik pertemuan semua umat Islam, maka acara ini merupakan satu perhimpunan gergasi buat penggiat industri telekomunikasi. Saya yakin para pembaca juga turut ingin tahu perkara-perkara selain semua berita berkenaan peranti sepanjang MWC 2014. Jadi ingin saya kongsikan apakah yang telah saya pelajari dari kembara selama seminggu ini.

1- Sistem rangkaian pengangkutan untuk acara yang berintegrasi.
Tiketnya boleh digunakan selama empat hari bermula Isnin sehingga Khamis dan meliputi sehingga 6 rangkaian pengangkutan. Penggunaan dihadkan kepada Zon 1 yang boleh saya katakan kalau di Kuala Lumpur, ia meliputi pengangkutan disekitar Kuala Lumpur sahaja. Tidak boleh digunakan sehingga ke Kajang apatah lagi Pelabuhan Klang. Untuk makluman anda, kebanyakan rakyat Sepanyol tidak fasih berbahasa Inggeris. Jadi terdapat cabaran komunikasi dengan rakyat tempatan.

2- Sokongan dari pihak berwajib tempatan.
Sekembalinya kami dari acara tersebut, saya sedikit terkejut apabila menghidupkan televisyen di rumah, terdapat rangkaian khusus yang menayangkan liputan berita terkini dari MWC 2014! Ini bukan suatu perkara yang biasa memandangkan rangkaian televisyen di Malaysia boleh dikatakan jarang membuat liputan pada tahap sebegitu. Semasa saya singgah di satu bandar lain, papan iklannya turut menayangkan satu demo aplikasi dan mempromosi MWC 2014. Sekali lagi satu perkara yang jarang kita dapat lihat. Satu perkara yang menarik juga adalah sukarelawan MWC 2014 tersedia pada terminal-terminal rangkaian utama. Seperti contoh sekiranya acara ini berlangsung di KLCC, maka sukarelawan tersebut turut ada di KL Sentral, dan memudahkan para hadirin sekiranya ingin bertanyakan sesuatu. Boleh dikatakan banyak pihak tempatan menyokong acara yang berprestij ini.

3- Kemudahan di tempat acara yang lengkap.
Satu perkara yang kami yakin anda tidak suka adalah apabila anda pergi ke satu acara atau pameran teknologi, tiada kemudahan WiFi disediakan. Mungkin juga tiada peta reruai disediakan. Untuk MWC 2014, kerana menjunjung namanya ‘Mobile World Congress’, kebanyakan kemudahannya direka dengan menegakkan konsep tanpa wayar itu sendiri. Terdapat banyak panel direktori interaktif dengan kemudahan NFC tersedia disekitar acara. Seperti gambar yang diambil dari video diatas, NFC Tap-n-Go Point merupakan satu panel direktori interaktif yang mampu berhubung dengan peranti anda. Melalui panel tersebut, anda boleh menyemak peta ke tempat temujanji yang telah ditetapkan. Malahan, ia juga mampu berkomunikasi melalui protokol Bluetooth. Saya pada hari itu telah menyertai Fitbit Challenge. Dengan sentuhan Fitbit pada panel berkenaan, markah saya telah dipaparkan bersama-sama peserta MWC yang lain. Berkenaan kemudahan WiFi yang tersedia, ia sekadar mencukupi namun bagi kami yang ditempatkan di ruang khas ‘Media Village’ bersama pasukan media yang lain, ia bukan masalah besar buat kami. Satu lagi perkara yang menarik perhatian saya adalah anda boleh menempah makanan melalui aplikasi rasmi MWC dan pembayaran dilakukan melalui PayPal. Mungkin kesemua diatas merupakan perkara yang biasa buat anda, namun bagi saya, sekali lagi saya katakan fungsi-fungsi diatas perlu kerana nama Mobile World Congress, satu acara yang dilihat sebagai peneraju didalam industri telekomunikasi, perlu mengamalkan dunia tanpa wayar ini.

4- Reruai yang sangat gah.
Acara MWC 2014 mempunyai 8 dewan. Dewan pertamanya sebesar KL Convention Centre. Terdapat 3 dewan pada skala tersebut. Selebihnya pula separuh dari saiz tersebut. Malahan, terdapat lagi beberapa kawasan yang tidak sempat saya hadiri antaranya GSMA Connected City yang memfokuskan teknologi peranti-boleh-pakai, Barcelona 4YFN (4 Years From Now) yang memfokuskan dunia startup berkaitan telekomunikasi. Juga terdapat acara lain di sekitarnya. Mungkin dengan perancangan lebih rapi kami dapat mengadakan liputan secara menyeluruh tahun hadapan.

5- Connected Cars mencuri perhatian ramai pengunjung.
Pada dewan ketiga, terdapat banyak pameran menampilkan kereta dengan integrasi telekomunikasi. Ia bukan sekadar terhad pada sistem Inforia, tetapi menekankan bagaimana kereta tersebut telah direka supaya mampu berintegrasi dengan maklumat pada masa nyata. Ford misalnya telah memperkenal teknologi yang mampu mengesan objek lain, dan membolehkan pemanduan secara automatik. Ramai hadirin yang tidak melepaskan peluang untuk mengetahui lebih lanjut berkenaan kereta tersebut.

6- Lebih banyak peranti-boleh-pakai diperkenalkan.
Peranti-boleh-pakai juga turut mendapat tumpuan para pengunjung MWC 2014. Antara yang telah kami ulas antaranya Samsung Gear Fit, Kacamata Pintar Mirama dan Huawei Talkband B1. Qualcomm turut hadir dengan jam tangan pintar namun ianya tidak dibenarkan untuk diulas. Saya yakin untuk tahun mendatang lebih banyak peranti-boleh-pakai atau Connected Devices akan hadir menemui pengguna.

7- Mungkin teknologi telefon pintar telah mencapai hadnya? Teknologi Connected Devices bakal menjadi trend.
Tidak banyak perkara baharu yang muncul dalam arena telefon pintar. Galaxy S5 pula hanya menyertakan fungsi kalis air. Yota Phone pula muncul dengan telefon dua skrin dengan salah satunya menggunakan E-ink. Selain dari itu, tiada teknologi baharu. Juga saya yakin, iPhone 6 yang bakal diperkenalkan nanti kemungkinan tidak membawakan banyak pembaharuan.

8- Gadis/jejaka sekitar reruai sangat berpengetahuan dan tidak berpakaian menjolok mata.
Sekiranya anda biasa hadir ke acara berkaitan teknologi tempatan, antara perkara yang anda sedar adalah adanya model/gadis berpakaian mencolok mata yang memperagakan peranti mahupun teknologi. Perkara ini seolah-olah telah menjadi norma dunia teknologi. Sedikit menyedihkan apabila kebanyakan soalan tidak mampu dijawab. Namun di MWC 2014, nisbah gadis dan jejaka yang memperagakan peranti adalah berkadaran, malahan mereka berpakaian kemas dan tidak seperti pameran tempatan. Satu lagi perkara yang perlu dipuji, mereka sangat berpengetahuan mengenai peranti dan hanya soalan yang teramat sukar barulah mereka akan meminta tolong mereka yang arif. Dan ini juga salah satu acara jejaka juga turut memperagakan peranti-peranti canggih.

9- Malaysia tidak wujud pada acara MWC 2014.
Ini merupakan satu kenyataan pedih yang terpaksa saya, dan kami di Amanz terima. Malaysia boleh dikatakan tidak wujud pada acara ini. Sekiranya disemak melalui senarai penyertaan pameran berdasarkan negara, Malaysia hanya mempunyai satu agensi kerajaan sahaja yang menyertainya. Tiada telco, tiada syarikat yang menyertainya. Ia sedikit berbeza dibandingkan dengan negara jiran kita. Kami juga berselisih dengan peserta dari Indonesia. Mungkin kebarangkalian kami untuk berselisih dengan hadirin tempatan yang lain adalah sangat rendah namun sekiranya dikira dari bilangan reruai berdasarkan negara, kami fikir perkara ini tidak seharusnya terjadi. Bagi saya, penyertaan penggiat industri telekomunikasi tempatan pada acara sebegini adalah penting. Ia kerana disamping dapat bertukar pandangan dan menjalinkan hubungan, ia penting untuk mendapatkan informasi berkenaan teknologi terkini bagi memastikan industri negara tidak ketinggalan jauh. Ia juga penting untuk menjulang nama Malaysia di arena teknologi. Apapun, Amanz tidak boleh dikirakan dalam kategori ini kerana kami media hadir untuk membuat liputan. Rakan media lain yang turut hadir adalah Lowyat & SoyaCincau.

10- Menambah pengalaman peribadi.
Disana saya juga berpeluang untuk melihat gerak kerja media gergasi seperti The Verge, Engadget dan banyak lagi pasukan yang lain. Saya sempat berseloroh dengan seorang editor The Verge yang menegur saya kerana mencuri ambil gambarnya. Beliau mengatakan ‘You’re sneaking’, lalu saya menjawab ’from our small country, a lot of people read tech news from us, and from The Verge. So when I mentioned one of The Verge editors in front of us, they want a proof. So I took a picture of you’. Beliau gembira mendengarnya malahan memperkenalkan kami kepada rakan-rakan editornya yang lain. Ini sekaligus menaikkan semangat saya untuk menaikkan Amanz di kaca mata dunia. Boleh dikatakan disana, tiada perbezaan darjat antara media massa dan media alternatif. Kesemuanya ditempatkan di bilik yang sama, minum kopi yang sama, dan juga biskut gula yang sama. Saya juga sempat bekerja bersama seorang hos televisyen nasional dari Romania. Meskipun apabila kami bertukar maklumat mengenai jumlah langganan saluran YouTube kami dan terdapat perbezaan yang besar, beliau menggesa supaya teruskan liputan sebegini pada masa mendatang. Dan kami tentunya, dengan segala kudrat yang ada dalam lingkungan kebolehan kami, akan komited untuk membawakan liputan MWC tahun depan buat anda mahupun liputan acara antarabangsa yang lain. Terima kasih dan teruskan menyokong kami!

 
Leave a comment

Posted by on April 14, 2016 in Info ICT

 

Huawei Ascend Mate 7

Phablet bersaiz gergasi masih boleh dianggap peranti niche di pasaran. Walaupun memberi paparan skrin yang lebih besar, saiz peranti yang besar menyukarkan penggunaannya dengan sebelah tangan. Huawei Ascend Mate 7 ialah sebuah lagi phablet gergasi yang bersaing secara terus dengan Xperia Z Ultra dan HTC One Max. Ia mempunyai skrin 6″ IPS LCD HD Penuh dan sekilas pandang mempunyai rekaan yang sama dengan HTC One Max. Pemproses lapan teras HiSilicon Kirin 925 (1.8 GHz + 1.3 GHz) digunakan dengan RAM 2 GB dan muatan dalaman 16 Gigabyte. Terdapat juga versi 32 Gigabyte dengan RAM 3 Gigabyte. Sokongan kad MikroSD adalah sehingga 128 Gigabyte. Kemampuan optik ialah 13 Megapixel pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan. Kapasiti bateri pula ialah 4100 mAh. Pada wal tadi kami katakan peranti ini menyerupai HTC One Max dan sama seperti One Max terdapat pengimbas cap jari pada bahagian belakang di bawah lensa kamera. Lensa kamera belakang terjojol keluar sedikit dari tubuh peranti seperti sebuah iPhone 6. Lokasi pengimbas cap jari mungkin agak aneh di bahagian belakang. Ini berbeza dengan pengimbas cap jari iPhone dan juga Samsung yang terletak di butang home hadapan. Tetapi bagi sebuah phablet gergasi lokasi pengimbas di bahagian belakang adalah lebih munasabah. Jari telunjuk boleh dilekapkan pada pengimbas ketika jari lain menggenggam tubuh peranti. Keseluruhan peranti diperbuat daripada logam. Bateri tidak boleh ditanggalkan dan slot SIM pada sisi sebelah kiri adalah dari jenis yang perlu dicucuk dengan jarum. Slot SIM kedua juga berfungsi sebagai slot kad MikroSD. Butang kuasa dan suara terletak pada bahagian kanan. Slot pengecas pula terletak pada bahagian bawah,pembesar suara mini terletak pada bahagian belakang dam jack fon kepala pada bahagian atas. Android 4.4.2 digunakan dengan antaramuka Emotion UI 3.0. Antaramuka ini tidak menyertakan talam aplikasi dan kesemua aplikasi yang dimuat turun diletakkan pada skrin utama. Tema antara muka boleh diubah tetapi hanya enam tema berbeza disertakan. Tidak ada pilihan memuat turun tema baru seperti yang diberikan oleh MiUI dan Touchwiz baru. Kustomasi lain yang boleh dilakukan ialah animasi apabila skrin ditatal serta saiz susunan grid pada skrin. Pilihan yang diberikan ialah 4×5,4×5 dan 5×5. Kerana saiz skrin Mate 7 yang cukup besar, pada tetapan 5×5 sekalipun ikon tidak nampak berserabut.

Seperti antaramuka LG, butang navigasi pada bahagian bawah skrin boleh diubah mengikut kehendak anda. Butang multi tasking boleh diletakkan pada bahagian kiri ataupun kanan butang home dengan mudah. Terdapat juga pilihan untuk meletakkan butang khas untuk membuka talam notifikasi. Fungsi khas untuk phablet ini memudahkan penggunaan Mate 7. Jari tangan tidak perlu bergerak ke atas untuk menarik talam notifikasi ke bawah seperti biasa. Fungsi khas phablet lain yang disertakan ialah fungsi antaramuka sebelah tangan. Apabila ia diaktifkan butang navigasi boleh dirapatkan ke kanan ataupun ke kiri skrin. Ini dilakukan dengan menyengetkan peranti ke kiri ataupun ke kanan. Sengetkan peranti ke kiri dan kesemua ikon butang navigasi akan bergerak ke bahagian kiri. Kesemua butang navigasi lebih mudah diakses oleh jari di dalam mod ini. Sungguhpun begitu tiada fungsi tambahan phablet disertakan seperti memaparkan dua aplikasi serentak pada skrin misalnya. Adalah sedikit merugikan skrin gergasi ini tidak dimaksimumkan penggunaannya dengan keupayaan memaparkan dua aplikasi serentak yang ada pada keluarga Galaxy Note. Pengimbas cap jari Mate 7 terletak pada bahagian belakang dan bukannya hadapan seperti sebuah iPhone 6. Sebenarnya bagi sebuah peranti gergasi lokasi pengimbas di belakang adalah lebih mesra pengguna. Apabila memegang peranti dengan saiz ini, ibu jari sukar untuk diimbas sekiranya pengimbas diletakkan pada bahagian hadapan. Pada Mate 7 kami menggunakan jari telunjuk untuk diimbas dan ianya mudah dilakukan menggunakan tangan kiri maupun kanan. Sistem mengimbas Mate 7 membenarkan beberapa cap jari disimpan sekaligus. Proses merekodkan cap jari juga mudah. Setanding dengan proses menyimpan cap jari seperti yang digunakan pada iOS dan juga Galaxy S6 yang kami gunakan sekarang.  Proses imbasan juga pantas dengan peranti dinyahkunci hampir serta merta selepas jari diletakkan pada pengimbas. Kamera 13 Megapixel digunakan pada bahagian belakang dan 5 Megapixel pada bahagian hadapan. Terdapat pelbagai fungsi tambahan yang disertakan. Salah sebuah fungsi yang menarik ialah fungsi All Focus. Di dalam mod ini gambar yang diambil boleh difokuskan semula mengikut kehendak pengguna. Fungsi Watermark pula membolehkan anda meletakkan grafik seperti tarikh dan cuaca di atas gambar yang diambil. Antaramuka aplikasi kamera mengingatkan kami kepada antaramuka iOS.

Untuk mengubah mod mengambil gambar ataupun video, anda hanya perlu mentatal skrin ke kiri ataupun ke kanan. Gambar 13 Megapixel diambil pada nisbah 4:3. Gambar bernisbah 16:9 hanya boleh diambil apabila kamera ditetapkan kepada 10 Megapixel. Dari segi kemampuan video pula Mate 7 mengambil video pada resolusi 1080P 30 FPS. Mate 7 mempunyai fungsi video HDR tetapi ini hanya boleh diaktifkan apabila resolusi video diturunkan kepada 720P. Berikut adalah beberapa gambar yang diambil menggunakan Mate 7 pada tetapan 13 Megapixel. Gambar yang diambil adalah baik tetapi sedikit gelap jika dibandingkan dengan keadaan sebenar.  Di dalam situasi pencahayaan rendah gambar yang diambil masih lagi baik dengan sedikit sahaja masalah noise boleh dikesan. Untuk perkongsian media sosial seperti Instagram dan Twitter kualiti gambar kamera Mate 7 adalah cukup memandai. Gambar Mate 7  lebih baik jika dibandingkan dengan gambar 13 Megapixel Xiaomi Redmi Note 4G yang kami ulas sebelum ini. Tetapi di dalam kelas phablet Samsung Galaxy Note Edge/ Note masih lagi juara dari segi kemampuan kamera. Gambar diambil oleh raja phablet ini lebih tajam, terang dan penghasilan semula warna paling tepat. Pemproses lapan teras HiSilicon Kirin 925 bukanlah pemproses yang digunakan secara meluas seperti pemproses Snapdragon. Sungguhpun begitu apabila ujian penanda aras dilakukan markah yang dicatatkan adalah baik. Untuk ujian Quadrant, Mate 7 mencatatkan 11465 markah. Untuk Antutu ia mencatatkan 42932 markah dan untuk Futuremark ia mencatatkan 13725. Markah yang dicatatkan adalah cukup baik. Dari segi kegunaan di dunia sebenar peranti berfungsi dengan pantas dan tatalan skrin adalah lancar. Semua aplikasi dapat dilancarkan dengan pantas dan aplikasi permainan 3D boleh dijalankan tanpa masalah. Peranti juga mudah panas walaupun ketika melakukan pemprosesan yang intensif. Bateri sebesar 4100 mAh Ascend Mate 7 memberikan hayat penggunaan yang baik. Pada penggunaan paling berat phablet ini mampu bertahan sehingga 13 jam. Pada penggunaan paling ringan pula ia bertahan selama 46 jam. Tiada masalah untuk peranti ini bertahan selama sehari suntuk pada penggunaan biasa. JIka anda mahukan peranti yang tidak perlu dicas dengan keras Ascend Mate 7 ialah peranti yang anda perlukan.

 
Leave a comment

Posted by on April 14, 2016 in Uncategorized

 

Google Mengumumkan Android M Developer Preview

Google hari ini memulakan acara Google I/O dengan berkongsi mengenai beberapa kemaskini yang bakal dibawakan oleh mereka. Menjadi fokus utama mereka adalah mengenai platform operasi Android, dimana mereka telah pun mengumumkan Android M Developer Preview. Android M dilihat akan berkongsi kepada enam perkara utama, dan menjadi fungsi pertama yang akan hadir ke Android M adalah App Permission. Menggunakannya, pengguna boleh mengawal apakah kebenaran yang boleh diakses oleh sesuatu aplikasi, sebagai contoh akses ke mikrofon, akses ke GPS dan sebagainya. Pengguna akan dipaparkan dengan tetingkap meminta kebenaran apabila sesuatu aplikasi meminta aksesnya untuk pertama kali, selain mereka turut boleh mengawal ia melalui halaman tetapan seperti biasa. Disamping itu, Google juga turut mengumumkan sokongan Chrome Custom Tabs kepada para pembangun, membolehkan pembangun mengintegrasikan pelayar web Chrome terus ke dalam aplikasi mereka, sekaligus menjadikan pengalaman penggunaan aplikasi lebih menarik – tanpa perlu meninggalkan aplikasi berkenaan, tetapi pada masa yang sama menawarkan sokongan Chrome penuh kepada para pengguna. Pada Android M juga, Google membolehkan para pembangun menetapkan supaya sesuatu pautan dibuka terus menggunakan aplikasi mereka. Ini membuatkan pengguna tidak lagi perlu untuk membuat pilihan ketika membuka sesuatu pautan dan menjadikan pengalaman pengguna lebih baik. Android M juga turut mengintegrasikan sokongan Android Pay, memudahkan pengguna untuk membuat pembayaran bukan sahaja untuk pembelian digital, tetapi juga pada kedai fizikal. Tetapi, seperti biasa, sokongan awal hanya diumumkan untuk pasaran Amerika Syarikat dan akan diperluaskan secara berperingkat kepada semua. Disamping itu, Google turut mengumumkan sokongan pengimbas cap jari pada Android M, dan menjadikan sokongan pengimbas cap jari pada Android mempunyai piawaian tersendiri, sekaligus memudahkan lagi para pembangun mengintegrasikan sokongan tersebut digunakan pada aplikasi mereka. Ini sekaligus menandakan lebih banyak peranti akan hadir dengan sokongan pengimbas cap jari di pasaran tidak lama lagi. Beberapa sokongan lain yang turut diumumkan oleh Google untuk Android M adalah termasuk sokongan USB Type-C, membolehkan pengeluar menyertakan sokongan pengecasan yang lebih pantas, dan menggunakan kabel universal baru yang boleh digunakan secara terbalik. Pengumuman ini sekaligus menandakan lebih banyak peranti Android akan hadir menggunakan sokongan tersebut. Google sendiri telah mengintegrasikan sokongan tersebut pada Chromebook terbaru mereka. Google juga turut mengumumkan beberapa sokongan kecil lain yang akan hadir ke Android M, termasuk kemudahan untuk membuat pilihan teks pada peranti, selain memudahkan lagi pengurusan volume pada peranti. Google akan menawarkan Android M Developer Preview pada hari ini untuk beberapa Nexus sedia ada, dan versi akhirnya dijangka hadir dalam beberapa bulan lagi.

 
Leave a comment

Posted by on April 14, 2016 in Uncategorized